Selasa, Mac 03, 2020

Pesta Buku Selangor 2020 dan kecenderungan untuk keluar mengembara dan menginap di masjid seorang diri

Merujuk pada artikel Membandingkan pemikiran Iqbal dan Nietzsche dalam mencari kesempurnaan manusia. Pada bahagian akhir artikel ada disebut bahawa pada masa-masa tertentu boleh timbul rasa untuk membuang dunia lalu keluar mengembara seorang diri tanpa mempedulikan apa-apa lagi dan ini pernah dilakukan lebih 3 kali dalam hidup. Persoalannya bagaimana hendak menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, bagaimana hendak menjaga keluarga kalau kecenderungan ini timbul lagi? Maka biar dipersembahkan jawabannya di sini.


Adapun sudah menjadi tabiat sejak menyambung pengajian di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) September 2018 untuk saya menginap di luar terutama di masjid ISTAC kalau ada majlis-majlis ilmu mahu dihadiri jauh dari rumah sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Antara saya dan isteri sudah ada persefahaman tentang ini. Selain dapat memenuhi keinginan untuk sekali sekala keluar mengembara seorang diri lalu menginap dan beriktikaf di masjid tidak perlulah saya terkejar-kejar untuk kembali ke rumah selepas suatu majlis kemudian esoknya berkejar keluar lagi untuk mengikut majlis seterusnya. Dari rumah ke ISTAC perlu berulang-alik 40 km pergi kemudian 40 km kembali. Apatah lagi ke tempat-tempat yang lebih jauh.

Jumaat malam Sabtu 28 Februari saya ke satu kedai buku di selatan Petaling Jaya lebih 50 km daripada rumah untuk majlis yang diceritakan dalam artikel Membandingkan pemikiran Iqbal dan Nietzsche dalam mencari kesempurnaan manusia. Esoknya Sabtu malam Jumaat saya mahu menghadiri satu majlis zikir tertutup di bahagian lain Petaling Jaya diikuti satu majlis ilmu tertutup di ISTAC pagi Ahad. Saya pun memberitahu isteri akan menginap 2 malam di luar. Pada malam pertama saya bercadang untuk bermalam di sebuah masjid besar di Taman Sentosa dekat Jalan Klang Lama, masuk dalam sempadan Kuala Lumpur. Ini kerana ada satu makam berdekatan mahu diziarahi. Sudah lama tak singgah dan jaraknya cuma 4 km daripada kedai buku.


Selesai majlis di kedai buku sekitar 10.30 malam saya singgah minum teh di kedai mamak seberang jalan. Selepas itu pergilah ke masjid dengan niat untuk bermalam, siang selepas matahari naik bolehlah ke makam. Tengok-tengok pintu pagarnya berkunci rapat, tidak kelihatan apa-apa laluan masuk lain. Sedangkan ketika itu solat Isyak pun belum akibat berkejar ke majlis ilmu di kedai buku selepas menunaikan solat Maghrib di rumah. 

Akhirnya saya memilih untuk bersolat di makam kerana takut kalau mencari masjid lain ia pun akan terkunci pintu pagar. Nasib baik wuduk daripada Maghrib masih belum terbatal. Sudah menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun lalu atas saranan orang-orang alim yang ditemui saya cuba berada dalam keadaan berwuduk setiap masa kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. Lihat artikel Rupa terbaru (Latest look of) makam (Tomb of) Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Nasib baik tidak lama kemudian dapat menemui sebuah masjid yang terbuka. Malah apabila bertemu dengan ahli masjid lalu meminta kebenaran untuk bermalam saya diberitahu bahawa masjid ini memang sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang untuk beriktikaf. Ia tidak pernah berkunci. Kata seorang ahli masjid kalau suatu masjid itu berkunci tentu ada masalah dengan masjid itu. Untuk menjaga keselamatan mereka ada sistem CCTV dan orang memantau sentiasa. 

Satu lagi perkara menarik saya lihat adalah bagaimana diatur ruang untuk orang Islam berniaga dalam kawasan masjid juga di sebelahnya. Terasa ia satu contoh baik pembangunan masyarakat dan ekonomi Islam melalui masjid. Sebelum ini saya cuma pernah melihat sistem serupa diterapkan dalam masjid-masjid di tempat orang berada seperti di Bukit Damansara dan Taman Tun, di Kampung Baru pun ada. Kali ini ia disebuah kawasan yang boleh kata kos rendah. Bukan menghina, sekadar menyatakan hakikat kebenaran perkara.

Namun segalanya kelihatan begitu teratur dan ahli masjid begitu baik dan mesra hingga hendak hendak meletakkan kereta  pun saya ditunjukkan tempat selesa dan dekat oleh seorang imam muda masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Jumhuriyyah, Taman Dato' Harun, Petaling Jaya. Di atas adalah gambar masjid tersebut pada jam 7.33 pagi. Gambar pertama artikel iaitu dalam dewan utama solat diambil pada jam 6.11 sementara menunggu masuk waktu Subuh.  Gambar seterusnya diambil pada jam 6.41 iaitu selepas menunaikan solat Subuh berjemaah. Didapati bahawa dewan solat separuh penuh.


Sarapan pagi di kedai makan berhadapan masjid. Ada sejumlah kedai makan berdekatan sudah dibuka ketika ini. Adapun saya dapat menemui masjid setelah melihat kedudukan dalam Google Map. Niat saya ketika itu adalah mahu bergerak ke arah Shah Alam. Mana-mana masjid pertama ditemui terbuka di situlah saya akan bermalam.


Kalau tak dapat mungkin perjalanan diteruskan ke Shah Alam lalu bermalam di masjid negeri. Apapun saya tahu 2-3 tempat yang boleh digunakan untuk bermalam di sekitar bandar raya ini. Kali terakhir menginap di Shah Alam adalah di sebuah surau sebelum menyertai satu majlis ilmu di kampus utama UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA) di mana saya juga membentang. Lihat artikel Program Tempa Melayu - Membentuk jiwa Melayu kental dengan ilmu yang benar... diikuti Program Tempa Melayu - Menyingkap kajian terbaru tentang Hang Tuah sebelum mengupas kelebihan Benua Tua Melayu dan bangsa....


Saya singgah di masjid negeri lalu sambung berehat seraya beriktikaf lagi. Selepas makan tengah hari di kedai makan berdekatan baru ke tempat yang menjadi tujuan utama ke Shah Alam iaitu Pusat Konvesyen Selangor. Kalau nak kira berapa kali saya sudah menginap di luar untuk majlis-majlis ilmu rasanya sudah tak terkira lagi. Ini tidak termasuk perjalanan-perjalanan lain menurut gerak hati. Paling kurang, dalam tempoh 10 hari terakhir bulan Ramadhan setiap tahun saya mesti keluar mengembara dan beriktikaf di masjid-masjid demi memenuhi panggilan dalaman diri.


Pesta Buku Selangor 2020 telah bermula di pusat konvesyen pada hari Khamis 27 Februari. Ia akan berlangsung sehingga Ahad malam Isnin 8 Mac.



Saya datang untuk memenuhi masa yang terluang sebelum bergerak kembali ke Petaling Jaya tetapi di bahagian lain bagi menghadiri majlis zikir tertutup pada malam hari.


Sesungguhnya dengan membuat perjalanan-perjalanan kecil sebegini lalu menginap di masjid atas asbab menghadiri majlis-majlis ilmu juga majlis zikir dapat melampiaskan sedikit rasa kerinduan syahdu terhadap Ilahi. Kalau tidak dilepaskan sedikit-sedikit dengan cara-cara sebegitu ditakuti ia boleh jadi tidak terkawal. Ini boleh menyebabkan saya secara spontan tiba-tiba lari mengembara jauh meninggalkan dunia. Silap-silap mencari maut pun ada...


Sebetulnya kecenderungan untuk keluar mengembara lalu meninggalkan segalanya inilah yang menyebabkan hati saya tidak begitu terikat dengan dunia.


Dalam keadaan tidak terikat ini mata hati boleh menjadi tajam dapat melihat perkara-perkara yang selalunya orang lain terlepas pandang atau memang tak boleh nampak.


Walaupun orang lain itu seorang ustaz yang telah hafiz 30 juzuk al-Quran, tahu segala matan ilmu hadis dan arif ilmu fiqah segala mazhab selagi ada kecenderungan untuk meraih kelebihan dunia, mahukan harta maka dia boleh tertipu malah 'tersontot' misalnya dengan permainan emas delay (siapa yang tahu tahulah apakah permainan yang dimaksudkan - semua orang mahu jadi jutawan segera).


Sebab itu ada perkara saya boleh nampak yang sedikit sahaja orang lain nampak walaupun mereka lebih berpangkat besar, berkedudukan dalam masyarakat malah dilihat jauh lebih arif dalam ilmu agama. Sesungguhnya mendapat gerak hati, ilham dan petunjuk yang benar itu bukan setakat pandai memikirkan lalu menerbitkan teori sambil pandai mengarang cerita di Internet. Ada amalan dan pengorbanan perlu dilakukan secara istiqamah terus menerus dalam kehidupan barulah diberikan ilmu pengetahuan berkenaan. Kalau tidak semua orang mengaku boleh mendapat rasa dan gerak hati serupa.



Kalau seperti kebanyakan orang kita pun menyimpan hajat untuk menjadi orang yang berkuasa lagi berpengaruh dan kaya raya apakah yang akan menghalang daripada menyalahgunakan kedudukan jika diberikan peluang? Cukup senang mengatakan orang itu begitu begini sedangkan kita belum diuji dengan kedudukan yang sama. Bagaimana hendak membaca sepak terajang catur  sebenar sesetengah pihak yang sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air sedangkan diri kita mengidamkan  keselesaan yang disuakan musuh supaya mata hati kita tidak tajam malah boleh terjerumus menjadi ahli neraka? Tepuk dada tanyalah selera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan