Salam petang Selasa 28 Zulhijjah. Pada kala ini tinggal sehari lebih sahaja sebelum tahun Islam 1441 Hijriah tamat. Adapun pada hujung minggu lalu saya ada membuat perjalanan lebih 1,000 km dalam tempoh 20 jam. Namun dalam tempoh waktu pendek itu banyak perkara diliputi sehingga cerita berkenaan layak dipecahkan menjadi 4 episod. Biar dimulakan dengan mukadimah ini.
Jumaat malam Sabtu 13 Ogos 2020. Saya telah membawa keluarga berjalan-jalan di KLCC.
Ikut bersama adalah seorang kawan kolej anak perempuan yang datang dari Seberang Perai. Oleh kerana mereka ingin sangat melihat satu tarikan baru di bandar raya saya pun membawa ke sana.
Tarikan tersebut terletak tidak jauh dari KLCC. Lihat artikel The new attraction called Pintasan Saloma di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Ia memberikan pemandangan menarik bandar raya. Lihat Kuala Lumpur from Pintasan Saloma. Selepas puas melihat persekitaran sana kami bergerak ke rumah seorang kawan lama di Bukit Damansara lalu saya ditinggalkan di situ. Isteri pun memandu membawa anak-anak dan kawan anak kembali ke rumah.
Saya menginap di rumah kawan kerana kami mahu melakukan satu perjalanan menarik hari Sabtu. Jam 5.45 pagi perjalanan pun dimulakan dengan kami berdua bergerak ke arah selatan.
Ada misi tertentu mahu dilaksanakan sambil kawan yang bertugas sebagai wartawan permotoran itu membuat review (saya tidak pasti apakah perkataan sesuai dalam bahasa Melayu) sebuah kereta model baru. Misi tersebut diceritakan dalam video-video ini yang dirakam kawan sambil kami bergerak ke arah selatan...
Nota tambahan - Ditulis jam 3.13 petang : Melihat kembali gambar pertama yang digunakan dalam artikel ternyata ia sangat berkaitan dengan misi perjalanan. Gambar digunakan sekadar mengikut aliran cerita iaitu malam itu kami pergi dahulu ke KLCC kemudian baru ke rumah kawan di mana perjalanan kemudian dimulakan. Sebetulnya perjalanan menjadi asbab kami ke KLCC malam itu. Oleh kerana ia mahu dimulakan awal pagi Sabtu sedangkan anak perempuan dan kawan kolejnya mahu melihat tarikan baru berdekatan KLCC kami pun keluar pada malam itu. Boleh buat dua kerja sekali - Membawa anak dan kawannya juga keluarga berjalan kemudian pergi ke rumah kawan untuk bermalam.
Adapun tujuan utama perjalanan dibuat adalah untuk menyusuri laluan purba perdagangan yang menghubungkan Sungai Muar dengan Sungai Pahang. Antara kedua sungai itu dan anak-anak sungai yang berkenaan ada satu laluan penghubung yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Melihat dua menara KLCC, ia boleh diibarakan seperti Sungai Muar dengan Sungai Pahang. Jika Jalan Penarikan menghubungkan kedua-dua sungai, dua menara KLCC pula dihubungkan dengan jambatan di bahagian tengah atas bangunan. Nah. Kan ada kaitan? :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan