Selasa, Mac 11, 2025

Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung eksplorasi Sungai Muar

Salam malam 10 Ramadan. Adapun saya dan isteri sedang berada di penghujung satu perjalanan awal bulan puasa. Malam ini sementara ada tenaga dan kelapangan biar dimulakan perkongsian cerita.



Perjalanan kali ini secara rasminya bermula pada petang Rabu 4 Ramadan 1446 Hijriah bersamaan 5 Mac 2025, apabila saya dan isteri keluar berdua meninggalkan rumah menuju ke arah Lembah Klang.




Masuk sebentar pusat bandar raya Kuala Lumpur untuk beberapa urusan.




Selepas itu pergi ke tahfiz anak di selatan Cheras untuk bertarawikh. Oh. Anak bongsu kami, Johan (paling kanan) dah mula masuk situ sejak pertengahan Februari untuk bersama abangnya Rasyid (paling kiri) yang sudah lebih awal masuk tahfiz. Di tengah pula abang mereka yang sedang buat praktikal di bahagian lain Cheras datang untuk sama bertarawikh. Itu yang membuat saya dan isteri sekarang tinggal berdua di rumah.




Namun hikmahnya lebih mudah merancang perjalanan kami suami isteri. Malam itu menginap di rumah kami yang di Hulu Langat, siang Khamis 6 Mac pergi ke Shah Alam kerana isteri perlu masuk pejabat. Sementara itu saya beriktikaf di masjid negeri kemudian pergi melawat muzium ini yang sudah beberapa tahun ditutup lalu baru sekitar sebulan dibuka kembali. Lihat artikel Rupa baru Muzium Sultan Alam Shah (New look of Sultan Alam Shah museum) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Selepas jam 3 petang isteri boleh meninggalkan pejabat lalu kami pun menyambung perjalanan dengan menghala ke selatan. Tujuan utama adalah untuk balik kampung menyambut awal Ramadan bersama ibu bapa saya di Muar. Alang-alang buatlah 'penyiasatan' sambungan daripada perjalanan sebulan. Rujuk kembali Pengaruh masjid jamek Muar dalam perjalanan pertama balik kampung ibu tahun 2025.




Dalam perjalanan sebulan lalu itu saya dan isteri ada menyusur beberapa tempat bersejarah di tepian Sungai Muar. Apabila menyemak kedudukan tempat-tempat dalam paparan satelit Google Earth baru tersedar ada bahagian Sungai Muar yang sudah di'potong', dan ada pula masih dalam proses hendak di'potong' tapi belum selesai.




Kami pun mencari dan menjejak bahagian-bahagian sungai yang berkenaan. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-







Ada satu 'potongan' yang menyebabkan kami harus masuk kembali ke Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Pagoh.




Ini 'potongan' yang belum siap.




Untuk menyiapkannya bahagian lebuh raya sebelah sini harus dijadikan jambatan terlebih dahulu. Selepas itu baru boleh dibuka laluan air bagi memendekkan sungai...




Selesai itu pergi ke Kampung Raja, Pagoh untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka) dan beriktikaf di masjid sebelah.




Tengah hari Jumaat 7 Mac pergi ke masjid jamek Muar untuk menunaikan solat Jumaat.







Petang itu beriadah berjalan kaki hampir 3 km mengambil satu laluan menyusur Sungai Muar berdekatan rumah ibu bapa di Kampung Temiang. Untuk pengetahuan laluan berkenaan terletak bersebarangan dengan beberapa tempat yang dilalui dalam Pengaruh masjid jamek Muar dalam perjalanan pertama balik kampung ibu tahun 2025. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Walking around Kampung Temiang near the Muar river - Part I





Malam pergi lagi ke masjid jamek Muar.




Alhamdulillah dapat menggamit kenangan zaman bebudak dahulu bertarawikh di masjid ini. Yang sebetulnya lebih banyak bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kadang pergi memanjat bangunan kejap belah sini kejap belah situ. Ada masa pula ikut orang berlatih silat dalam gelap di halaman hadapan. Macam-macam aaa... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan