Selasa, Oktober 28, 2025

Jumaat di UIA Gombak dan forum kecelikan agama rentas budaya

Salam. Sesuatu dari 4 hari lalu.



Pagi Jumaat 24 Oktober 2025 bergerak ke kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak untuk satu majlis.



Bersolat Jumaat dahulu di masjidnya.






Dari kampus boleh kelihatan dengan jelas Bukit Tabur yang bahagian atasnya kelihatan seperti apa ke nama, di sepanjang belakang binatang raksasa Godzilla ke hapa itu...



Majlis bertajuk "ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy  Forum" (terjemahan saya "Forum Kecelikan Agama Rentas Budaya ASEAN) bermula beberapa lama selepas solat Jumaat, di dewan berdekatan.
 


Kelihatan guru dan penyelia tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang merupakan Rektor UIA memberikan ucap sambut (welcoming remarks).



Ucaptama pembukaan (opening keynote speech) pula diberikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Beliau turut merasmikan majlis.



Tidak  lama kemudian bermulalah forum. Sesi pertama membawa tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Memperkuatkan Masyarakat ASEAN yang Saling Meliputi dan Bersepadu Melalui Kecelikan
Agama Silang Budaya". Dipandu oleh Osman sebagai pemudahcara panelisnya adalah :-


1. Dr. Farid F. Saeonong dari Universitas Islam Internasional Indonesia, penasihat Menteri Hal Ehawal Agama Indonesia.

2. Dr. Aldrin M. Penamora, pengarah eksekutif Pusat Kajian Perhubungan Kristian-Muslim di Filipina.

3. Puan Nazhath Faheema dari hash.peace and Team Lead for Sowing Care Together, satu NGO yang menggalakkan harmoni masyarakat di Singapura

4. Penolong Profesor Dr. Arthit Thongin dari School of Political Science, Sukhothai Thammathirat Open University, Thailand.



Secara rata tiga panelis awal bercakap tentang pengalaman hubungan antara kaum berlainan agama di negara masing-masing dan bagaimana mereka berusaha untuk memberi faham antara satu sama lain. Panelis terakhir pula bercakap lebih umum. Saya cuma ada sedikit kurang senang apabila panelis kedua memaparkan slaid atas. Kelihatan seperti lebih menyalahkan umat Islam di selatan Filipina kerana menentang kerajaan majoriti Kristian lalu disebabkan itu berlaku gangguan selain perang. Pun begitu, secara rata semua menyatakan harus ditingkatkan usaha untuk  masyarakat saling memahami agama dan budaya selain yang dianuti masing-masing.



Sesi kedua, dipandu oleh Profesor Dr. Imtiyaz Yusuf dari ISTAC sebagai pemudahcara, membawa tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Sudut Pandang dan Pengalaman Memupuk Budaya Menghormati Semua dan Masyarakat Pelbagai Kepercayaan dan Budaya". Panelisnya ialah :-


1. Profesor Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman dari UIA

2. Profesor Dr. Suresh Kumar P. Govind dari Asia Pacific Institute of Sathya Sai Human Value, Malaysia

3. Encik Matius Ho, pengarah eksekutif Leimena Institute, Jakarta

4. Dr. Peter Chang dari Institut Pengajian China, Universiti Malaya



Saya paling tertarik dengan perkongsian panelis kedua yang boleh disimpulkan begini :-


1. Semua agama menggalakkan kebaikan

2. Semua orang yang betul-betul mengikuti agama (masing-masing) adalah orang baik

3. Orang baik hendakkan kebaikan untuk semua

4. Apabila orang baik berkumpul walau berlainan agama mereka akan membincangkan dan mencari jalan agar semua orang mendapat kebaikan.


Untuk kesimpulan keseluruhan demi mencapai matlamat harmoni antara semua pula kenyataan seperti dalam slaid atas dari panelis keempat lebih mendekati realiti masa kini :-


1. Kepimpinan politik dan intelektual amat penting (dalam merangka dan menetapkan hala tuju)

2.  Penglibatan akar umbi yang berterusan (seperti dialog antara penduduk Islam dan Buddha di suatu kawasan)

3. Secara lahiriah memupuk rasa hormat sambil melawan kelampauan dalam diri. Kelampauan atau ekstremisma di sini merujuk pada ketaksuban terdapat kepercayaan sendiri (atau tafsiran melampau) sehingga tidak mahu langsung menerima sudut pandang orang lain lalu menganggap sebagai musuh.


Sila ikuti sendiri majlis melalui rakaman video...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan