Lagi satu cerita untuk kesinambungan gerak rasa.
Merujuk pada artikel "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Berita Harian yang dipersembahkan tengah hari tadi. Ada dinyatakan pada penghujungnya begini...
Oh. Ini adalah artikel ke-2,770 di CATATAN SI MERAH SILU. Ini mengingatkan pada nombor plet kereta VQ770 pada kereta Honda BRV terpakai yang dibeli penghujung tahun lalu. Kebetulan saya sekarang berada di suatu tempat untuk menguruskan hal berkenaan kereta tersebut. Menulis ini pun dari tempat berkenaan. Hmm...
Sekarang biar diberitahu tempat berkenaan adalah markas Grab di Seksyen 51, Petaling Jaya. Sebelum itu pergi pejabat mereka di Bandar Utama tetapi diberitahu untuk urusan perlu ke Seksyen 51. Ia adalah susulan atas apa yang berlaku 3 minggu lebih awal. Sabtu 27 Disember 2025 saya telah meminta ejen secara atas talian untuk menghidupkan insurans dan cukai jalan bagi kereta yang telah mati hampir 2 bulan. Dalam tempoh beberapa minit hal insurans selesai Tetapi cukai jalan tidak dapat dihidupkan kerana ada masalah.
Hari itu juga mencari pejabat pos 13 km dari rumah lalu mendapati mereka juga tidak dapat melakukan. Pergi pula ke pejabat JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) di UTC Pudu Raya lagi 30 lebih km perjalanan. Setelah beratur dan menunggu lebih sejam didapati JPJ juga tidak dapat menghidupkan. Cuma kali ini dapat tahu masalahnya adalah pemilik dahulu telah menggunakan kereta untuk membuat khidmat teksi e-hailing. Walaupun lesennya yang terkait dengan kereta itu sudah mati bulan Julai status jadi tergantung kerana nama belum dibatalkan dalam sistem.
Pelik juga saya. Semasa tukar nama pemilikan kereta dibuat di ibu pejabat JPJ di Setapak penghujung Oktober 2024 takda pun masalah Buat cukai jalan pun on the spot, setelah membuat insurans baru melalui ejen atas talian. Apapun, saya dimaklumkan supaya menghubungi pemilik lama lalu membatalkan lesen e-hailing atas kereta di syarikat berkenaan. Pemilik lama beritahu dah buat dah. Saya meminta beliau menyemak kembali hal.
Beberapa hari kemudian itu pada hari Rabu 30 Disember pemilik lama memberitahu sudah membuat permohonan baru membatalkan lesen secara atas talian kepada syarikat berkenaan. Kata beliau syarikat akan membalas melalui e-mail dalam tempoh 5 hari bekerja. Selepas mendapat balasan beliau akan menghantar kepada saya untuk tindakan susulan. Semasa itu tak tahu lagi syarikat mana yang dimaksudkan.
Rabu berikutnya 6 Januari 2026 saya bertanya apakah perkembangan. Ketika itu memang dah cukup 5 hari bekerja, setelah diambil kira cuti umum tahun baru 1 Januari. Kata beliau belum dapat jawaban. Jumaat 8 Januari saya bertanya lagi. Masih belum dapat. Saya pun membuat keputusan untuk pergi menyusul sendiri secara fizikal. Baru tahu syarikat yang dimaksudkan adalah Grab. Itu yang pergi ke markas siang tadi.
Atas adalah maklumat yang ditunjukkan oleh pegawai keselamatan apabila ditanya apakah urusan. Saya disuruh membuat imbasan kod QR lalu masuk ke dalam laman sesawang berkenaan. Ketika itulah dapat tahu cuma boleh membuat satu sahaja permohonan untuk membatalkan lesen e-hailing. Saya tidak boleh membuat permohonan kalau benar pemilik lama sudah melakukan.
Apapun saya mahu menyemak status permohonan. Kata pengawal tunjukkan dahulu bukti permohonan telah dibuat oleh pemilik lama. Selepas itu kalau hendak menyemak status dengan pegawai boleh sahaja. Tetapi kena ikut giliran beratur panjang.
Ini adalah bukti permohonan telah dibuat yang diterima dari pemilik asal selepas siap menulis dan mempersembahkan artikel "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Berita Harian jam 12.33.
Gambar ini pula diambil jam 1.08. Ketika itu sudah beratur sekitar 25 minit.
Jam 2 hampir hendak sampai ke pintu masuk ruang menunggu pejabat.
Jam 2.10. Baru hendak masuk ke pintu ruang. Ketika itulah diberitahu tidak ada pegawai melayan urusan. Yang ada cuma pegawai di hadapan pintu bertanyakan urusan. Beliau memberitahu saya cuma boleh mengadu melalui alamat e-mail yang ditunjukkan seperti dalam gambar kedua atas. Saya tidak dibenarkan langsung masuk ke ruang. Agak-agak apa rasa ya dilayan begitu setelah hampir sejam setengah beratur panjang?
Saya cuma boleh meluahkan rasa kekesalan sebelum meninggal pejabat. Maklumlah, nak tunggu e-mail yang katanya akan dapat dalam tempoh 5 hari bekerja pun tak dapat-dapat. Bagaimana hendak percaya akan mendapat jawaban dalam masa terdekat setelah mengadu melalui alamat e-mail yang diberikan? Berapa lama perlu menunggu perkara yang tak pun pasti akan selesai? Nasib baik ada masjid tidak jauh lalu pergilah menunaikan solat. Ketika hendak memulakan solat terbetik dalam hati usaha apa yang patut dilakukan seterusnya. Singgah makan tengah hari lewat di kedai makan dalam laman masjid Universiti Malaya sebelum ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Tempat yang dituju, badan utama kerajaan yang menguruskan segala macam khidmat teksi e-hailing bagai. Disebabkan sekatan atas nama badan ini yang singkatannya adalah APAD lah cukai jalan tidak dapat diperbaharui. Alhamdulillah. Tak perlu beratur pun kerana memang tak ramai orang. Sebaik sahaja menerangkan keperluan di kaunter penyambut terus dapat nombor. Dalam seminit kemudian terus mendapat layanan dari petugas yang berkhidmat.
Ketika itulah dapat tahu sebenarnya lesen Grab sudah dibatalkan awal sepertimana diberitahu oleh pemilik asal ketika dihubungi di kaunter JPJ 27 Disember lalu. Tetapi rupa-rupanya beliau ada lagi satu lesen e-hailing iaitu di bawah Air Asia. Itu yang tak selesai. Petugas meminta saya menghubungi pemilik lama supaya membatalkan. Saya cakap baiklah. Tetapi bagaimana kalau tidak mahu bekerjasama? Maklumlah hal ini memenatkan dan menyusahkan. Untuk mendapatkan kerjasama beliau sebelum ini pun sebetulnya 'sangkut-sangkut'. Saya faham sibuk dengan kerja e-hailing dan macam-macam. Tapi apa salah saya perlu menanggung masalah dari perkara tak selesai yang saya tak tahu langsung pun boleh terjadi sebegini rupa?
Apa boleh dibuat kalau pemilik asal tidak mahu lagi melayan? Takkan takda jalan? Tiba-tiba petugas memberitahu mahu bertemu pegawai atasan. Dalam 2-3 minit kemudian kembali lalu bertanya apakah saya memiliki aplikasi JPJ atas talian? Jawab saya ada. Kata beliau tunggu 7 hari bekerja. Selepas itu insyaallah dah boleh perbaharui cukai jalan terus melalui aplikasi berkenaan.
Alhamdulillah lega rasa amat. Kalau tak entah bila nak selesai. Walaupun bukan salah Grab kerana rupanya lesen e-hailing pemilik lama sudah dibatalkan apa salahnya beritahu keadaan sebenar semasa saya datang ke markas? Apa salahnya menyemak melalui sistem yang harus sudah berada di depan mata lalu memberitahu? Nasib baiklah timbul ilham untuk ke APAD. Apabila kembali ke tempat letak kereta dalam bangunan yang menempatkan pejabat APAD didapati petak bernombor 70. Tadi tak perasan. Kan kereta yang tersangkut cukai jalan itu bernombor plet VQ770?
Sebetulnya selepas ke markas Grab saya bercadang untuk menghabiskan masa barang 2-3 jam di satu tempat tarikan melibatkan teknologi audio-visual tinggi di Bukit Bintang. Tapi dah tak sempat. Selesai urusan di APAD pun dah 4 petang. Sedangkan mahu menghadiri syarahan tertutup pelajar PhD di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak yang bermula jam 5.
Ini merupakan kesinambungan daripada apa yang diceritakan dalam artikel Hari-hari kebelakangan sebelum kembali ke tahfiz tengah hari semalam, Ahad 11 Januari.
Ah. Lega sungguh dapat menyelesaikan satu urusan yang sudah tersangkut lebih 2 minggu lalu dapat mengikut syarahan dengan lebih berkesan.
Melihat pemandangan Bukit Tabur dari UIA sambil merenung keadaan.
Pergi ke masjid lama Sungai Chincin untuk menunaikan solat Maghrib.
Sempat menziarahi makam waliyullah Sheikh Muhammad Nur, pengasas perkampungan dan masjid sebelum bersolat dan beriktikaf.













Tiada ulasan:
Catat Ulasan