Jumaat, Mei 26, 2023

Pulau Besar tahun 2023 atas asbab jengok ibu bapa di Muar

Salam petang Jumaat 6 Zulkaedah 1444 Hijriah. Merujuk pada artikel ISTAC, buku dan majlis raya keluarga Laksamana tahun 2023 yang dipersembahkan Isnin lalu. Adapun ketika ia ditulis lalu dipaparkan saya sedang berada di rumah ibu bapa di Muar. Sekarang biar dikongsikan cerita berkenaan.



Artikel ISTAC, buku dan majlis raya keluarga Laksamana tahun 2023 ada menyebut selepas menghadiri majlis raya keluarga di Kota Damansara Sabtu 20 Mei bersamaan 29 Syawal saya dan keluarga pergi ke majlis lain. Kembali ke rumah waktu malam datang tetamu ke rumah. Begitu juga keadaannya keesokannya Ahad 21 Mei bersamaan 1 Zulkaedah.

Sementara itu, sejak beberapa hari sebelum itu ibu saya pula sedang mengalami satu masalah kesihatan. Petang Ahad itu bergeraklah saya kembali ke kampung itu menjengok beliau dan bapa yang kedua-duanya berumur 81 tahun. Sambil itu juga dapat menghadiahkan buku baru saya yang dilancarkan 13 Mei. Lihat artikel-artikel berikut :-








Petang Isnin 22 Mei baru keluar berjalan-jalan. Seperti biasa singgah di beberapa tempat kegemaran termasuk masjid jamek Muar.



Saya kembali ke Muar itu seorang diri kerana isteri bekerja dan anak bersekolah. Dapatlah meluangkan masa untuk menziarahi kubur ibu  bapa kepada ibu saya di Bakri Batu 6 juga kubur adik lelaki bongsu yang sudah bertahun tidak dijejaki.



Pergi pula ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah (Melaka) di Kampung Raja, Pagoh.



Malam itu pekena Mee Bandung Muar di Medan Selera Bentayan.




Pagi Selasa 23 Mei pekena Nasi Beringin di medan selera bersebelahan apa yang dikenali warga Muar sebagai stesyen bas Melaka.



Selepas itu mengambil jambatan lama menyeberangi Sungai Muar.



Tergerak masuk ke satu kawasan yang seingat saya tidak pernah dijejaki sebelum ini bagi melihat pandangan sungai. Lihat artikel Muar river from the eastern banks of Tanjung Agas di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Petang itu, selepas menghabiskan beberapa jam lagi bersama ibu bapa baru mengorak langkah untuk kembali ke arah rumah sendiri di Selangor.



Dah alang-alang lalu Melaka pergi ke jeti Anjung Batu untuk ke Pulau Besar. Lihat Anjung Batu jetty after some years.



Kali terakhir saya ada masuk pulau adalah bersama keluarga September 2018. Lihat artikel lama Muar, Bukit Kepong dan Pulau Besar sekitar awal Muharram. Kali terakhir bersendirian pula, juga kali terakhir bermalam adalah pada Ogos 2017. Lihat Dari Pagoh ke Pulau Besar - Ke pulau seorang diri setelah bertahun tidak berbuat begitu diikuti Dari Marina Resort Pulau Besar ke Masjid Kampung Keling.



Bila bersendirian ini lebih mudah bergerak kerana tidak perlu memikirkan kepenatan dan keselesaan isteri dan anak-anak. Maka lebih banyak tempat dapat dicapai tanpa perlu mengira masa lewat petang Maghrib bagai. Lihat artikel-artikel berikut :-









Dapat juga berjalan dalam kegelapan malam jauh ke tempat-tempat yang terperosok. Didapati kali ini banyak binaan termasuk tempat wakaf, pondok dan binaan makam telah dirobohkan. Gambar atas  diambil di suatu batu hampar dalam kegelapan malam menggunakan flash. Ia terasa begitu selesa singgah saya tidur sekitar setengah jam sebelum bergerak ke masjid/surau di sebelah bangunan makam utama iaitu makam Sultan Ariffin Sheikh Ismail yang masih wujud, tidak berani dikacau orang.




Gambar ini diambil sambil menunggu bot jam 8 pagi untuk kembali ke tanah besar. Sebelum itu saya mengambil sedikit masa untuk menikmati pemandangan di beberapa tempat. Lihat artikel Early morning views at the main beach of Pulau Besar diikuti On to the jetty towards mainland.



Perjalanan kembali ke arah rumah disambung dengan mengambil jalan lama.



Singgah di Sendayan untuk menghantar senaskah buku terbaru saya. Sebetulnya sepanjang tempoh perjalanan ini saya mendapat 9 tempahan baru berbayar atas talian, campur 1 tempahan berbayar hari Sabtu yang belum sempat dilunaskan. 5 buku pun dihantar melalui Poslaju di Muar pagi Isnin, 3 di Merlimau petang Selasa iaitu sebelum masuk ke Pulau Besar.



Satu lagi tempahan pula diterima pada pagi Rabu. Ketika itu saya dalam perjalanan dari Melaka hendak ke Putrajaya. Apabila mendapati alamat posnya di Sendayan lebih kurang dalam laluan saya pun menghantar ke sana. Selepas itu terus mencari masjid untuk mandi dan bertukar pakaian kerana saya keluar itu memakai pakaian sama ketika masuk pulau dan bermalam walaupun ada mandi sebelum solat Subuh.




Kebetulan masjid yang ditemui adalah masjid besar berdekatan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Tengok-tengok ramai orang menghantar keluarga pergi haji melepak di masjid. Ini kerana ia terletak di sebelah Kompleks Tabung Haji.



Selesai mandi dan bertukar pakai terus ke kompleks bangunan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk satu urusan. Alhamdulillah selesai kemudian sempat sampai ke kawasan rumah untuk mengambil anak yang kebetulan hari itu ada aktiviti kurikulum di sekolah hingga jam 3 petang. Lalu didapati perjalanan ini meliputi jarak 658 km pemanduan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan