Salam malam Jumaat. Keluar sebentar daripada cerita-cerita kenangan perjalanan jauh masa lalu. Ingin dikongsikan suatu penemuan yang tercetus daripada pertanyaan seorang kenalan petang Rabu.
Petang Rabu semalam seorang kawan datang bertandang ke rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang membawa seorang kenalan baru. Setelah beberapa lama berbincang isu-isu kebangkitan ummah di dalam rumah kami beralih ke rumah pokok 2 tingkat yang saya bina sendiri lebih sebulan lalu di satu kawasan berdekatan. Bual punya bual kawan tersebut bertanyakan arah kiblat di rumah pokok... apakah menghadap atau melalui kawasan kerajaan lama Beruas di Perak? Ini memandangkan saya telah menamakan rumah pokok itu sebagai Anjung Beruas.
Sebetulnya nama diberikan kerana saya pernah diberitahu oleh beberapa pihak bahawa di sekitar itu terdapat pusat kerajaan ghaib yang ada kena mengena dengan Beruas. Apapun, Beruas atau lebih tepat tapak pusat kerajaan terletak ke arah utara dari rumah. Sebaliknya secara spontan saya memberitahu arah kiblat kami harus merentasi suatu kawasan di Aceh. Untuk makluman Beruas ada kaitan tersendiri dengan Aceh kerana dikatakan telah diasaskan oleh Sultan Malikul Mansur, cucu kepada Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera-Pasai 800 tahun lalu (sekarang sebahagian daripada wilayah Aceh).
Saya sempat menyemak secara kasar laluan ke arah kiblat dalam Google Map melalui telefon pintar. Ini berdasarkan pengetahuan bahawa dari Semenanjung kiblat di di Mekah terletak pada arah sekitar 292 darjah dari utara menurut kompas. Semakan kasar menunjukkan memang ia ada melalui sekitar Aceh. Malam tadi baru tergerak untuk menyemak lebih tepat menggunakan program Google Earth.
Caranya adalah dengan menyambungkan garisan dari rumah sehingga ke tengah Ka'abah seperti ditunjukkan dalam dua gambar paling atas. Apabila dizoom keluar untuk menunjukkan bagaimana garisan menyambungkan kedua-dua tempat kelihatanlah ia melalui utara Pulau Sumatera (kiri gambar atas) di mana terletaknya wilayah Aceh.
Zoom in untuk melihat lebih dekat bagaimana garisan memotong dari rumah. Memang jelas ada masuk sebahagian daripada Aceh.
Zoom in lebih dekat lagi. Didapati garisan melalui kota Lhokseumawe di Aceh sedangkan saya tahu kerana sudah beberapa kali sampai bahawa pusat kerajaan Samudera-Pasai terletak sekitar 20 km sahaja ke arah timur kota.
Saya pun mencari kedudukan makam Sultan Malikus Saleh. Kelihatan garisan memotong atau merentas tidak jauh dari situ.
Zoom in lagi untuk melihat di manakah garisan atau laluan dari rumah saya ke kiblat itu memotong Sungai Pasai. Cuma ia mula hilang bila cuba dizoom in lagi dekat.
Tak mengapa. Buat dahulu penanda kasar berdasarkan penglihatan. Tempat di mana garisan memotong sungai ditanda sebagai Intersect.
Kemudian digunakan satu tool atau alatan lain dalam Google Earth untuk membuat garisan baru ke kiblat lalu diberi warna merah. Dengan itu alatan pengukur (yang mengeluarkan garisan kuning) boleh digunakan untuk tujuan lain iaitu mengukur jarak dari tempat Intersect ke makam lalu didapati ia cuma 1.8 km.
Faham saya semua kawasan yang kelihatan ini termasuk di dalam tapak pusat kerajaan lama Samudera-Pasai...
Zoom in lebih dekat sehingga kelihatan suatu macam kawasan perumahan dekat tempat Intersect. Semua ini menunjukkan setiap kali saya dan keluarga bersolat menghadap kiblat dari rumah malah dari mana-mana tempat dalam suatu lingkaran jarak di taman perumahan kami turut menghadap pusat kerajaan Samudera-Pasai. Cukup perkongsian.
Tanpa kita sedari, besar sungguh jasa kerajaan Samudera pasai untuk bangsa nusantara ini....
BalasPadam