Salam awal pagi Selasa 1 Rabiulakhir 1442 Hijriah. Adapun pada hari Sabtu lalu saya buat pertama kali keluar melepasi kawasan mukim sendiri iaitu Hulu Selangor sejak PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilaksanakan lebih sebulan lalu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perjalanan dibuat untuk menghadiri satu majlis penuh barakah di Kota Damansara sekitar 33 km dari rumah. Tetapi atas sebab tertentu apa-apa cerita tentangnya cuma boleh dikongsikan setelah rakaman majlis berkenaan sedia untuk disiarkan oleh pihak penganjur. Oleh itu biar dikongsikan apa yang berlaku pada hari seterusnya iaitu Ahad 15 November.
Pada tarikh tersebut saya sepatutnya menghadiri satu majlis lain melibatkan sejumlah ulamak dan aktivis di Putrajaya. Tetapi disebabkan PKPB ia telah ditukar format menjadi Webinar melalui Zoom. Cuma beberapa orang sahaja hadir di lokasi majlis secara fizikal. Yang lain masuk secara on-line atau atas talian...
Majlis merupakan pelancaran satu wadah yang dipanggil sebagai MAMPIR. Ini adalah singkatan bagi Muwasolah Memperkasakan Institusi Raja-Raja.
Memperkenalkan MAMPIR dan misinya adalah Ustaz Razali Daud. Itulah nama yang saya dengar disebut. Kalau tersilap harap diperbetulkan. Secara rata MAMPIR adalah satu wadah atau platform untuk melibatkan ulamak dalam isu-isu kenegaraan. Ini adalah atas dasar ulamak dan umarak patut berganding bahu menangani masalah-masalah negara terutama dalam keadaan sekarang di mana suasana politik tanah air dilihat begitu kacau bilau sejak beberapa lama.
Maka itu ditegaskan umarak yang patut disokong adalah raja-raja Melayu, bukan ahli atau parti politik. Para aktivis seperti saya yang mahu menjunjung tinggi kedaulatan dan peranan raja-raja diajak untuk terlibat sama atas dasar khidmat kepada agama, bangsa dan negara.
Dibuat satu pembentangan tentang peranan ulamak oleh wakil daripada Nahdatul Ulama Malaysia.
Diberikan definisi atau takrif ulamak dan kenegaraan...
Dibahagi kepada 5 bahagian keterlibatan ulamak dalam permasalahan ummah. Ia satu pembahagian yang saya lihat begitu cantik untuk menerangkan realiti keadaan...
Namun sering berlaku seseorang ulamak terlibat dalam satu bahagian tetapi memandangkan remeh atau enteng terhadap mereka yang terlibat dalam bahagian selain itu. Sedangkan ia tidak sepatutnya begitu. Sesungguhnya setiap daripada kita memilik peranan masing-masing. Walaupun contoh terbaik kita iaitu Rasulullah SAW dapat meliputi semua bidang kita sebagai manusia biasa secara rata tidak mampu berbuat begitu.
Peranan ulamak dihuraikan pula melalui 5 prinsip Rukun Negara...
Ditekankanlah keperluan untuk semua pihak berganding bahu...
Ditekankan juga ulamak harus bergerak sebagai Ahlus Sunni atau Ahli Sunah Waljamaah.
Selesai pembentangan diadakan sesi soal jawab diikuti pembacaan kenyataan media dan sidang. Untuk melihat perjalanan penuh majlis sila tonton rakaman video di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan