Sabtu, Mei 31, 2025

Mengenai Ibnu Khaldun dan kitab agungnya Muqaddimah

Merujuk pada artikel Pelbagai hal dalam 2 minggu kebelakangan yang dipersembahkan pada petang Khamis 29 Mei iaitu 2 hari lalu. Disebut pada permulaan artikel bahawa ada majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang berlaku hari sebelumnya (Rabu 28 Mei) mahu dikongsikan cerita. Tetapi hati ini menyuruh mengeluarkan terlebih dahulu cerita tentang beberapa aktiviti yang dilakukan dalam tempoh 2 minggu kebelakangan. Setelah dilepaskan rasa cadangnya hendak menulis lalu mengeluarkan artikel tentang majlis di ISTAC selewatnya semalam Sabtu 30 Mei. Tetapi disebabkan kesibukan berselang-selikan kepenatan tak sempat.

Sebetulnya saya sudah memulakan permusafiran baru pagi Khamis. Artikel Pelbagai hal dalam 2 minggu kebelakangan sebenarnya ditulis di Kuala Selangor. Selepas itu ke Sungai Besar diikuti Sabah Bernam kemudian Bagan Datoh di mana dibuat persinggahan ke jeti Beting Beras Basah hingga selepas Maghrib malam Jumaat. Selepas itu ke Lumut sebelum beriktikaf bermalam di masjid Segari. Esoknya pagi Jumaat buat persinggahan ke beberapa tempat sebelum menunaikan solat Jumaat di Gunung Semanggol. Kemudian bergerak masuk ke Pulau Pinang, terus ke Georgetown lalu bermalam.

Tadi sebelum Subuh berjalan kaki dari tempat penginapan ke Masjid Lebuh Aceh lalu solat berjemaah. Sekarang ada sedikit kelapangan. Biarlah dibuat penulisan ini dari tempat penginapan.


Biar cerita perkongsian ilmu kali ini dimulakan dengan gambar motosikal besar kesayangan yang diparkir di hadapan pejabat lama saya The New Straits Times, Jalan Riong, Bangsar. Dahulu, ketika bertugas sebagai wartawan tahun 1996 hingga 2001 memang biasa diparkir sekitar ini. Sehingga ramai yang pernah bekerja mengingati sebagai 'motosikal legenda'. Ramai masih ingat kehadiran saya yang 'tidak konvensyional' selalu memakai jaket kulit hitam lusuh ketika bermotosikal, jaket yang dibeli di London ketika awal masuk ke University College of London tahun 1991.



Seperti biasa, kalau dah ke situ mesti makan nasi beringin di medan selera dalam bangunan sebelah. Semasa masih di NST dahulu nasi disediakan dan dimakan di warung di selekoh sebelah parkir tadi. Selepas meninggalkan NST atas sebab tertentu melibatkan politik pejabat penghujung tahun 2001 saya masih tetap sesekali datang untuk makan. Cuma dihalang daripada masuk ke dalam premis NST selagi satu hamba Allah masih memegang teraju syarikat. 

Selepas beberapa tahun baru boleh masuk melihat ke dalam seraya menjengok kawan-kawan lama. Tetapi baru tahun lepas gitu tak boleh masuk lagi. Katanya kena minta kebenaran khas diluluskan pejabat. Sehingga kawan wartawan mengajak masuk sekalipun dari pintu hadapan pun tetap tidak dibenarkan, kalau tidak kebenaran dari dalam.




Oh. Saya sampai ke medan selera dekat jam 1.30 petang. Jam 2 lebih baru sampai ke ISTAC.




Hari itu Rabu 28 Mei 2025. Kalau hari Jumaat insyaallah sudah sampai selewatnya jam 1 petang untuk menunaikan solat Jumaat.



Majlis kali ini adalah tentang reading atau bacaan daripada kitab Muqaddimah tulisan tokoh ilmuwan Islam yang dikenali sebagai Ibnu Khaldun. Mengulas dan menyampaikan adalah Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang mengetuai unit kajian ketamadunan Alam Melayu di ISTAC.




Seperti beberapa majlis di ISTAC yang dihadiri sebelum ini beliau juga menjadi pengelola kalau tidak pun sekali menyampaikan ilmu. Lihat artikel-artikel berikut :-








Majlis kali ini dihadiri oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC namun hadir sebagai seorang pelajar. Ini kerana sudah menjadi pelajar sarjana di ISTAC sejak penghujung tahun lalu. Untuk pengetahuan Murad adalah penyelia tesis baginda.




Adapun majlis ini merupakan yang pertama dalam siri pembacaan atau penelahan terhadap kitab Muqqadimah.  Insyaallah ia akan berpanjangan dibuat secara berkala sehingga 12 bulan akan datang. Sambil mengulas perkara serta asbab mengadakan siri Murad menunjukkan 3 jilid kitab Muqqadimah yang dipinjam dari perpustakaan ISTAC iaitu Syed Naquib al-Attas Library. Ia dinamakan sempena pengasas ISTAC, kini bergelar Profesor Diraja, satu-satunya di Malaysia selepas almarhum Profesor Ungku Aziz, bapa saudara Syed Naquib. 




Murad bercakap terus tanpa slaid. Satu-satunya slaid yang dipaparkan sekadar menunjukkan tajuk majlis dan nama pengulas, buku dan satu muka surat dalam. Beliau mengingatkan majlis diadakan dalam Ibnu Khaldun Conference Room, bilik mesyuarat yang diberi nama sempena tokoh sedangkan hari sebelumnya iaitu 27 Mei adalah tarikh lahir tokoh  (27 May 1332 Masihi menurut kiraan Barat). Buku yang dirujuk adalah terjemahan daripada kitab asal berbahasa Arab. Terjemahan dibuat oleh  Franz Rosenthal, sarjana Jerman berbangsa Yahudi. Kata Murad nama Ibnu Khaldun sangat terkenal dalam bidang-bidang berkenaan di universiti-universiti Barat termasuk di University of Minnesota, tempat beliau menyambung pengajian suatu masa dahulu. Malah dunia Baratlah yang sebenarnya mengangkat nama Ibnu Khaldun lalu memperkenalkannya kembali kepada dunia Islam. Cuma sayangnya, walaupun kajian dan penulisan Ibnu Khaldun diangkat tinggi, ia tidak diberikan pengiktirafan sebenar.

Menurut Murad, Ibnu Khaldun yang hidup tahun 1332 hingga 1406, dan mengelurkan kitab Muqqadimah pada tahun 1377 adalah pengasas sebenar apa yang disebut dalam dunia Barat sebagai the new sciences, ilmu-ilmu sains baru. Ini merujuk pada bidang-bidang kemanusiaan (humanities) seperti ilmu antropologi, sosiologi dan sebagainya.  Faham saya, ia disebut new sciences kerana adalah baru berbanding ilmu-ilmu sains sebelum itu seperti kimia dan fizik yang lebih merupakan kajian terhadap fenomena alam lalu kini lebih dikenali sebagai natural sciences (ilmu-ilmu sains semulajadi). Barat, bergantung pada negara atau puak mana di Eropah (Ameria Syarikat belum lagi wujud ketika itu) yang mengangkat sering menyebut nama-nama seperti Francis Bacon (hidup 1561-1626) sebagai pengasas new sciences. Sedangkan mereka semua hidup lama terkemudian selepas Ibnu Khaldun kembali ke rahmatulallah.

Kata Murad, penafian terhadap Ibnu Khaldun ini sampai ke peringkat ada sarjana Barat menuduh Ibnu Khaldun memplagiat daripada sarjana seperti Bacon. Pun begitu dunia Barat tetap berjasa mengangkat nama dan kajian Ibnu Khaldun. Ini jauh lebih baik daripada apa yang berlaku di negara kita sendiri Malaysia. Kata Murad, Ibnu Khaldun langsung tidak mendapat tempat dalam bidang-bidang berkenaan. Yang diangkat cuma kajian-kajian daripada tokoh-tokoh Barat. 

Dikongsikan sedikit asal usul Ibnu Khaldun sebagai seorang yang lahir di Tunisia, Afrika Utara namun berasal daripada satu keluarga Hadramaut, Yaman yang berhijrah ke Andalusia. Disebut tentang bagaimana selain beliau tokoh-tokoh ilmuwan seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd dan Al-Ghazali harus dibincangkan di universiti. Kena ada kursus-kursus tersendiri tentang mereka. Dinyatakan Ibnu Khaldun sebagai seorang tokoh pelbagai bidang, termasuk ekonomi dan politik, lalu banyak pengalaman sebenar membantu selain kesarjanaan semasa. Diberikan sedikit pengenalan tentang isi buku dan tajuk-tajuk bab. Untuk lebih perincian sila tonton video bawah...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan