Sabtu, Disember 03, 2022

Misi keluarga Laksamana part VII - Antara Sungai Salu dan Gua Kandu

Salam. Pada penghujung artikel Dari Sungai Buaya Rawang ke Sungai Buaya Banting : Asbab balik kampung isteri pada hari lahir ke-52 yang dipersembahkan pagi Isnin lalu 28 November ada diberitahu bahawa  esoknya selewatnya petang harus bergerak lagi ke Ipoh supaya dapat bersama dalam urusan mahkamah pada pagi Rabu. Ini merujuk pada urusan melibatkan hal keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak seperti mana ada dinyatakan dalam artikel-artikel bersiri sebelum ini di atas nama "Misi Keluarga Laksamana". Alhamdulillah perjalanan berkenaan selesai pada malam Jumaat lalu. Sekarang baru ada kelapangan untuk mula berkongsi cerita.


Perjalanan dimulakan sebelum masuk waktu Zohor petang Selasa 28 November 2022.


Seperti biasa apabila ke Perak dari rumah lebih mudah masuh terus ke Lebuh Raya Utara Selatan.


Keluar di tol ke Tanjung Malim singgah di masjid lama Ulu Bernam untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar lalu beriktikaf sebentar.



Kemudian masuk ke pekan Tanjung Malim sebelum mengambil jalan lama ke Ipoh.



Tidak lama kemudian turun hujan lebat. Ini sudah dijangka kerana menurut laporan kaji cuaca kawasan Barat Semenanjung akan dilanda hujan lebat setiap petang selama tiga hari berturut-turut.



Selepas beberapa lama baru berhenti untuk makan tengah hari lewat.



Dekat jam 3.15 lalu di pekan Bidor.



Lebih kurang 15 minit kemudian sampai ke pekan Tapah.




Selepas itu ambil jalan ke Chenderiang lalu singgah di masjid ini. Lihat artikel Lawatan baru ke Masjid Chenderiang (New visit to the Chenderiang mosque) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Dari sana menghala pula ke air terjun Lata Kinjang.










Tapi setakat masuk sebentar melihat keadaan dari dalam kereta kerana tak mahu bayar duit masuk dan letak kereta yang boleh tahan mahal.




Walaupun terasa mahal saya faham ini adalah cara untuk Orang Asli sana menjana pendapatan buat masyarakat mereka. Kalau datang dengan keluarga untuk bermandi manda sekurang-kurangnya setengah hari mungkin berbaloi le. Kalau datang seorang diri setakat hendak menjengok sebentar memang tak patut. Masuk orang dewasa RM6 + letak kereta RM5 jadi RM11 wooo. Sedangkan kita nak singgah setakat 5-6 minit je celup kaki dalam kolam air terjun...




Perjalanan diteruskan menghala ke arah Gopeng melalui jalan belakang di sebalik Gunung Bujang Melaka...



Dah banyak kali sebenarnya lalu jalan ini. Tapi baru pertama kali singgah di satu kawasan air terjun menarik di kaki gunung tersebut menghampiri simpang ke Kampar dan Gopeng. Lihat artikel The waterfall at Sungai Salu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Di Gopeng pula tergerak untuk mengambil satu jalan dalam lalu membuat satu lagi persinggahan tak dirancang. Kali ini ke sebuah kompleks gua yang ditemui di tepi laluan. Lihat The caves of Gua Kandu.



Sebetulnya jalan berkenaan diambil kerana ia ditunjukkan dalam Google Map sebagai jalan terdekat untuk sampai ke sebuah pusat penanaman gaharu.




Cuma ketika itu selepas jam 6 petang. Ia ditutup selepas jam itu.





Dan memang ia ditutup hari Selasa. Cukuplah dapat melihat dari sekitar pintu gerbangnya.



Hampir jam 7 masuk ke bandar raya Ipoh.



Entah kenapa timbul rasa untuk mencuba nasi goreng sotong di sebuah gerai di tengah bandar raya. Tapi ia dijual sama ada dengan udang atau sotong mengikut sukatan tetap kedai. Layan le yang dengan sotong walaupun harga RM30 sepinggan.


Isnin, November 28, 2022

Dari Sungai Buaya Rawang ke Sungai Buaya Banting : Asbab balik kampung isteri pada hari lahir ke-52

Salam. Sekadar menurut gerak untuk melepaskan cerita menurut apa yang berlaku pada suatu waktu.



Petang Sabtu 26 November 2022. Saya membawa isteri dan anak keluar bermusafir lagi.




Asalnya saya tidak mahu keluar ke mana-mana pada hujung minggu itu. Minggu lepas baru sahaja kembali dari kampung saya di Muar 18-21 November (lihat Ke Muar bagi PRU-15) kemudian buat kajian kepustakaan di Arkib Negara dan Perpustakaan Negara 22-24 November (lihat Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama zaman British part VI). Rabu 30 November pula harus berada di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh untuk satu kes melibatkan keluarga Laksamana. 



Selain kepenatan saya juga masih belum betul-betul sihat daripada sakit-sakit batuk selesema yang telah melanda sejak lebih 3 minggu lalu. Tetapi memikirkan bahawa ada majlis melibatkan kawan-kawan lama dalam dunia persilatan maka digagahkan juga keluar. Oh, singgah menjamakkan solat di satu masjid berdekatan di Selayang sebelum ke lokasi majlis di FRIM iaitu institut perhutanan. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Al-Firdaus, Selayang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)  Selepas itu baru ke majlis. Lihat Majlis Silat dan Selawat 1444 di Selayang di  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)



Tengok-tengok isteri buat suprise. Adapun hari itu 26 November adalah ulang tahun hari lahir saya yang ke-52 menurut kiraan Barat. Saya sebut ikut kiraan Barat kerana menurut kiraan Islam saya sudah berumur 53 tahun sejak pertengahan tahun lagi. Isteri buat kejutan dengan senyap-senyap membelikan kek lalu buat sambutan bersama kawan-kawan persilatan...




Selesai itu saya bercadang untuk mencuba satu lebuh raya yang baru dibuka dalam seminggu dua. Diberitakan bahawa ia dibuka percuma sehingga 30 November. Inilah peluangnya.




Kebetulan sehari dua sebelum itu seorang saudara dua pupu daripada keluarga Laksamana menelefon untuk mengingatkan agar datang ke rumah kakaknya di Sungai Buaya, Banting kerana ada majlis perkahwinan anaknya. Allah. Terlupa pula saya. Nasib baik beliau mengingatkan. Maka memang sesuailah diambil lebuh raya hingga ke Shah Alam kemudian menuju ke Banting. Lihat artikel Trying out the new DASH highway  di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.







Kami sampai ke lokasi majlis hampir waktu Maghrib. Oleh kerana sudah tidak begitu jauh untuk ke kampung isteri di Tanjung Sepat malamnya bergeraklah kami ke sana. Kiranya ini adalah perjalanan dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang ke tempat dengan nama sama iaitu Sungai  Buaya juga tetapi di Banting. Jadilah ia asbab balik ke kampung isteri, pada hari lahir saya yang ke-52.



Oh. Sebetulnya anak bongsu kami juga sudah beberapa lama kebelakangan itu mengajak untuk kembali ke kampung isteri kerana mahu bertemu saudara sebaya yang rapat dengannya, pangkat anak saudara beliau. Pagi Ahad 27 November kami singgah ke kubur ayah isteri kemudian kubur ibunya berdekatan rumah pusaka keluarga,




Seterusnya layan mee mamak kemudian berjalan-jalan di pekan Tanjung Sepat.







Kami kembali ke kampung mengambil kesempatan atas cuti umum hari Isnin 28 November yang diberikan setelah Malaysia mendapat Perdana Menteri dan kerajaan baru selepas PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 pada 19 November.




Ini memberikan peluang untuk kami berada lebih lama di luar kawasan. Tengah hari Isnin baru mengorak langkah untuk kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang...



Berhenti sebentar di hadapan Morib Gold Coast untuk mengambil anak.



Beliau telah mengikut anak saudara isteri dan keluarganya bermandi manda di sana sejak waktu pagi. Saudara sebaya itu adalah anak kepada anak saudara isteri...




Selepas Morib kami mengambil jalan dalam lalu singgah ke tempat ini. Lihat A look at the jetty of Kampung Kelanang.




Selepas itu naik ke Bukit Jugra hingga hampir ke puncak sebelum turun sedikit untuk ke lereng yang memberikan pemandangan tercantik...







Ziarah ke makam Sultan Abdul Samad di bahagian lain bukit...







Selepas makan tengah hari di sebuah kedai kampung singgah untuk bersolat di masjid lama ini. Lihat Lawatan baru ke Masjid Alaeddin (New visit to the Alaeddin mosque).



Seterusnya ke GM Klang kerana isteri mahu membeli sejumlah barangan.




Dekat sejam kemudian juga baru menyambung perjalanan kembali ke rumah. Selesailah cerita lalu baru boleh berehat. Esok selewatnya petang harus bergerak lagi ke Ipoh supaya dapat bersama dalam urusan mahkamah pada pagi Rabu.