Jumaat, Ogos 16, 2024

Kepentingan sumber dalam pengkajian sejarah - Apa kata Arkib Negara?

Salam pagi Jumaat kedua bulan Safar 1446 Hijriah. Merujuk pada artikel Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos yang dipersembahkan Jumaat lalu Sehari sebelum diskusi buku berlangsung dapat tahu ada acara menarik dijadualkan berlangsung di Arkib Negara hari sama jam 8.30 pagi hingga 2 petang.  Memandangkan dari Arkib cuma 1.8 km ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) saya pun mengajak isteri ke sana.



Pagi Khamis 15 Ogos 2024. Selepas menghantar anak ke sekolah pagi kami pun meredah kesesakan jalan raya dari tol Bandar Sungai Buaya ke tol Jalan Duta lalu menuju ke Arkib. Untuk menemani, isteri telah mengambil cuti kerja. Anak pula telah diatur supaya boleh bersalin pakaian di suatu tempat berdekatan apabila hendak ke sekolah petang. Begitu juga apabila kembali petang nanti. Kerana besar kemungkinan kami sendiri selepas Maghrib baru sampai rumah.




Sepatutnya pagi itu ditumpukan sepenuHnya bagi mendapatkan rehat dan persediaan yang secukupnya bagi menjayakan diskusi buku di ISTAC. Selepas jam 12 boleh bergerak lalu tidak perlu menghadapi kesesakan jalan raya orang pergi kerja.




Tapi dah jenis orang sayang ilmu, saya ajak isteri keluar awal untuk ke Arkib Negara terlebih dahulu. Dan lagi, dari rumah ke Arkib kemudian ke ISTAC boleh kira sekali jalan. Lainlah kalau diadakan di tengah bandar raya seperti di Wisma Sejarah milik Persatuan Sejarah Malaysia atau Perpustakaan Negara. Memang tak terkejar le kalau majlis berakhir jam 2.




Oh. Tadi itu gambar Wisma Warisan tempat Arkib selalu mengadakan majlis seperti yang dihadiri sebelum ini. Tengok-tengok bertukar ke bangunan baru. Letaknya betul-betul di sebelah Mahkamah Tinggi.



Menarik apabila memikirkan baru ini mahkamah telah memuktamadkan keputusan bahawa tanah seluas lebih 160 hektar meliputi Arkib, Mahkamah Tinggi,Masjid Wilayah, Stadium Hoki Tun Razak, bangunan Integriti malah ISTAC itu sendiri harus diserahkan kembali kepada satu syarikat yang dinyatakan sebagai pemilik asal.




Ini bangunan baru majlis. Baru tahu ia sudah menjadi tempat beberapa majlis. Kami sahaja yang baru pertama kali sampai.




Sarapan dahulu. Gambar ini diambil jam 9.06. Majlis dinyatakan bermula 8.30 itu sebenarnya adalah bagi menunggu semua hadirin sampai termasuk masa untuk sarapan...




Saya masuk lewat sedikit ke dewan majlis kerana mahu menghabiskan sedikit bacaan Al-Quran. Ketika gambar ini diambil jam 9.30 sedang nyanyi lagu kebangsaan.




Ini diikuti bacaan Rukun Negara.



Tajuk majlis. Ia adalah yang ke-51 dalam siri Polemik Sejarah Malaysia. Siri diadakan secara bergilir di beberapa institusi milik atau terkait dengan kerajaan sekali hingga 2-3 kali setahun. Saya pernah hadir beberapa edisi, pertama kali di Arkib juga tetapi 13 tahun lalu. Lihat Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011.







Di sini tak perlulah diulas panjang tentang perjalanan majlis.







Saya masih kepenatan dan kurang rehat selain harus mengejar kuota bacaan Al-Quran harian.




Dan selepas ini, selewatnya esok hari Sabtu harus menyediakan satu artikel tentang diskusi buku di ISTAC. Sedangkan awal malam harus bergerak ke Muar kerana sudah berjanji hendak menjengok orang tua.




Tadi jam 8.30 hingga 10 pagi saya telah mengikuti satu majlis ilmu secara atas talian. Petang karang jam 3 mahu mengikut satu majlis atas talian lagi. Lalu kedua-dua dicadangkan mahu ditulis cerita tentangnya, selewatnya sebelum hari Isnin.




Cukuplah dinyatakan perkongsian sangat menarik.




Dapat juga  ilmu baru.



Masuk sesi soal jawab saya mengambil peluang untuk bertanya dan menyatakan sesuatu tentang  keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak, supaya tidak tenggelam kebenaran, supaya yang haq boleh mengatasi yang bathil. Boleh rujuk artikel Maklum balas rasmi terhadap pihak yang mendakwa berturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di media massa yang dipersembahkan Selasa 13 Ogos untuk hal berkenaan.




Seluruh perjalanan majlis ada direkod Arkib Negara lalu boleh ditonton dalam video ini. Untuk melihat saya bertanyakan soalan apa dan bagaimana boleh terus ke jam 3:27:03. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,535 di CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan