Salam. Malam tadi saya dan keluarga baru sahaja kembali daripada satu perjalanan di Terengganu yang memakan masa 5 hari 4 malam dan jarak pemanduan tidak kurang 1,100 km. Petang ini pula harus bergerak bersendirian ke Perak kerana satu urusan. Dengan itu tanpa membuang masa biar dimulakan perkongsian cerita perjalanan Terengganu.
Perjalanan bermula apabila kami bergerak meninggalkan rumah lewat petang Khamis 27 Oktober 2022.
Sampai di Gombak bertemu dengan dua orang kawan wanita yang mahu ikut sama. Lalu kami meninggalkan kereta di suatu tempat selamat dan menaiki kereta mereka yang lebih besar. Saya sebagainya satu-satu lelaki dewasa harus memandu.
Sampai ke Beserah di Kuantan selepas tengah malam lalu bermalam di rumah seorang lagi kawan wanita. Sebetulnya kawan-kawan yang disebut ini adalah kawan isteri saya selain kawan saya. Mereka-mereka ini sering terlibat dengan usaha-usaha kami mahu memartabatkan Melayu dan Islam.
Rumah kawan terletak dekat Pantai Pelindung iaitu ke utara di sebalik Bukit Pelindung, Kuantan. Baik nama Pelindung mahu Beserah yang meliputi semua kawasan berdekatan ada cerita-cerita di sebaliknya, cerita yang melibatkan pasrah, tawakal dan keyakinan kepada pengurusan Allah SWT.
Kami bergerak tengah hari Jumaat 28 Oktober untuk menyambung kembali perjalanan.
Singgah di masjid lama berdekatan di mana juga terdapat makam tokoh berkenaan yang membawa pada terbitnya nama Beserah.
Lihat artikel Lawatan baru ke Masjid Tok Senik (New visit to the mosque of Tok Senik), Beserah, Kuantan diikuti Lawatan baru ke makam Tok Senik (New visit to the tomb of Tok Senik), Beserah, Kuantan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selepas jam 12.30 baru meninggalkan masjid dan sekitarnya lalu sampai ke sempadan negeri Terengganu jam 1.15 petang.
Membelok menghala ke Kuala Kemaman ngam-ngam sampai ke masjid ini ketika orang mahu memulakan solat Jumaat. Lihat Masjid (Mosque of) As-Syakirin, Kuala Kemaman.
Selepas solat singgah membeli keropok di kedai berdekatan. Sempatlah melihat kawasan pantai sana. Lihat artikel The beach at Kuala Kemaman di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Jalan-jalan melihat suasana di kuala Sungai Kemaman, tempat yang menerbitkan nama Kuala Kemaman.
Perjalanan diteruskan melalui bandar Chukai untuk pergi lebih jauh ke utara.
Singgah sebentar pula di masjid lama berdekatan bandar yang memiliki sejarah yang terkait dengan Beserah dan tokoh sana. Lihat Lawatan baru ke Masjid (New visit to the mosque of) Kampung Tuan, Kemaman.
Selepas itu ke Pantai Teluk Kalong, Kijal untuk satu majlis persilatan lalu bertemu kawan-kawan seperjuangan. Lihat artikel Persinggahan ke Festival Main Gayong Nusantara 2022 di Pantai Teluk Kalong di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Sepanjang perjalanan dari Kuantan didapati banyak laluan sudah meriah dengan bendera pelbagai warna sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijadualkan berlangsung 19 November.
Semoga pilihan raya kali ini membawa lebih banyak kebaikan buat ummah, bukan sekadar menjadi penyelamat untuk para pembohong penyakau wang rakyat terus bermaharajela dan selamat daripada hukuman keadilan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan