Jumaat, Mac 26, 2021

Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Sedikit latar belakang

Salam malam Jumaat. Berbalik pada cerita-cerita perjalanan lama. Daripada zaman belajar di United Kingdom tahun 1991-1995 beralih kita ke zaman saya berkhidmat sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001. Ada perjalanan dibuat dalam kapasiti peribadi semasa bergelar wartawan, ada yang memang tugasan. Ini salah satu perjalanan peribadi. Tugasan nanti akan dikongsi.


Dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands yang dipersembahkan hampir 4 bulan lalu ada ditunjukkan gambar atas. Kelihatan surat menunjukkan saya mula masuk berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times pada 16 September 1996, Hari Malaysia. Ketika itu belum ada lagi sambutan Hari Malaysia seperti kita lihat hari ini menyusul selepas sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Hari Malaysia mula disambut sekitar 10 tahun kemudian untuk memuaskan tuntutan pihak tertentu atas alasan Sabah dan Sarawak belum lagi wujud dalam cerita ketika kemerdekaan Malaysia (atau lebih tepat Persekutuan Tanah Melayu) berlaku 31 Ogos 1957. Malaysia cuma dibentuk apabila Sabah dan Sarawak masuk pada 16 September 1963.

Dalam artikel sama terdapat gambar dokumen menunjukkan saya mula memiliki motosikal besar kesayangan berjenama Yamaha Virago pada 12 Jun 1997. Penghujung tahun tersebut saya mengambil cuti selama sebulan setengah untuk membuat perjalanan keliling Semenanjung dan balik bercuti di kampung. Ia adalah perjalanan jauh pertama saya dengan motosikal tersebut juga perjalanan jauh pertama setelah bergelar wartawan. Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung. Kira-kira menunjukkan saya telah berjalan hampir 4,000 km!


Motosikal besar itu adalah kenderaan bermotor pertama yang dimiliki dan dibeli dengan duit sendiri. Merata saya pergi dengannya termasuk ke tempat kerja juga membuat tugasan di luar sehingga ia cukup dikenali di bangunan utama pejabat kumpulan NSTP (New Straits Times Publishing) di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Asal ada sahaja masa dan peluang keluarlah saya ke mana-mana. Baru setengah tahun dimiliki pun sudah pusing keliling Semenanjung dan berjalan dekat 4,000 km. Jadi tak hairanlah jika dikatakan dalam tempoh kurang 5 tahun kemudian ia sudah dibawa melalui hampir semua jalan utama di Semenanjung.

Namun cerita yang hendak dikongsikan kali ini memberikan tumpuan pada satu perjalanan sahaja. Asalnya sekadar mahu menghantar isteri lama (rasanya lebih sesuai guna perkataan ini berbanding bekas isteri) ke tempat kerja beliau di Changkat Lada, Perak. Tetapi boleh jadi terlajak hingga ke hulu Sungai Perak lalu menyeberangi Banjaran Titiwangsa masuk ke Kelantan kemudian turun ke Pahang.

Cerita ini ada disebut secara ringkas dalam muka surat 31 buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Ia adalah novel berbentuk travelog berdasarkan pengalaman sebenar hidup tetapi dibuat seperti fiksyen atas sebab-sebab tertentu. Perjalanan diceritakan untuk menunjukkan bagaimana watak utama Muhammad Al-Aminul Rasyid (merujuk kepada diri saya sebenarnya) suka bergerak secara spontan menurut 'angin'. Ini salinannya...


Pernah sekali, dia pergi ke Kampung Gajah, Perak untuk menghantar orang, malas pula hendak kembali cepat ke Kuala Lumpur  lalu terasa mahu menghulu Sungai Perak. Mula-mula anak muda ini menunggang sampai ke Bota Kanan, lebih kurang 20km utara dari Kampung Gajah. Tetapi dia masih tidak berpuas hati lalu meneruskan perjalanan menghulu sungai sampai ke Parit, dalam 20km lagi. Entah apalah  yang dicari? 

Selepas berehat sebentar minum teh tarik, Rasyid menyambung lagi perjalanan sampai ke Kuala Kangsar. Sempat berjalan-jalan di bandar diraja  Perak sebelum membuat keputusan untuk terus menelusuri Sungai Perak sampai ke hulu sejauh yang boleh. Sedar-sedar sahaja sudah sampai ke Jeli, Kelantan, lebih 200km dari Kampung Gajah! Kalau dikira dari Kuala Lumpur, sudah hampir 400km perjalanan... 




Dalam cerita buku Kampung Gajah disebut sebagai tempat menghantar orang kerana ia lebih dikenali berbanding Changkat Lada. Jarak antara kedua tempat pun tidaklah begitu jauh jadi Kampung Gajah boleh mewakili. Tetapi ini merujuk pada jarak tempat ke tempat, pekan ke penempatan. Sebetulnya Changkat Lada terletak di dalam kawasan pemukiman Kampung Gajah.

Cerita pula sekadar menyebut hantar orang padahal yang dihantar itu isteri lama. Cuma satu sahaja kemusykilan terbit dalam kepala apabila teringatkan hal ini. Isteri ada kereta, kenapa perlu menghantarnya dengan motosikal ya? Ke sebab saja nak manja? Memang pun saya selalu membawa beliau berjalan dengan motosikal walaupun ada kereta.




Sebetulnya isteri lama saya itu orang Kuala Lumpur. Kami pernah bekerja sebumbung di NST, saya sebagai wartawan beliau sebagai sub-editor (penyunting). Cuma beliau yang berkelulusan dalam bidang pengajaran Bahasa Inggeris dipanggil oleh Kementerian Pendidikan kerana ada kontrak untuk menjadi guru. Itu yang dihantar ke Changkat Lada lebih 200 km dari KL. Ini berlaku selepas setahun gitu bekerja di NST.

Ketika kami bernikah penghujung tahun 1999 beliau sudah dihantar ke sana. Sekitar setengah tahun kemudian baru dihantar ke sekolah di KL atas alasan mahu bersama suami dalam satu daerah. Oleh itu walaupun perjalanan yang hendak diceritakan ini sudah lama saya tahu dan pasti ia berlaku  pada tahun 2000.  

Sebetulnya isteri selalu juga berulang alik ke KL dengan menaiki kereta. Kalau tak salah paling kurang pun 2 minggu sekali. Tetapi ini memenatkan beliau kerana harus memandu pergi balik jauh. Itu yang kadangkala naik kenderaan lain. Sebetulnya saya sudah lupa apakah beliau kembali dengan pengangkutan awam atau menumpang kawan atau sesiapa ke KL. Kalau dengan pengangkutan awam agak susah juga kerana tiada kenderaan terus. 

Pekerjaan sebagai wartawan sehingga selalu balik lewat malam juga bekerja hujung minggu  membuatkan saya sering hilang perspektif tentang kehidupan biasa seharian. Nampaknya ketika perjalanan ini berlaku isteri telah meninggalkan kereta di rumah sewa berdekatan sekolah tempat beliau mengajar. Itu yang perlu dihantar balik selepas bercuti. Tak ingat jika sebelum itu ada mengambilnya dengan motosikal. Sebetulnya saya tak ingat pun jika pernah mengambil dari Changkat Lada ke KL. 

Rasanya cukuplah ini sebagai mukadimah. Bila sudah menulis ini baru tersedar bagaimana dahulu saya terlalu mementingkan kerja berbanding keluarga. Cita-cita saya besar mahu mengubah beberapa perkara tentang negara melalui penulisan sebagai wartawan. Tidak lama kemudian baru tersedar penat lelah saya tidak dihargai malah cuba dijatuhkan pula apabila dilihat boleh mengancam, tidak mengikut telunjuk orang. Tetapi itu cerita lain yang akan dikongsikan kemudian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan