Selasa, Mac 01, 2022

Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Menjiwai perjuangan orang Melayu menentang kesan buruk penjajahan

Salam para pembaca yang dimuliakan. Salam malam berkat dan istimewa Isra' dan Mikhraj. Adapun ketika menulis artikel  Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh di Janda Baik siang Isnin tadi saya menyangkakan tarikh Hijriahnya adalah 25 Rejab. Dengan itu artikel seterusnya mahu ditulis pada hari Rabu kerana menyangkakan tarikhnya  adalah 27 Rejab. Bila sampai kembali ke rumah sekitar jam 9 malam baru tersedar rupanya tarikh 27 yang merupakan hari Isra' dan Mikhraj itu sudah masuk pada waktu Maghrib. 

Sekitar jam 10 saya terlelap kerana penat. Terbangun jam 1.30 pagi saya membuat sedikit ibadah malam sehingga hampir jam 3. Selepas itu timbul rasa untuk menulis artikel sambungan. Setelah mengambil masa lebih 2 jam untuk menyiapkan 8 artikel sokongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 4 di BERPETUALANG KE ACEH  maka masuklah kita pada penceritaan hari ke-4 dan terakhir perjalanan ke Kedah dan Perak.






Hal telefon hilang membuat saya terfikir ia adalah petanda harus singgah ke makam. Kedudukannya di selatan kiri Sungai Perak adalah selepas jambatan yang menghubungkan Lambor Kiri dengan Lambor Kanan. Kalau tak hilang tentu tak ambil jalan kiri ke selatan jambatan dan tak lalu simpang ke makam. Selain itu ternyata ada satu lagi panggilan ke tempat lain yang berkenaan. Kalau tidak tentu tak singgah kerana terkeluar agak jauh dari laluan Kampung Gajah ke Teluk Intan.


Gambar atas menunjukkan keadaan sejurus sebelum solat Subuh berjemaah pagi Rabu 23 Februari dari tempat berkenaan. Agak-agak di manakah kami menginap?



Keadaan selepas selesai solat...



Ya. Kami anak beranak telah bermalam di masjid yang kelihatan. Dalam masjid ini, menggunakan talian Internet melalui telefon pintar dapat disiarkan Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22 pada lewat malam.




Saya pernah bermalam di masjid lama ini di Pasir Salak sekurang-kurangnya 2 kali seorang diri. Baru kini bermalam bersama isteri dan anak-anak. Sebaik sahaja matahari keluar saya mengambil peluang untuk meninjau tempat-tempat menarik dan bersejarah di sekitar. Lihat artikel-artikel berikut :-












Gambar ini pula dikongsikan di Facebook pada jam 8.08 pagi dengan teks berikut...


MENGHAYATI JIWA PERJUANGAN MELAYU ISLAM PERAK

Salam dan selamat pagi dari kompleks sejarah Pasir Salak. Alhamdulillah malam tadi saya dan keluarga dapat berehat dan beriktikaf di masjid lama menghadap tepian Sungai Perak di mana residen British ke Perak yang pertama J.W.W. Birch dibunuh oleh orang Melayu 147 tahun lalu disebabkan kebiadaban beliau dalam mencampuri urusan pemerintahan kerajaan Perak.




Sebelum meninggalkan Pasir Salak saya membawa keluarga menziarahi makam Si Puntum yang merupakan antara pejuang barisan hadapan dalam pembunuhan Birch. Seperti halnya pada tugu dan tempat-tempat dekat masjid kali ini baru diambil banyak gambar untuk dibuat artikel khas. Lihat Makam (Tomb of) Si Puntum. Ini adalah untuk memperbaiki kekurangan dalam rekod penulisan saya seperti ada dinyatakan dalam artikel Tentang ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Perak pada 13 hari lalu. Sebetulnya ada lagi beberapa tempat yang mahu diziarahi tetapi keadaan belum mengizinkan.




Kami bersarapan agak lewat iaitu pada jam 10.20 di pekan Kampung Gajah. Selepas itu bergerak ke bandar Teluk Intan lalu masuk ke kawasan pendalaman di belakang Sungai Manik.




Tujuannya adalah untuk mencari tempat di mana seekor gajah jantan telah melanggar kereta api secara berhadapan sehingga gerabak tergelincir lebih 120 tahun lalu. Lihat Memorial pelanggaran gajah (Elephant crash memorial), Teluk Intan. Rupa-rupanya ia terletak di satu bahagian pinggir bandar lalu boleh dicapai melalui jalan besar. Tetapi disebabkan tidak tahu lokasi tepat harus tercari-cari masuk ke kawasan pendalaman merentas sawah padi luas menggunakan jalan atas batas yang sempit sehingga tidak boleh berselisih kenderaan.




Selesai lawatan kami terus ke pejabat Orang Besar Jajahan Hilir Perak dekat pusat bandar. Kami mahu bertemu pemegang gelaran Orang Kaya kaya Laksamana Raja Mahkota yang baru iaitu Dato' Meor Redwan. Seperti saya beliau juga adalah ahli keluarga besar Laksamana Perak. Cuma Laksamana baru itu adalah daripada cabang yang lain, bukan daripada moyang saya iaitu Laksamana Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah tahun 1877 kerana dikatakan terlibat dalam perancangan pembunuhan J.W.W. Birch tahun 1875.




Kami datang tanpa dirancang mahupun membuat apa-apa temu janji kerana mahu mengucapkan tahniah atas penganugerahan gelaran yang baru diterimanya daripada Istana Perak sekitar 3 minggu sebelum itu. Cuma difahamkan beliau menerima makluman secara tidak rasmi. Belum keluar apa-apa surat mahupun diadakan majlis berkenaan untuk memasyhurkan beliau sebagai Laksamana baru.

Walaupun belum mengenali beliau tiada masalah menerima kedatangan kami setelah diberitahu ada waris dari Batak Rabit, daripada keturunan Orang Kaya Muhammad Arshad mahu bertemu. Beliau pula menyatakan tertarik dengan tanjak saya. Sebetulnya kami pernah bertemu dan bertegur sapa dalam satu majlis ilmu di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Kemudian bertemu ketika majlis suai kenal dan temu bual untuk gelaran Laksamana pada awal November tahun lalu. Rujuk artikel-artikel berikut :-




Selain itu saya mahu memberitahu secara berhadapan mata bahawa saya tidak pernah memohon gelaran Laksamana. Yang dimohon adalah gelaran Toh Muda Laksamana iaitu bakal Laksamana. Tiada niat saya untuk melangkah kedudukan beliau sebagai Toh Muda ketika itu. Fikir saya apabila Laksamana terdahulu meninggal dunia pada penghujung bulan Februari tahun lepas beliau secara automatik akan naik sebagai Laksamana tidak lama lagi kerana begitulah adat dan kebiasaan sejak hampir 300 tahun lalu. Dengan itu jawatan Toh Muda akan menjadi kosong lalu mana-mana waris yang berkelayakan boleh memohon. Itulah yang saya lakukan iaitu memohon gelaran Toh Muda. Lihat kembali penerangan dalam artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai.

Siapa sangka kemudian dipanggil untuk temu duga bagi gelaran Laksamana? Namun diakui kalau berpeluang untuk naik terus sebagai Laksamana tanpa menjadi Toh Muda saya akan ambil. Saya ada tujuan dan matlamat perjuangan tersendiri. Gelaran tinggi dalam hieraki kepimpinan tradisional Kesultanan Perak ini boleh memberikan kuasa, cara dan alat perkakas bagi melaksanakan banyak perkara yang pernah dibincangkan dalam majlis-majlis ilmu anjuran pihak saya. Rujuk perkara-perkara berkenaan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)



Niat saya boleh dipendekkan sebegini...


Aku mahu menterbalikkan segala kesan negatif Perjanjian Pangkor tahun 1874 yang menyebabkan bangsaku Melayu dan agamaku Islam jadi seperti terabai dalam arus kemodenan zaman yang seperti melebihkan puak liberal serta bangsa dan penganut agama lain.


Adapun moyang saya Laksamana Muhammad Amin itu merupakan salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pangkor. Rentetan panjang daripada perjanjian ini terbitlah keadaan sosio politik negara Malaysia sekarang yang antaranya menyebabkan mahkamah sivil berasaskan undang-undang ciptaan Barat dapat mengatasi mahkamah syariah dan undang-undang Islam. Raja-raja Melayu dijadikan seperti rubber stamp atau alat rasmi pengesahan sahaja sambil ahli-ahli politik bermaharajalela. Hal ini adalah warisan tersurat dan tersirat daripada isi perjanjian yang menyatakan raja mesti menerimapakai nasihat Residen British kecuali dalam hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Ahli politik yang mudah terpalit dengan kegilaan harta dunia lalu mudah dibeli para kapitalis kaya terutama towkay-towkay Cina seperti mewarisi peranan residen menegakkan kepentingan-kepentingan sekular sambil memperkecilkan peranan raja dan pembesar tradisional Melayu.

Realitinya hal agama dan adat juga kini dilanggar akibat renteten peristiwa demi peristiwa yang berkaitan. Sesuatu harus dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Ini adalah tanggungjawab para raja dan pembesar yang bertakwa, sedar akan amanah yang wujud dalam darah keturunan lantaran kedudukan yang diberikan, bukan untuk bermewah dan bermegah lalu jadi terikut dengan rentak ahli politik dan kapitalis keduniaan. 

Oh. Saya tidak menyatakan hal ini kepada Dato' Meor. Sebaliknya kami lebih banyak berbual tentang hal nasab keluarga sebelum saya meminta agar beliau sebagai Laksamana baru kerajaan negeri Perak terbabit secara langsung dalam memajukan masjid lama warisan keluarga di Batak Rabit. Antaranya agar namanya ditukar menjadi Masjid Laksamana Raja Mahkota. Ini sesuai dengan kedudukan masjid yang mana terdapat makam beberapa orang Laksamana, dalam jajahan takluk yang secara tradisionalnya adalah di bawah kuasa Laksamana sejak turun temurun. 

Pada saya ini adalah satu tindakan yang mudah dan murah untuk menaikkan masjid kerana ada kesan saikologi pantas akibat jelas dapat dilihat semua. Sambil itu peranan Laksamana sebagai pembesar yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negeri daripada pencerobohan musuh luar boleh ditekankan dan dizahirkan. Kali ini secara strategik pakai otak, bukan dengan berperang secara fizikal seperti pada zaman lampau. Namun kesediaan untuk berperang tetap harus ada kerana kita pun sudah berada di penghujung akhir zaman. Cuma biar disimpan untuk masa yang memerlukan.

Kalau saya jadi Laksamana memang tukar nama masjid adalah perkara pertama mahu dilakukan. Ini sebenarnya telah dibincangkan dalam satu mesyuarat ahli jawatankuasa masjid dan waris yang dihadiri lebih setahun lalu. Lihat artikel Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian. Sebetulnya ada banyak perkara telah difikirkan mahu dilakukan terutama di Teluk Intan dan Hilir Perak bagi menaikkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Sekarang biar Dato' Meor melakukan. Saya sudi membantu lalu memberitahu moyang saya Muhammad Amin sebelum menjadi Laksamana pernah menjadi pembantu kepada moyang beliau iaitu Tok Tua Saleh daripada cabang keluarga Sungai Durian, di seberang Sungai Perak dari Batak Rabit. 



Selesai pertemuan kami masuk ke pusat bandar untuk mencari tempat makan tengah hari. Tergerak untuk mengambil satu simpang lalu sampai ke kawasan tepiam Sungai Perak ini. Dapatlah melihat pemandangan malah setelah makan di warung berdekatan sempat naik bot ke seberang. Lihat artikel-artikel berikut :-








Selesai naik bot pusing-pusing bandar...




Ya. Banyak perkara boleh dilakukan untuk menaikkan kembali kepentingan orang Melayu dan Islam.




Antaranya, dengan memulihkan lalu menaikkan kembali peranan Istana Raja Muda yang sudah lama  terbengkalai. Mungkin boleh dijadikan muzium, mungkin boleh dijadikan galeri. Jadi pusat pengajian agama pun boleh kalau tidak ada Raja Muda Perak mahu kembali bersemayam. Ada pusat adat istiadat Melayu, tempat untuk melakukan aktiviti-aktiviti keMelayuan seperti memakai busana tradisional penuh berkeris dan bertanjak selain bersilat. Yang penting boleh menghidupkan dan meningkatkan semangat orang Melayu dan Islam di Teluk Intan kalau tidak pun di seluruh Hilir Perak.



Dekat jam 2.30 baru sampai ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit di mana terletak kawasan pemakaman khas bagi waris. Kami mahu menjamakkan solat Zohor dan Asar kemudian beriktikaf sebelum kembali ke rumah.







Oh. Dato' Meor ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat 25 Februari akan datang sejumlah VVIP untuk bersolat di masjid termasuk beliau sendiri lalu diadakan majlis. Masjid Batak Rabit telah dipilih kerana merupakan sebuah masjid tua warisan.




Isteri pun mencadangkan agar saya hadir bersolat Jumaat sekali.




Tetapi apabila difikirkan kembali rasa tak larat, penat.




Perjalanan ke Kedah dan Perak telah memakan jarak pemanduan 1,200 km sambil terkejar-kejar untuk melawat banyak tempat dan bertemu ramai orang dalam tempoh 4 hari 3 malam. Lewat petang Rabu baru sampai rumah. Kalau hendak menyertai majlis Jumaat 25 Februari harus berkejar 130 km ke Batak Rabit. Sedangkan malam itu juga rancangnya mahu kembali ke kampung isteri di Tanjung Sepat iaitu lebih 120 km ke arah berlawanan di selatan Selangor. Pagi Isnin nanti hendak ke Janda Baik, Pahang pula untuk menghantar anak masuk ma'ahad tahfiz. Khamis atau Jumaat selepas itu mahu ke rumah ibu bapa di Muar iaitu 240 km ke selatan sebelum menghadiri satu majlis di Melaka pagi Ahad. Memang penat dan terkejar-kejar.

Ya. Saya tak larat ke Batak Rabit untuk bersama majlis dalam waktu begitu suntuk selepas kembali dari Kedah. Namun rasa hendak pergi tu memang ada. Bukan sebab hendak bertemu orang besar sangat tetapi kerana ia adalah satu peristiwa istimewa melibatkan masjid warisan keluarga yang bukan selalu berlaku. Kalau hadir boleh juga disuarakan terus apa yang difikirkan bagus bagi kemajuan masjid kepada pihak berkenaan. Mungkin dengan itu tindakan pantas boleh dilakukan. 

Ia juga boleh menunjukkan kesungguhan saya untuk berkhidmat dengan negeri Perak. Apapun kalau sungguh ditakdirkan masih berpeluang untuk memainkan peranan di negeri kelahiran ayah ini insyaallah lambat laun akan diberikan juga gelaran dan jawatan tanpa perlu melobi jumpa orang besar di sana sini. Cukuplah sekadar bertemu dengan mereka yang memang saudara seperti Dato' Meor sekali sekala untuk berbincang demi memartabatkan Melayu dan Islam. Doakan saya diberi ruang dan peluang amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan