Salam. Sesuatu yang istimewa untuk malam Jumaat.
Semalam telah dikongsikan dua buah artikel yang masing-masing sebenarnya ditulis dan dipersembahkan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku iaitu Langkah 131 bagi tahun 2026 diikuti Barat dan 'selebihnya' - Satu kritikan ketamadunan. Tadi pagi Khamis 15 Januari 2026 pergi lagi ke ISTAC, kali ini membawa isteri bersama.
Ada majlis bernama Meet & Greet Session (Sesi Bertemu dan Bertegur) bersama Tunku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Ia diadakan khas untuk pelajar ISTAC memandangkan baginda sendiri adalah pelajar setelah mendaftar masuk hampir penghujung 2024.
Walhal Tunku Azizah juga adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC. Kelihatan baginda sedang berbual tentang tesis yang diusahakan iaitu tentang Hukum Kanun Pahang bersama penyelia tesis, Profesor Dato' Ahmad Murad Merican, juga sejumlah hadirin.
Terlihat saya terus memberitahu, dia ini (sambil menunjuk pada saya) bercerita tentang Perjanjian Pangkor. Saya (Tuanku membahasakan diri) tentang Hukum Kanun Pahang. Lalu saya bertanya : "Bagaimana Tuanku tahu tentang usaha patik?". Fikir saya mungkin kerana ada menonton video pembentangan di ISTAC. Lihat Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC. Walaupun sama-sama belajar di institusi ternama ini cuma ada 2-3 kali sahaja pernah terserempak di kampus. Jawab baginda nampak dalam Tiktok. Ha ha... :]
Lalu di bilik menunggu VIP, terlihat guru saya, Rektor UIAM iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sedang duduk berseorangan. Terus masuk untuk bersalam dan mencium tangan. Maklumlah, selain pernah menjadi penyelia tesis Sarjana saya, sekarang penyelia PhD, beliau juga guru saya dalam bidang Tasawuf. Memang setiap kali bertemu saya akan mencium tangan. Begitu juga bila hendak meninggalkan. Isteri meminta izin untuk mengambil gambar saya bersama beliau.
Masuk ke dewan utama majlis. Sebenarnya ia telah ditingkatkan menjadi lebih besar dan tinggi kerana Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri sudi datang mencemar duli malah membawa anak-anak, setelah diajak oleh isteri.
Tunku Azizah sampai seawal jam 11 sedangkan menurut jadual asal sampai 11.30 pagi. Baginda pun menunggu Sultan sampai. Sambil itu berbual santai dengan Dekan ISTAC Profesor Dr. Hazizan Md. Noon dan beberapa ahli akademik.
Tiba-tiba baginda menoleh ke arah saya lalu bertanya apakah nama tanjak yang dipakai. Asal dari mana. Jawab saya seingatnya "Gajah Melaung". Tak ingat asal dari mana tetapi mungkin Perak. Itulah yang ingat daripada pembuatnya, pengarang tanjak terkenal Johan Iskandar yang merupakan saudara pupu saya, daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.
Tidak lama kemudian Sultan pun sampai lalu majlis bermula.
Kelihatan guru saya didudukkan setara dengan Sultan dan Tengku Ampuan. Walhal boleh sahaja menempah kerusi raja.
Tunku Azizah memberikan sepatah dua kata. Banyak patah sebenarnya, hehe...
Secara rata ia adalah tentang semangat baginda untuk belajar lalu mengangkat Hukum Kanun Pahang. Dinyatakan penghargaan terhadap suami yang menyokong juga anak-anak yang memberikan semangat. Kata baginda dalam bahasa Inggeris (kerana sejumlah pelajar dan pensyarah adalah orang luar) anak-anak mengingatkan belajar sampai habis. Jangan ngelat (don't cheat). Satu peringatan yang sangat baik. Ini kerana fakta di luar sana ada yang menipu untuk mendapatkan ijazah Sarjana dan PhD. Disebabkan ada duit dan pangkat boleh mengupah atau mengarahkan orang untuk membuat kajian malah menulis tesis sampai siap pun ada!
Sampai giliran Sultan memberikan kata-kata. Atau bahasa rasminya memberikan titah. Yang ini biar disalin daripada Facebook Kesultanan Pahang.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, KDPB Tengku Ampuan Pahang sering berkongsi mengenai Hukum Kanun Pahang (HKP). Perkara ini membuka minda saya untuk memahami dengan lebih mendalam kewujudannya, yang sebelum ini kurang diketengahkan atau dipelajari. Ia merupakan satu bidang baharu yang wajar diterokai.
“Insya-Allah, selepas KDPB Tengku Ampuan Pahang menamatkan pengajian, saya bercadang untuk menghimpunkan para cendekiawan dan ulama bagi membincangkan bagaimana Hukum Kanun ini boleh dijadikan dasar atau amalan untuk Kerajaan Negeri Pahang.
“Kita tidak seharusnya terlalu taksub dengan kerangka perlembagaan yang dibentuk oleh kuasa luar pada masa lalu, sebaliknya terbuka menerima pandangan dan nasihat baharu berasaskan tunas-tunas syariah dan amalan yang baik, demi penambahbaikan berterusan,” titah Paduka Baginda.
Selesai itu berangkat ke dewan makan.
Tunku Ampuan sempat menunjukkan Sultan kepada saya lalu menyebut lagi tentang Perjanjian Pangkor.
Suasana meriah di dewan makan...
Oh. Baginda Sultan dan kerabat masuk kemudian. Ingatkan dah masuk awal.
Kelihatan berbaju batik oren Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Saya dan isteri duduk dekat dengan meja VVIP lalu dapat melihat Sultan dan keluarga dengan jelas. Daripada Facebook Kesultanan Pahang baru tahu anak-anak (selain Tengku Mahkota) yang turut hadir adalah :-
1. Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah
2. Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah
3. Tengku Puteri Ilisha Ameera
4. Tengku Puteri Ilyana Alia
5. Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah
Tak ingat bagaimana ini berlaku. Tiba-tiba Sultan berdiri di penghujung meja lalu terjadilah perbualan. Saya menerangkan kenapa berminat dengan Perjanjian Pangkor. Ini kerana moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin adalah salah seorang yang menandatangi, atau lebih tepat menurunkan cap. Sultan Abdullah adalah anak saudara. Saya memberitahu tentang perbezaan ketara perjanjian asal Melayu Jawi yang difahami dan dipersetujui mereka dengan versi Inggeris yang terjemahannya ke dalam bahasa Melayu diwar-warkan sehingga kini lalu dilihat sebagai kebenaran mutlak hal. Paling utama adalah menurut versi Inggeris, Sultan harus meminta dan MELAKSANAKAN nasihat Residen. Dalam versi Melayu Jawi asal tidak ada kewajiban untuk melaksanakan.
Sebelum bergerak baginda bertanya "Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles ke?". Apabila saya menjawab ia baginda berkata "Saya tahu" sambil tersenyum lalu bergerak pergi. Ah. Terlupa. Baginda sendiri bernama Sultan Abdullah.
Selepas itu ada majlis potong kek. Rupa-rupanya sempena Tengku Ampuan sudah 7 tahun menjadi Canselor UIA. Dan sebenarnya itulah tempoh sama Sultan Abdullah mula memegang takhta negeri Pahang.
Beberapa lama kemudian Tengku Mahkota pula datang dekat lalu bertanya tentang tanjak. Baginda juga melihat pada keris lalu ditunjukkan bahawa ia sudah diikat (jarang saya mengikat, kali ini tergerak). Tengku Mahkota memberitahu : "Saya tengok tadi dan nampak. Keris terbuka ni raja je boleh pakai. Kalau orang lain kena ikat. Tapi kalau kita pergi berperang boleh buka". Jawab saya : "Insyaallah".






















Tiada ulasan:
Catat Ulasan