Rabu, Ogos 21, 2024

Kajian perbandingan hubungan antara negara dan agama di Malaysia dan Turki

OK. Lagi majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Majlis kali ini adalah tentang kajian perbandingan hubungan antara negara dan agama di Malaysia dan Turki. Pembicara adalah Dr Hakan Koni, daripada Universiti Bilim Ankara di Turki. Ia dilangsungkan semalam petang Selasa 20 Ogos 2024.



Saya mengikuti secara atas talian sahaja. Ini kerana ada saudara mara mahu datang bertandang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Ipoh kemudian Teluk Intan, tak tahu jam berapa.



Walaupun tajuk majlis kelihatan seperti hendak dimulakan dengan hal di Malaysia pembicara menyatakan lebih baik dimulakan dengan hal di Turki. Penceritaan dibahagikan kepada empat fasa :


1. Tahun 1920an hingga 1950an di mana cuma ada satu sahaja parti politik menentukan hala tuju

2. Tahun 1950an hingga pertengahan 1980an di mana sudah ada beberapa parti

3. Tahun 1980an hingga 2000an

5, Tahun 2001 dan seterusnya yang mana ada satu parti tertentu paling menguasai.




Fasa pertama adalah selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyah yang pernah memegang teraju kekhalifahan umat Islam selama 400 tahun. Kerajaan sekular yang muncul tahun 1920an mengikut model Eropah terutama Perancis atas nama kemajuan lalu seperti hendak mengenepikan Islam langsung daripada pemerintahan/pentadbiran negara. Nampaknya Islam dilihat sebagai kelemahan yang menyebabkan kerajaan Turki Uthamiyah kalah dalam Perang Dunia Pertama 1914-1918 lalu naik pihak berkenaan menjatuhkan pemerintahan beraja. Walaupun pembicara tidak menyebut nama, mereka yang peka sejarah tahu ia merujuk kepada Kamal Attaturk yang sering dinyatakan sebagai bapa kemodenan Turki. Walhal lain-lain pihak melihat beliau sebagai ajen belaan Yahudi Freemason bagi menjatuhkan kekhalifahan dan Islam.

Dalam keadaan ini Islam disudutkan lebih pada kehidupan peribadi sahaja. Walaupun masih ada lagi masjid-masjid untuk menunaikan solat berjemaah azan dalam bahasa Arab diharamkan, wajib dalam bahasa Turki. Ini mungkin kelihatan cuma bersifat nasionalistik atau demi mengangkat semangat kebangsaan sahaja. Namun kesannya jauh lebih meluas. Turki dibawa untuk menjadi lebih keEropaan atau keBaratan atas nama mengejar kemajuan bersifat materialistik. Kesannya, pengamalan kehidupan beragama individu pun secara rata menjadi longgar.




Masuk fasa kedua bermula tahun 1950an yang mana sudah muncul lain-lain parti politik membawa aspirasi selain parti dahulu yang sangat keBaratan. Baru ada usaha untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan bernegara. Sekolah-sekolah agama peringkat menengah (dipanggil sekolah Imam-Hatip) di dibina, kursus-kursus mengaji Quran diadakan, pendidikan dan penerbitan agama dipromosikan. Pun begitu dibuat perlembagaan baru tahun 1961 yang mana reformasi bersifat membebaskan diteruskan namun sekularisi diperkuatkan lagi melalui kuasa institusi.




Secara rata semakin menghampiri zaman sekarang semakin ada peningkatan dalam penghayatan dan usaha bagi mengembalikan kehidupan beragama melalui kekuasaan negara...




Saya tidak ingin lagi mengulas panjang. Ketika mengikuti majlis sampai ke slaid ini sekitar jam 2.50 mendapat pesanan WhatsApp menyatakan saudara mara yang bergerak dari Johor Bahru sudah sampai di sekitar Banting. Kemudian baru dapat tahu mereka tersilap mengikut Google Map ke Sungai Buaya, Banting. Sedangkan rumah saya adalah di Sungai Buaya, Rawang hampir 2 jam lagi perjalanan.




Apapun, saya kemudian disibukkan dengan mengemas rumah dan sebagainya bagi menerima kedatangan tetamu, Namun tetap meneruskan siaran majlis ilmu melalui Zoom walau tidak dapat memberikan tumpuan.  Jam  3.15 diambil gambar screenshot ini sambil mendengar sedikit bagaimana keadaan hubungan antara agama dan negara di Malaysia dilihat, bermula dengan kemerdekaan Malaysia (atau lebih tepat Persekutuan Tanah Melayu waktu itu) pada tahun 1957.




Secara rata penghayatan agama di Malaysia lebih terjaga dengan sokongan negara sejak awal (walau kita tahu ramai golongan elit yang menjadi tunggak pemerintahan dan pentadbiran negara telah berjaya diBaratkan melalui polisi pendidikan British yang menguasai selewatnya sejak selepas Perjanjian Pangkor tahun 1874). Peningkatan keIslaman dilihat bertambah pantas pada tahun 1980an dan dinyatakan memuncak dalam tempoh 20 tahun di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-4 Mahathir Mohamad. Untuk mengikuti sendiri bicara sila lihat video di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan