Lagi cerita kecil berkenaan. Kali ini bahagian terakhir. Bersambung daripada artikel Asbab kursus di Bagan Lalang - Apa ada di Bukit Bangkong?.
Pagi Jumaat 16 Mac 2023. Kami anak beranak bergerak dari Tanjung Sepat ke Shah Alam.
Isteri harus ke ibu pejabat negeri syarikatnya berdekatan pusat bandar raya. Maka adalah lebih menjimatkan masa, tenaga dan belanja bergerak ke utara dari Tanjung Sepat hampir 70 km ke sana. Petang nanti baru kembali ke rumah hampir 50 km lagi ke arah ke utara.
Kalau tidak tentu kami telah kembali ke rumah pada hari sebelumnya iaitu selepas isteri selesai berkursus di Bagan Lalang petang Khamis. Sementara isteri harus ke pejabat saya membawa anak berjalan ke taman tasik.
Tengok-tengok ada tempat pejalan kaki tinggi. Layan le anak beranak. Lihat artikel Elevated walkway at Shah Alam lake garden di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Selepas itu pergi ke Perpustakaan Raja Tun Uda, dalam kawasan kelab golf Shah Alam. Untuk pengetahuan ia dinamakan sempena seorang kerabat diraja Selangor bernama Raja Uda bin Raja Muhammad bin Raja Hassan (Raja Hassan Busu bin Raja Muda Nala. Lihat ).
Anak suka kerana di bahagian kanak-kanak perpustakaan ada semacam pokok buatan dengan tanah tinggi.
Saya sendiri pun suka melepak di situ. Di bawah 'pokok' itulah ditulis artikel ketiga perjalanan ke selatan Thailand 9-12 Mac iaitu Misi kedaulatan Singgora - Pertama kali sempat bersolat di Jumaat di selatan Thailand. Apakah yang tersirat?.
Ah. Baru teringat cerita tentang perjalanan ke Songkhla lalu dapat bersolat Jumaat di sana itu ditulis pada pagi Jumaat di Shah Alam iaitu tepat seminggu selepas perjalanan. Kali ini, sampai waktu untuk bersolat Jumaat pergilah ke masjid negeri di pusat bandar raya Shah Alam. Lihat Friday prayers at the Selangor state mosque in Shah Alam.
Tengok-tengok Sultan Selangor pun ada lalu dapatlah bertegur sapa. Raja Muda pun ada. Mereka tertarik dengan tanjak lusuh yang biasa saya pakai ke sana ke mari. Seingat saya pernah beberapa kali bersolat Jumaat di masjid negeri. Tetapi inilah kali pertama dapat bertemu mereka di masjid.
Terasa seperti ia mengisyaratkan sesuatu tentang perjalanan beberapa hari itu yang berlaku atas asbab isteri berkursus di Bagan Lalang. Sesungguhnya seluruh kawasan pantai yang dilalui sehingga ke Tanjung Tuan pernah terletak di bawah kekuasaan kerajaan Selangor, sehingga selepas pertengahan abad ke-19 Masihi. Selepas menghantar isteri ke tempat kursus buat pertama kali saya pergi ke Lukut lalu dapat menziarahi makam Raja Busu Hassan. Lihat Asbab kursus di Bagan Lalang - Eksplorasi Lukut dan Tanjung Tuan Pagi Jumaat selepas selesai kursus pergi pula ke Perpustakaan Raja Tun Uda yang dinamakan sempena seorang keturunannya. Kemudian bertemu pula Sultan Selangor dan Raja Muda selepas solat Jumaat di masjid negeri. Hmm...
Kembali ke rumah petang itu didapati jarak pemanduan sejak perjalanan bermula Isnin malam Selasa 13 Mac mencapai 532 km. Dengan ini selesailah cerita perjalanan asbab kursus di Bagan Lalang yang dilakukan sejurus selepas kembali dari selatan Thailand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan