Selasa, Januari 19, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya

Pergi ke cerita ke-8 siri. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung.


Masih pada hari yang sama iaitu Jumaat 9 Januari 1998 berdasarkan perkiraan yang telah diceritakan dalam artikel sebelum ini. Dari tempat yang ditanda Google Map sebagai Teluk Ramunia saya bergerak ke hujung jalan lalu sampai ke Tanjung Pengelih. Ia terletak di kuala Sungai Johor. Di sekitar itu air sungai mengalir masuk ke Selat Tebrau yang memisahkan Semenanjung dengan Pulau Singapura. 

Gambar atas diambil daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih (tahun 2010). Ia menunjukkan perairan situ. Tanah yang kelihatan di 'seberang' sebenarnya terletak di tengah sungai. Ia adalah Pulau Tekong di dalam sempadan negara Singapura.


Adapun kawasan selepas Teluk Ramunia membawa ke Tanjung Pengelih terletak di dalam mukim Pengerang. Sedangkan Pengerang malah semua kawasan ke selatan Mersing bermula dari sekitar Tanjung Sedili (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung) terletak di dalam daerah Kota Tinggi. Dari Tanjung Pengelih saya bergerak ke bandar Kota Tinggi. Letaknya sekitar 54 km menghulu Sungai Johor. Kalau dengan jalan raya lebih 80 km.



Pada zaman itu saya belum lagi tertarik dengan tempat-tempat bersejarah seperti halnya kini. Kalau tidak tentu saya akan pergi ke tempat seperti Johor Lama dalam perjalanan ke Kota Tinggi dan tentu juga saya akan menziarahi sekian banyak makam yang terdapat di sekitar bandar seperti makam Laksamana Bentan juga makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Ketika itu, ketika umur belum sampai 30 tahun saya lebih berminat dengan faktor geografi dan perkara berkenaan seperti hasil bumi.

Misalnya saya mengingati Teluk Ramunia sebagai tempat penghasilan bauksit seperti disebut dalam buku teks sekolah menengah tahun 80an sedangkan perjalanan dari Tanjung Pengelih ke Kota Tinggi lebih mengingatkan pada bagaimana kuala Sungai Johor itu lebarnya mencapai 12 km (termasuk Pulau Tekong di tengah sungai). Selepas 4 km ke hulu ia mengecil sedikit menjadi 3-4 km. Kelebaran ini berterusan sehingga 20 km lagi ke hulu menjadikan Sungai Johor sungai yang jelas paling lebar di Semenanjung apabila dilihat dalam peta. Namun di Kota Tinggi yang tidaklah begitu jauh dari kuala kelebarannya tinggal sekitar 80 meter sahaja.

Selain faktor geografi lagi satu faktor yang mempengaruhi pemilihan tempat-tempat untuk disinggahi dalam perjalanan adalah ingatan lama. Misalnya Desaru yang terletak dalam daerah Kota Tinggi. Persinggahan ke sana ada disebut dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung. Dahulu zaman budak-budak ibu bapa pernah membawa saya dan adik-adik bermandi manda di sana beberapa kali. Bandar Mersing dan Kota Tinggi pula seingat saya pertama kali dijejaki semasa zaman sekolah menengah mengikut rombongan sekolah tahun 80an dahulu.



Oh. Saya menginap satu malam di Kota Tinggi. Esoknya yang harus jatuh pada hari Sabtu 10 Januari singgah di air terjun Kota Tinggi. Gambar air terjun di atas ini diambil daripada Internet. Dua gambar sebelumnya pula diambil daripada artikel lama Berbalik ke Kota Tinggi... (tahun 2008). Dalam artikel itu ada ditunjukkan dan diceritakan tempat-tempat bersejarah di sana.



Mandi di air terjun Kota Tinggi termasuk dalam kenangan zaman sekolah menengah dahulu. Selepas itu saya pun bergerak ke Johor Bahru. Ibu negeri Johor itu kemudian menjadi pusat untuk melakukan penjelajahan bagi beberapa hari seterusnya. Buat masa ini biar perjalanan dilakarkan seperti di atas. Campur kebiasaan saya suka merayap ke sana ke mari tapi tak ingat butiran harus 185 km diliputi. Campur jumlah perjalanan sebelum ini iaitu 2,480 km (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung) jumlah harus mencapai 2,665 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan