Jumaat, Disember 11, 2020

Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020

Salam hari Jumaat malam Sabtu 26 Rabiulakhir 1442 Hijriah. Keluar kita buat suatu masa daripada cerita-cerita tentang perjalanan lama bermotosikal besar 23 tahun lalu. Tukar mood pada sesuatu yang berlaku hampir sebulan lalu.



Pagi Sabtu 14 November 2020. Ketika PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang bermula di Selangor dan Kuala Lumpur sebulan sebelum itu masih kuat berkuatkuasa saya keluar dari kawasan pemukiman di Bandar Sungai Buaya untuk satu acara.




Ketika itu semua penduduk dalam kawasan berkenaan dilarang membuat perjalanan merentas mukim kecuali mendapat kebenaran. Itulah kali pertama dalam tempoh PKPB saya sendiri keluar dari persekitaran Bandar Sungai Buaya dan Rawang.




Saya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis yang dipanggil sebagai Mawlid Agung Alam Melayu...







Asalnya ia mahu diadakan di Kundang dekat Sungai Buloh. Tetapi disebabkan PKPB majlis ditukar menjadi rakaman dalam studio di Kota Damansara dengan kehadiran terhad kepada beberapa orang.







Agak menarik setting dalam studio...







Tidak lama kemudian majlis pun dimulakan berserta rakaman secara profesyional oleh pihak studio...




Malam semalam baru rakaman sepanjang lebih 3 jam dikeluarkan untuk tatapan umum. Sila lihat video atas...


Khamis, Disember 10, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Petunjuk tentang kerajaan awal Terengganu

OK. Saya kini berada di pekan Beruas setelah menghadiri satu mesyuarat melibatkan keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak daripada satu cabang dan masjid lama warisan nenek moyang kami di Batak Rabit. Selain menziarahi kawasan pemakaman keluarga di sebelah masjid sempatlah menziarahi 7 buah makam dari Teluk Intan membawa ke Bota Kanan termasuk makam 3 orang Sultan Perak yang memakai nama Muzaffar. Namun biar cerita tentangnya dikongsikan pada masa lain. Pagi ini biar disambung cerita daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur.



Selepas sampai ke Tumpat petang Rabu 31 Disember saya harus telah bermalam di bandar Kota Bahru (sekarang bandar raya). Namun gambar seterusnya masih wujud dalam simpanan menunjukkan keadaan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir hampir waktu Maghrib pada tarikh 1 Januari 1998 yang merupakan hari Khamis. Walaupun tidak ingat butiran logiknya sebelum itu mesti telah singgah ke banyak tempat sepanjang perjalanan memandangkan pada hari itu berlaku sambutan tahun baru. Dan seperti biasa apabila ada masa untuk berjalan santai saya akan memilih laluan terdekat menyusuri pantai.




Gambar berikutnya diambil tengah hari Jumaat 2 Januari. Saya telah menginap malam Jumaat di tepian tasik, kalau tak salah ingatan dengan menumpang sebuah restoran terapung yang sedang kosong. Ketika itu memang susah hendak nampak manusia di sekitar. Mungkin akibat musim tengkujuh, tiada mahu masuk melancong ke tasik.



Ini pula gambar di persisiran Sungai Terengganu dekat jeti ke Pulau Duyong kurang 2 jam kemudian. Saya ingat ada masuk ke pulau dengan motosikal kesayangan lalu pusing ke merata tempat. Ketika berehat di sebuah surau terbaca satu catatan pada sebuah papan maklumat. Isinya adalah lebih kurang seperti yang terpapar pada bahagian bawah paparan berikut. Lihat nama Surau Putih di Pulau Duyong disebut dan cerita berikut...



Paparan diambil daripada artikel Risalah kecil Tok Pulau Manis. Ia adalah berkenaan ulamak besar Terengganu bertaraf wali abad ke-17 Masihi dan bagaimana seorang moyang beliau bernama Sharif Muhammad sampai dari Timur Tengah. Sharif Muhammad dikatakan orang yang menulis Batu Bersurat Terengganu yang sangat terkenal itu. Isi risalah telah dipersembahkan di blogspot ini pada pertengahan tahun 2014 sedangkan ia  diterima di makam Tok Pulau manis sekitar 15 km ke barat-daya Kuala Terengganu pada tahun 2003. 

Tetapi ketika perjalanan pertama solo bermotosikal besar keliling Semenanjung dibuat hujung 1997 hingga awal 1998 saya belum berminat untuk mengambil tahu tentang hal-hal itu. Cuma apabila diimbas kembali ingatan rupa-rupanya saya sudah dipertontonkan satu petunjuk penting tentang arah tuju hidup tetapi tidak menyedarinya langsung waktu itu. Untuk pengetahuan persekitaran Tasik Kenyir dan pekan/bandar terdekat iaitu Kuala Berang merupakan tempat di mana Sharif Muhammad menetap dan 'bermain' abad ke-14 Masihi. Kajian saya menunjukkan beliau terkait dengan satu watak yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah di Perlak (sekarang dalam Aceh) 5 abad lebih awal.



Adapun gambar di Kuala Terengganu tadi adalah gambar terakhir perjalanan masih berada dalam simpanan. Logiknya harus terdapat gambar-gambar lain selepas itu tetapi tak tahu sudah hilang ke mana. Apapun lakaran perjalanan dari Tumpat membawa ke Kuala Terengganu bercampur perincian lain harus membawa kepada jumlah jarak mendekati 260 km. Dicampuri perjalanan sejak dari awal (1,620 km - rujuk balik Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur) ia sudah menghampiri 1,880 km.

Sebetulnya induk penulisan ini sudah disediakan lebih awal iaitu pada 6 hari lalu. Cuma menunggu masa dan giliran sahaja untuk dipersembahkan setelah dibuat sedikit lagi suntingan berserta apa-apa tambahan . Menarik apabila difikirkan ia  dapat dikongsikan pada pagi ini di Beruas, Perak satu tempat  yang merupakan warisan daripada kerajaan lama Melayu Beruas. Sungguh ini tidak dirancang. Baru Selasa lalu memikirkan untuk ke sini iaitu setelah selesai urusan di Teluk Intan. 

Saya tak tahu pun akan berada di Beruas pada pagi ini kerana jika tidak sempat selesai proses ziarah makam antara Teluk Intan ke Bota Kanan semalam boleh jadi saya bermalam di Kampung Gajah, boleh jadi di Bota Kanan lalu paginya harus berada di sekitar sana. Apapun saya kata menarik kerana menurut sejarah yang saya tahu kerajaan Beruas diasaskan oleh Sultan Malikul Mansur yang berasal daripada kerajaan Samudera-Pasai (sekarang dalam Aceh) pada abad ke-14 Masihi. Sedangkan catatan yang pernah dilihat di surau di Pulau Duyong, Kuala Terengganu seperti diceritakan di atas melibatkan kerajaan awal Terengganu yang juga diketahui mulai wujud pada abad ke-14. Dan kedua-dua watak di Beruas dan Terengganu sebenarnya ada kaitan nasab.

Ah. Teringat pula tentang Batu Bersurat Beruas yang penuh misteri itu. Sedangkan dunia lebih mengenali Batu Bersurat Terengganu. Rujuk tulisan-tulisan lama berikut yang telah dikongsikan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Cukup.



Selasa, Disember 08, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur

Salam semua. Masuk segmen keempat perjalanan lama. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau.



Cerita kali ini bermula selepas keluar dari Pulau Langkawi hari Isnin 29 Disember tapi tak ingat pada jam berapa. Yang ingat sampai sahaja kembali ke tanah besar terus menuju ke satu tempat yang boleh dilihat dalam peta sebagai sudut paling utara dan barat di Semenanjung.



Oleh kerana tidak memiliki apa-apa gambar daripada tarikh itu, mungkin sudah hilang, mungkin memang tak ambil untuk menjimatkan filem biar gambar-gambar yang diambil daripada Google Map menjadi gantinya.



Walaupun keadaan kelihatan begitu berbeza daripada apa yang saya ingat tahun 1997 cukuplah sebagai gambaran. Yang ingat dapat melihat suatu macam tembok menandakan sempadan Malaysia-Thailand sehingga ke laut (Selat Melaka) dengan tanah datar meluas, ada beberapa pohon sederhana besar terletak jarang-jarang. Saya ingat sempat tidur sebentar di atas motosikal besar.



Yang seterusnya masih dalam ingatan adalah mengambil jalan pendalaman mendekati sempadan Thailand di negeri Kedah menuju ke arah Tasik Pedu lalu sampai waktu malam. Sebelum itu harus melepasi pekan  Kangar diikuti Arau, Changlun dan Sintok. Tumpang menginap di sebelah pondok pengawal di pusat peranginan tasik. Gambar yang ada dalam simpanan menunjukkan keadaan tasik pada pagi esoknya 30 Disember (hari Selasa) jam 10:38.



Tasik Pedu daripada satu sudut lain. Boleh dilihat dalam peta bahawa ia adalah tasik terbesar di utara Semenanjung (selain Tasik Banding di dalam negeri Perak).



Saya tak pasti jika ini masih di Tasik Pedu. Tetapi melihat pada jarak masa hampir 40 minit berbanding gambar tadi besar kemungkinan ini adalah di Tasik Muda sekitar 15 km ke selatan.




Adapun Tasik Pedu terbentuk setelah hulu Sungai Pedu dibuat empangan. Peta Google Map menunjukkan airnya mengalir beberapa jauh sehingga membentuk sebahagian daripada Sungai Kedah. Tasik Muda pula terbentuk setelah hulu Sungai Muda dibuat empangan. Melihat pada masa dan kedudukan gambar atas ia harus diambil di hadapan empangan Sungai Muda...




Gambar ini kelihatannya diambil di kawasan rehat di atas pergunungan Banjaran Titiwangsa pada jalan perhubungan Timur-Barat. Yang pasti ketika ini saya sedang menuju ke Kelantan.




Yang ini jelas di Empangan Pergau. Letaknya beberapa kilometer melepasi sempadan negeri Perak masuk ke Kelantan.



Gambar seterusnya bertarikh 31 Disember hari Rabu. Tak pasti lokasi tepat tapi harus di sekitar Tumpat. Yang ingat selepas sampai ke Pergau sekitar jam 5.20 petang 30 Disember saya ke Rantau Panjang lalu bermalam di sana. Masih ingat malam itu sudah masuk bulan Ramadhan. Maka saya pun bersedia untuk berpuasa sebulan.



Lakaran perjalanan sejak kembali ke tanah besar dari Pulau Langkawi hari Isnin 29 Disember membawa ke Tumpat petang Rabu 31 Disember. Kalau dicampur pusing sana sini yang tidak dapat diperincikan dalam lakaran harus mendekati 490 km. Kalau dicampur 1,130 km sejak pengembaraan bermula dari Kuala Lumpur petang Ahad 21 Disember (rujuk balik artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau) dah jadi 1,620 km.