Salam. Sekadar melepaskan beberapa perkara sempena hari ini tarikhnya 13 iaitu bagi bulan Disember tahun 2022.
Petang Ahad 4 Disember 2022 saya membawa isteri dan anak ke majlis hari jadi anak sepasang suami isteri kawan kami yang diikuti sambutan Maulidur Rasul di Bukit Beruntung.
Di majlis ini timbul rasa saya untuk bergendang.
Selepas itu, seperti biasa, apabila hadir ke majlis Maulid, layan sikit 'naik sheikh'. Lihat dalam videonya di sini.
Hampir jam 5 baru bergerak ke majlis seterusnya di Gombak, majlis melibatkan dunia kecantikan yang dianjurkan oleh kawan isteri, seorang pengasas produk-produk kecantikan yang ada nama.
Kami sampai lambat ketika ramai orang sudah beredar. Tetapi sempat le layan sat. Dapatlah berkaraoke lagu "Sejati".
Kiranya daripada layan Maulud jadi layan "Rock kapak". Lihat video di sini.
Ini pula pintu kayu rumah lama yang dibeli apabila keluar bersama isteri petang Rabu 7 November.
Turut dibeli adalah tingkap-tingkap kayu rumah lama.
Cadangnya mahu digunakan untuk membuat satu bilik kayu khas di perkarangan hadapan rumah.
Esoknya pagi Khamis 8 Disember saya ke tempat menyambung pengajian pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Ada majlis melibatkan satu nombor kesukaan saya iaitu 13.
Guru saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menerima anugerah antarabangsa ke-13 Al-Farabi dari duta Iran. Kerana mengiktiraf banyak sumbangan beliau terhadap perkembangan pemikiran dalam dunia Islam dan telah banyak menulis tentang Al-Farabi, seorang tokoh besar ilmuwan silam abad ke-9 Masih. Lihat tulisan-tulisan lama saya yang berkenaan :-
2. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang
Di majlis di ISTAC baru dapat tahu anugerah sepatutnya diterima di Tehran, Iran pada bulan Julai tahun lalu. Namun disebabkan kekangan pergerakan akibat Covid-19 selain faktor umur Osman tidak dapat ke sana. Setelah beberapa lama baru diputuskan biarkan duta besar Iran menyampaikannya di sini.
Menariknya hal tersebut membuatkan anugerah ke-13 itu diterima pada 8 Disember 2022 yang tarikh Islamnya adalah bersamaan 13 Jamadialawal 1444 Hijriah. Saya sedari ini berdasarkan kalendar di rumah kerana telah memulakan puasa putih iaitu bagi tanggal 13, 14 dan 15 bulan Islam. Teringat pula bagaimana sejak beberapa bulan kebelakangan sibuk dengan hal-hal melibatkan harta pusaka moyang atau lebih tepat, moyang kepada datuk saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Paling signifikan adalah kerana keterlibatan itu adalah melalui datuk kepada datuk saya, anak Muhammad Amin yang dikenali dalam catatan-catatan lama British sebagai Orang Kaya Arshad, orang yang entah kenapa sejarahnya banyak hilang tetapi kemudian didapati pernah menjadi Laksamana ke-13 Perak.
Hal ini menyebabkan saya berazam akan menulis tentang majlis anugerah ke-13 Al Farabi itu pada tarikh 13 Disember iaitu hari ini. Sebelum itu iaitu lewat petang Ahad sempat bergerak ke Shah Alam untuk satu hal lain.
Hari itu 11 Disember adalah hari terakhir Pesta Buku Selangor. Kebetulan juga tarikh tersebut adalah hari ulangtahun perkahwinan saya dan isteri yang ke-14.
Oleh kerana sampai ke Shah Alam waktu senja kami ke masjid negeri terlebih dahulu untuk menunaikan solat Maghrib.
Kemudian baru dapat tahu Pesta Buku Selangor tidak lagi diadakan di Shah Alam di tengah bandar raya sebaliknya di pusat konvesyen majlis bandar raya yang kalau tak salah baru beberapa bulan dibuka.
Lokasinya di pinggir timur bandar raya sebenarnya lebih dekat dari rumah kami. Kalau tahu tentu kami tidak akan masuk ke pusat bandar raya lalu tidak akan ke masjid negeri. Mungkin Allah SWT mahu kami bersolat Maghrib pada hari ulang tahun perkahwinan kami di situ. Sekarang biar diluahkan sesuatu
Kalau ikut rancangan asal sepatutnya saya berkongsi ilmu dalam satu majlis di selatan Lembah Klang pada petang Sabtu 10 Disember. Saya diminta oleh seorang kenalan lama untuk membuat pengisian bagi majlis yang mula dirancangnya sekitar 2-3 minggu sebelum itu. Tetapi apabila majlis mendapat kelulusan berserta bajet nama saya pula digugurkan, atas alasan tidak cukup masa. Walhal difahamkan nama saya ada dalam kertas kerja asal untuk menunjukkan pengisian ketika memohon kelulusan dan bajet.
Hal ini membuatkan saya terasa amat kecewa. Menggugurkan nama tu satu hal, tidak diberitahunya langsung sampailah saya tergerak untuk bertanya pertengahan minggu lalu iaitu selepas menyediakan slaid bagi pembentangan. Kelihatan pihak berkenaan segan untuk memberitahu tanpa memikirkan apa perasan saya kalau sampai ke majlis tiba-tiba sampai masanya baru diberitahu slot saya telah dibatalkan. Terasa seperti amat dikhianati dan ditikam belakang.
Sebetulnya dalam sebulan dua kebelakangan ini rasa sedemikian kuat mencengkam. Sebagai seorang aktivis kedaulatan Melayu dan Islam yang sayangkan ilmu dan suka pada dunia pemikiran saya sudah lama menjalankan aktiviti-aktiviti berkenaan secara percuma tanpa memikirkan apa-apa kepentingan diri kecuali untuk merasa lega apabila timbul gerak untuk melaksana suatu tugasan. Saya tidak pernah cuba mencari duit melalui jalan itu, dan saya tidak mencari pengikut. Sedangkan sebagai seorang yang juga dikenali sebagai penulis buku sejak tahun 2006 sebelum dikenali sebagai aktivis yang menganjur acara-acara keilmuan percuma sejak tahun 2012 dah lama boleh buat.
Tetapi tidak sesekali kerana bukan itu tujuan. Jadi apakah tujuan saya? Rasa dah letih hendak berkongsi apabila melihat ramai sebenarnya lebih mengejar nama, mengumpul pengikut dan membuat duit. Dalam keadaan ramai sebenarnya begini tetapi menggunakan agama dan warisan untuk mencapai hajat bagaimana hendak mengharapkan orang faham? Bagaimana mahu faham hakikat sebenar suatu perjuangan yang perlu disertai banyak pengorbanan disebabkan darah daging yang dimiliki menuntut ia untuk dilakukan? Kalau tidak saya tidak boleh duduk senang?
Berdasarkan keadaan realiti sebenar zaman yang boleh dilihat terzahir begitu hebat dengan segala macam penipuan dan 'penyakauan' dapat dihalalkan oleh para pemimpin negara selepas Pilihan Raya Umum atau PRU ke-15 baru ini besar kemungkinan saya pun dituduh begitu oleh orang lain walau tidak pernah mengambil untung atau mengumpul pengikut daripada semua usaha. Apapun kalau pergi ke majlis pada 10 Disember itu besar kemungkinan pada 11 Disember pun saya masih berada di selatan Lembah Klang. Besar kemungkinan tidak akan ke Pesta Buku Selangor di Shah Alam apa lagi mahu bersolat Maghrib di masjid negeri pada hari ulang tahun yang ke-14.
Sekadar menambah. Sejak sebulan kebelakangan saya sebenarnya kurang sihat dan kepala berat, selalu dilanda batuk-batuk tekak gatal. Apabila mendapat sedikit kelegaan dapatlah digagahkan diri ke majlis-majlis. Tentang nombor 14 pula saya sebenarnya sedang menulis buku ke-14. Kali ini tentang Laksamana Muhammad Amin dan anaknya Orang Kaya Arshad.
Alhamdulillah buku yang secara rasminya dimulakan penulisannya pada hari Khamis 1 September 2022 malam Jumaat 5 Safar 1444 Hijiraih, setelah 2-3 bulan mengumpul bahan, telah melangkaui 400 muka surat. Ia dijangka mencapai atau melebihi 500 muka surat apabila siap. Walaupun ia adalah buku ke-14 saya bercadang untuk mengisytiharkannya sebagai buku ke-13 + 1. Ada faktor 13 yang sangat relevan dengan isi buku juga penulisan artikel ini, ada faktor nombor 131 yang membawa makna home sweet home atau "syurgaku rumahku" saya dan isteri.
Oh. Baru teringat. Kalau ikutkan rancangan juga, hari ini Selasa 13 Disember harus mengorak lagi langkah ke Ipoh supaya dapat mengikut mesyuarat keluarga Laksamana pada malamnya dan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah pada pagi Rabu 14 Disember. Tapi kali ini, setelah berbincang bersama isteri, elok tak payah pergi. Kena jimat belanja dan tenaga untuk satu perjalanan jauh akan datang selain kurangkan pening memikirkan hal-hal berkenaan. Lalu lebih elok hari ini dan seterusnya digunakan untuk menguruskan beberapa persediaan bagi perjalanan. Sekian.