Adapun kali terakhir saya berkongsikan cerita suatu perjalanan adalah melalui artikel kompilasi Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 yang dipersembahkan pada 22 Januari. Tetapi itu bagi perjalanan yang dilakukan tahun lalu. Untuk perjalanan tahun ini belum ada lagi cerita dikongsikan. Biar dimulakan dengan ini...
Sejak tahun baru 2023 bermula saya dan keluarga ada membuat dua kali perjalanan pergi balik ke Janda Baik dan sekali ke kampung isteri di Tanjung Sepat. Semalam pagi Ahad 12 Februari 2023 kami ada membuat perjalanan balik hari (day trip) ke Perak. Yang ini baru tergerak hendak berkongsi cerita.
Perjalanan dilakukan bersama ibu bapa saya, seorang bapa saudara juga seorang adik saya dan isteri serta anaknya. Mereka datang dari Muar dan sampai hari Sabtu 11 Februari sejurus selepas masuk waktu Maghrib.
Selepas bermalam di rumah saya kami pergi ke Teluk Intan dengan dua buah kereta.
Ada majlis perkahwinan adik sepupu saya, anak kepada adik bapa.
Dapatlah berjumpa sejumlah saudara mara yang berasal daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Kiranya sangat relevan dengan usaha terbaru saya. Rujuk artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan yang dipersembahkan lewat petang Jumaat 10 Februari lalu.
Majlis diadakan di Dewan Perbandaran Teluk Intan. Dari situ dah tak jauh ke Durian Sebatang lalu kami diikuti dua lagi kereta saudara mara yang datang dari Raub pergi ke makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah I (bertakhta 1851-1857).
Kami pergi menziarahi saudara yang rumahnya terletak betul-betul di sebelah makam. Untuk pengetahuan kawasan ini dan sekeliling dahulu terletak di dalam kota Laksamana.
Selepas itu baru masuk ke pusat bandar Teluk Intan...
Itupun setakat lalu untuk ke Batak Rabit.
Pergi ke masjid warisan keluarga, masjid jamek Batak Rabit yang sedang dalam usaha menukarkan nama menjadi Masjid Laksamana Raja Mahkota.
Dan tentunya menziarahi makam nenek moyang di sebelah masjid.
Sesungguhnya perjalanan ke Perak kali ini terlebih istimewa kerana beberapa perkara. Antaranya :-
1. Perjalanan pertama ke Perak, lebih tepat ke tempat-tempat yang terkait dengan keluarga Laksamana di Teluk Intan seperti Durian Sebatang dan Batak Rabit bagi tahun 2023.
2. Kerana ibu bapa yang menetap di Muar ikut sekali. Kali terakhir bersama mereka ke Teluk Intan malah seingat saya kali terakhir bersama dalam mana-mana perjalanan adalah pada penghujung 2018. Lihat Majlis tahlil ad hoc keluarga Laksamana Raja Mahkota di masjid lama Batak Rabit.
3. Perjalanan dibuat dalam keadaan banyak perkara yang tidak diketahui tentang keluarga Laksamana iaitu daripada nasab belah bapa sudah diketahui. Itu yang akan diceritakan dalam buku (rujuk artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan).
Misalnya, walau sudah banyak kali ke Batak Rabit baru kali ini sampai dalam keadaan tahu bahawa tanah di seberang Sungai Perak betul-betul menghadap masjid adalah sebuah tanjung berdekatan Sungai Durian yang memenuhi deskripsi satu tempat bernama Tanjung Medan. Nama tersebut sudah hilang dalam peta namun ia menepati ciri-ciri dalam catatan-catatan berkenaan. Dengan itu di hadapan sana harus terdapat makam Laksamana kedua Perak, Laksamana Tok Chik yang dikenali sebagai Keramat Tanjung Medan. Beliau adalah anakanda kepada Laksaman pertama, Nakhoda Hitam yang makamnya telah dialih dari Kampung Bahagia (dulu dalam lingkungan tempat bernama Kuala Bidor) ke Batak Rabit...
Dari masjid kami ke rumah seorang saudara yang duduk berdekatan tetapi tiada orang di rumah. Kami pun bergerak ke arah Hutan Melintang, lalu di hadapan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) di mana isteri saya pernah belajar 1983 hingga 1992.
Selepas itu masuk ke pekan Sabak Bernam kemudian ke Sungai Besar. Singgah di sebuah warung menjual hidangan istimewa mee udang lipan. Kemudian ke Sekinchan diikuti Tanjung Karang lalu pulang ke rumah melalui laluan Bestari Jaya (Batang Berjunta) dan Ijok membawa ke lebuh raya LATAR dan PLUS. Sampai ke rumah sekitar jam 9.30 malam.
Tadi jam 1 petang ibu bapa, bapa saudara dan adik serta isteri dan anaknya baru meninggalkan rumah untuk kembali ke Muar. Pada saya perjalanan ke Perak yang merupakan kali pertama bagi tahun 2023 adalah perjalanan dengan restu ibu bapa dalam saya menangani pelbagai perkara melibatkan keluarga Laksamana Raja Mahkota. Hal ini boleh dirujuk dalam artikel Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama yang dipersembahkan pada 22/12/22. Dengan itu semoga yang bathil akan hilang dan sendirinya. Yang haq akan terserlah tanpa banyak kerenah dan masalah.
Oh. Ketika menyemak kembali penulisan ini baru ternampak satu corak menarik. Adapun baru sahaja disebut dalam perenggan atas bahawa artikel Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama dipersembahkan pada 22/12/22. Satu nombor yang cantik. Bila melihat pada pembukaan penulisan didapati ada disebut tentang artikel kompilasi Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 dipersembahkan pada 22 Januari. Tepat sebulan antara satu lain.
Untuk bulan Februari belum cukup 'haul' untuk masuk tarikh 22 haribulan. Hari ini baru 13 Februari. Tapi kalau tukar tarikh Islam jadi 22 Sya'aban sekurang-kurangnya menurut kalendar di rumah. Jadi ada juga faktor 22 itu. Hmm. Teringat pula ada disebut dalam penulisan ini tentang makam Sultan ke-22 Perak, dalam kawasan yang dahulunya merupakan Kota Laksamana. Ada makna tu. :]