Isnin, November 28, 2022

Dari Sungai Buaya Rawang ke Sungai Buaya Banting : Asbab balik kampung isteri pada hari lahir ke-52

Salam. Sekadar menurut gerak untuk melepaskan cerita menurut apa yang berlaku pada suatu waktu.



Petang Sabtu 26 November 2022. Saya membawa isteri dan anak keluar bermusafir lagi.




Asalnya saya tidak mahu keluar ke mana-mana pada hujung minggu itu. Minggu lepas baru sahaja kembali dari kampung saya di Muar 18-21 November (lihat Ke Muar bagi PRU-15) kemudian buat kajian kepustakaan di Arkib Negara dan Perpustakaan Negara 22-24 November (lihat Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama zaman British part VI). Rabu 30 November pula harus berada di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh untuk satu kes melibatkan keluarga Laksamana. 



Selain kepenatan saya juga masih belum betul-betul sihat daripada sakit-sakit batuk selesema yang telah melanda sejak lebih 3 minggu lalu. Tetapi memikirkan bahawa ada majlis melibatkan kawan-kawan lama dalam dunia persilatan maka digagahkan juga keluar. Oh, singgah menjamakkan solat di satu masjid berdekatan di Selayang sebelum ke lokasi majlis di FRIM iaitu institut perhutanan. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Al-Firdaus, Selayang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)  Selepas itu baru ke majlis. Lihat Majlis Silat dan Selawat 1444 di Selayang di  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)



Tengok-tengok isteri buat suprise. Adapun hari itu 26 November adalah ulang tahun hari lahir saya yang ke-52 menurut kiraan Barat. Saya sebut ikut kiraan Barat kerana menurut kiraan Islam saya sudah berumur 53 tahun sejak pertengahan tahun lagi. Isteri buat kejutan dengan senyap-senyap membelikan kek lalu buat sambutan bersama kawan-kawan persilatan...




Selesai itu saya bercadang untuk mencuba satu lebuh raya yang baru dibuka dalam seminggu dua. Diberitakan bahawa ia dibuka percuma sehingga 30 November. Inilah peluangnya.




Kebetulan sehari dua sebelum itu seorang saudara dua pupu daripada keluarga Laksamana menelefon untuk mengingatkan agar datang ke rumah kakaknya di Sungai Buaya, Banting kerana ada majlis perkahwinan anaknya. Allah. Terlupa pula saya. Nasib baik beliau mengingatkan. Maka memang sesuailah diambil lebuh raya hingga ke Shah Alam kemudian menuju ke Banting. Lihat artikel Trying out the new DASH highway  di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.







Kami sampai ke lokasi majlis hampir waktu Maghrib. Oleh kerana sudah tidak begitu jauh untuk ke kampung isteri di Tanjung Sepat malamnya bergeraklah kami ke sana. Kiranya ini adalah perjalanan dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang ke tempat dengan nama sama iaitu Sungai  Buaya juga tetapi di Banting. Jadilah ia asbab balik ke kampung isteri, pada hari lahir saya yang ke-52.



Oh. Sebetulnya anak bongsu kami juga sudah beberapa lama kebelakangan itu mengajak untuk kembali ke kampung isteri kerana mahu bertemu saudara sebaya yang rapat dengannya, pangkat anak saudara beliau. Pagi Ahad 27 November kami singgah ke kubur ayah isteri kemudian kubur ibunya berdekatan rumah pusaka keluarga,




Seterusnya layan mee mamak kemudian berjalan-jalan di pekan Tanjung Sepat.







Kami kembali ke kampung mengambil kesempatan atas cuti umum hari Isnin 28 November yang diberikan setelah Malaysia mendapat Perdana Menteri dan kerajaan baru selepas PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 pada 19 November.




Ini memberikan peluang untuk kami berada lebih lama di luar kawasan. Tengah hari Isnin baru mengorak langkah untuk kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang...



Berhenti sebentar di hadapan Morib Gold Coast untuk mengambil anak.



Beliau telah mengikut anak saudara isteri dan keluarganya bermandi manda di sana sejak waktu pagi. Saudara sebaya itu adalah anak kepada anak saudara isteri...




Selepas Morib kami mengambil jalan dalam lalu singgah ke tempat ini. Lihat A look at the jetty of Kampung Kelanang.




Selepas itu naik ke Bukit Jugra hingga hampir ke puncak sebelum turun sedikit untuk ke lereng yang memberikan pemandangan tercantik...







Ziarah ke makam Sultan Abdul Samad di bahagian lain bukit...







Selepas makan tengah hari di sebuah kedai kampung singgah untuk bersolat di masjid lama ini. Lihat Lawatan baru ke Masjid Alaeddin (New visit to the Alaeddin mosque).



Seterusnya ke GM Klang kerana isteri mahu membeli sejumlah barangan.




Dekat sejam kemudian juga baru menyambung perjalanan kembali ke rumah. Selesailah cerita lalu baru boleh berehat. Esok selewatnya petang harus bergerak lagi ke Ipoh supaya dapat bersama dalam urusan mahkamah pada pagi Rabu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan