Subhanallah. Tadi beberapa minit selepas jam 12 tengah malam baru tersedar dah masuk tarikh 11 Disember 2019. Sukacita dimaklumkan tarikh ini merupakan hari ulang tahun ke-11 perkahwinan saya dan isteri, Nor Afidah binti Yusof. Maka itu biar diambil kesempatan untuk berkongsikan satu cerita yang kebetulan membentuk artikel ke-1888 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU ini...
Kelihatan adalah lakaran bagi satu laluan pengembaraan yang 'diangan-angankan' mahu dilakukan pada tahun 2030. Ia telah diletakkan di Facebook sekitar jam 5 pagi semalam. Malam ini sempena sudah masuk ulang tahun perkahwinan ke-11 kami suami isteri biar dipanjangkan cerita. Kiranya artikel ini menerangkan kenapa gambar di FB diiringi teks berikut :-
ANGAN2 TAHUN 2030
Sedang menyimpan angan2 satu perjalanan epik kalau dipanjangkan umur, diberikan kekuatan dan kesihatan juga rezeki yang mencukupi. Berapa ya agak2 kos minyak kalau memandu kereta sendiri sejauh 55,000-60,000 km dalam tempoh 6-7 bulan? Sesiapa ada pengalaman sudah memandu kereta jauh ke luar negara 4,000 km ke atas sila kongsi pengalaman...
---------------
Sebetulnya 'angan-angan' ini adalah susulan daripada satu harapan pengembaraan yang sudah lama bersarang dalam hati iaitu sejak awal tahun 1990an, ketika saya belajar di London lagi. Ketika itu dapat tahu ada seorang dua kawan pernah melakukan pengembaraan merentas Laluan Sutera atau Silk Road dari Eropah merentasi wilayah besar Russia hingga ke China. Ini adalah laluan lama perdagangan dunia yang sudah wujud sejak ribuan tahun yang lampau. Namun apabila sudah meningkat umur harapan ini dilupakan.
Saya bukanlah orang yang berduit walaupun memiliki latar belakang pelajaran tinggi daripada sebuah universiti luar negara yang tersenarai sebagai antara 10 terbaik di dunia. Pada kala ramai rakan lama memanfaatkan kelulusan serupa sehingga dapat memegang kedudukan-kedudukan tertinggi dalam dunia korporat, badan-badan kerajaan dan sebagainya, ketika ramai sudah bergelar Datuk dan/atau sudah menjadi jutawan saya masih diri yang lama melepak santai tidak mengejar dunia. Ketika kawan-kawan boleh bila-bila masa membawa keluarga melancong ke New York, Paris dan sebagainya saya masih mengharapkan suatu hari nanti dapat berpeluang menjejakkan kaki kembali di London di mana pernah berlaku beberapa hal penting yang membentuk kehidupan saya tahun 1991-1995. Buat masa ini amat bersyukur saya apabila sekali sekala dapat membawa isteri dan anak-anak berjalan lasak ke Thailand, Indonesia dan Cambodia. Sedangkan ini cuma perkara kecil, mungkin lekeh bagi mereka yang mengenali saya lalu tahu pada tahap mana sepatutnya saya berada kalau mahu 'menunggang' dunia.
Apabila hendak menjejakkan kaki kembali ke London yang menyimpan begitu banyak ingatan dan kenangan peribadi pun tidak berkemampuan, apatah lagi hendak membuat perjalanan merentas Jalan Sutera. Sehinggalah beberapa tahun lalu saya mendapat tahu seorang rakan sekolej telah melakukannya seorang diri walaupun dia seorang perempuan berbadan kecil setinggi 5 kaki sahaja! Dia telah menaiki rangkaian kereta api yang dikenali sebagai Trans Siberian Railway. Walaupun bergerak daripada arah berlawanan iaitu China ke Eropah yang penting rakan lama ini sudah melakukannya.
Hal ini membuat harapan lama timbul kembali. Walaupun perjalanan sebegini memerlukan kos yang besar tak mustahil saya boleh melakukannya dengan cara yang lebih murah apabila timbul dorongan yang cukup kuat. Ini adalah berdasarkan pengalaman pernah mengembara seorang diri sejauh 5,900 km merentasi 11 buah negara di Eropah dalam tempoh 33 hari dengan belanja kurang RM1,000. Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 dan Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.
Cuma rakan tersebut tidak pernah berkahwin lalu tidak terikat dengan halangan berkeluarga. Pengembaraan sebegini memerlukan tempoh tidak kurang sebulan. Tapi untuk saya sekurang-kurangnya 3 bulan keluar baru boleh puas. Ini kerana kalau dah sampai ke Eropah tak sah kalau tak pusing sekurang-kurangnya sebulan mengelilingi benua. Dan tidak sah kalau tidak memanjangkan perjalanan hingga ke London demi menggamit kenangan lama. Untuk itu saya harus berada sekurang-kurangnya seminggu di kota besar itu dan lagi seminggu dua untuk pusing ke tempat-tempat lain di United Kingdom.
Bagi orang yang berduit cukuplah kalau dapat naik Trans-Siberian Railway ke Moscow kemudian terbang dengan pesawat kembali ke Malaysia. Mereka boleh pergi ke Eropah atau ke London pada bila-bila masa yang lain kerana ada duit untuk melakukannya. Tidak bagi orang tak berduit seperti saya. Bagi saya sebanyak mungkin masa diperlukan untuk menjejakkan kaki ke sebanyak mungkin tempat bila berpeluang untuk bergerak sebegitu jauh.
SYUKUR KERANA MEMILIKI ISTERI YANG MEMAHAMI
Kalau tak salah ingatan 2 atau 3 tahun lepas saya pertama kali memberitahu isteri bahawa pernah menyimpan harapan mahu membuat pengembaraan merentas Laluan Sutera. Tengok-tengok isteri bukan sahaja menyokong malah terus mencari cara untuk melakukannya dengan mencari panduan dan cerita-cerita berkenaan di Internet. Inilah permulaan harapan atau 'angan-angan' ini dikongsikan bersama isteri lalu dihidupkan kembali. Cadangannya adalah kami boleh mengambil kereta api Trans-Siberian Railway dari China ke Moscow di Russia. Kemudian sambung perjalanan merentasi Eropah hingga ke London.
Beliau mahu kami pergi sekeluarga bersama 2 orang anak laki-laki kami. Untuk itu haruslah ditunggu ketika anak bongsu kami yang kini berumur 7 tahun habis sekolah. Anak ini dijangka mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada penghujung tahun 2029. Maka perjalanan boleh dilakukan pada tahun 2030. Ketika itu isteri dijangka sudah mengambil pencen awal masuk umur 55 tahun, saya pula masuk umur 60. Sementara menunggu waktu bolehlah kami mula menabung...
DARIPADA KERETA API TUKAR JADI KERETA
Petang Isnin baru ini dalam perjalanan kembali ke rumah setelah bermalam di Bukit Fraser isteri memberitahu bahawa baru-baru ini ada pasangan suami isteri berjaya sampai ke sempadan China dengan memandu kereta Kancil 660cc yang berusia lebih 25 tahun. Ini ada diwar-warkan di FB. Katanya ketika itu mereka telah merentas jarak 2,500 km. Masih ada 3,500 km mahu direntasi entah ke mana. Rasanya harus termasuk jarak kembali ke Malaysia.
Kami sekeluarga sendiri pernah membuat perjalanan sejauh lebih 4,000 km dengan kereta Kia Carens berusia 17 tahun. Kami beli 2nd hand pada tahun 2014. Kereta buatan tahun 2001 yang didaftarkan tahun 2002 itu telah dibawa berjalan merata di Semenanjung Malaysia. Paling jauh sekali berjalan setakat ini adalah lebih 4,000 km itu. Ia dibawa sehingga ke Ayuthyya di Thailand... dalam perjalanan pergi dan kembali banyak lokasi dijejaki di selatan Thailand dan utara Semenanjung. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation,.
Memikirkan hal ini saya cakap dengan isteri apa kata tukar rancangan? Jangan naik kereta api, kita naik kereta sendiri sehingga ke London, Bukan tidak ada orang pernah melakukannya. Ada. Cuma selalunya mereka ada sokongan dana mencukupi terutama daripada badan-badan kerajaan. Tapi kalau kereta Kancil 660cc berusia lebih 25 tahun boleh sampai ke sempadan China kenapa tak boleh mencuba dengan Kia Carens kami?
TAKSUB MENGATUR PERKARA
Sebaik sahaja sampai ke rumah dari Bukit Fraser kepala saya ligat mengatur perkara. Dicarilah laluan yang sesuai sambil mengambil kira kedatangan musim sejuk, musim bunga, musim panas, musim luruh dan sebagainya. Didapati bahawa elok dimulakan awal tahun dengan menghala ke barat melalui Thailand, Burma dan utara India. Sampai ke Pakistan kemudian naik ke Afghanistan ambil kesempatan untuk pergi ke Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan sebelum masuk ke Iran.
Antara tujuan saya adalah mahu menjejak jalan ulamak-ulamak silam Islam di negara 'Stan-stan' itu kemudian naik ke Tabriz (ingat Shams at-Tabriz, si Sufi yang pernah menjadi teman akrab Maulana Jalaluddin Rumi?) lalu merentas masuk ke Gunung Judi dekat sempadan Turki/Syria/Iraq, dikatakan lokasi mendaratnya bahtera Nabi Nuh AS selepas banjir besar. Daripada situ turun ke selatan menyusuri aliran Sungai Tigris sehingga ke Baghdad untuk menziarahi makam nenda, Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani sebelum masuk ke Arab Saudi dari arah sana.
Saya sudah dapat membentuk jadual yang baik supaya dapat sampai ke Mekah masuk musim haji. Kalau dapat peluang bolehlah kami anak-beranak menunaikan haji sekali. Daripada segi laluan perjalanan semua sudah dapat diatur malam semalam. Bersengkang mata saya sehingga sampai waktu bersahur (bagi puasa sunat tengah bulan 13, 14, 15 Rabiulawal) sebelum Subuh untuk melakukan ini. Tinggal bagaimana betul-betul mahu mengatur kos, bagaimana hendak mendapatkan belanja yang mencukupi, bagaimana hendak melepasi negara-negara tertentu (termasuk yang diketahui selalu ada kekacauan) juga mendapatkan kebenaran menunaikan haji.
SEMOGA INI BUKAN SEKADAR ANGAN-ANGAN
Sebetulnya banyak lagi faktor perlu difikirkan selain laluan, belanja, visa dan sebagainya. Tetapi lebih penting lagi adalah apakah kami cukup sihat tubuh badan dan fikiran untuk melakukannya apabila sampai masa nanti? Tahun 2030 nanti, kalau panjang umur, isteri berumur 55 tahun, saya 60 tahun. Saya membuat perancangan dengan mahu memandu sendiri kereta pada kadar purata 300 km sehari selama lebih 6 bulan setiap hari. Larat ke saya, larat ke kereta?
Tak mengapa. Tak salah untuk berangan-angan. Semoga dibantu Allah SWT diberikan segala yang perlu sehingga menjadi kenyataan. Tak perlulah dikongsikan semua yang dirancang, cukup ada peta sebagai perkongsian. Dijangka ia memerlukan tidak kurang 55,000 km pemanduan. Malam ini timbul gerak untuk berkongsi kerana tarikh 11 Disember ini sudah masuk ulangtahun perkahwinan kami yang ke-11. Sedangkan perjalanan rentas benua, 2 buah benua iaitu Asia dan Eropah, pergi dan balik ini dicadangkan mahu dilaksanakan pada tahun 2030 iaitu 11 tahun daripada sekarang. Kan banyak faktor 11?
Bukan sekadar itu. Malah tanpa dirancang dan disengajakan perjalanan dibahagikan kepada 11 bahagian. Ini disebabkan had jumlah destinasi atau tempat yang boleh diletakkan dalam Google Map bagi mencari laluan yang bersambung bagi suatu perjalanan. Jadilah bahagian-bahagian itu seperti begini :-
1. Rumah (Rawang, Malaysia) ke Amritsar (India) - Dalam 21-24 hari (6,358 km)
2. Lahore (Pakistan) ke Mekah (Saudi Arabia) - Dalam 26-34 hari (7,912 km)
3. Mekah ke Istanbul (Turki) - Dalam 13-19 hari (3,914 km)
4. Istanbul ke Zurich (Switzerland) - Dalam 16-21 hari (4,802 km)
5. Zurich ke Gibraltar (London) - Dalam 14-19 hari (4,329 km)
6. Gibraltar ke London (United Kingdom) - Dalam 10-13 (3,039 km)
7. Pusing UK hingga ke utara Scotland - Dalam 9-12 hari (2,779 km)
8. London ke Moscow (Russia) - Dalam 16 -20 hari (4,982 km)
9. Moscow ke sempadan Mongolia/China - Dalam 24-27 hari (7,288 km)
10. Merentas China dari utara ke selatan - Dalam 14-17 hari (4,207 km)
11. Sempadan China/Vietnam ke rumah - Dalam 10-13 hari (2,930 km)
Bukan sekadar itu. Malah tanpa dirancang dan disengajakan perjalanan dibahagikan kepada 11 bahagian. Ini disebabkan had jumlah destinasi atau tempat yang boleh diletakkan dalam Google Map bagi mencari laluan yang bersambung bagi suatu perjalanan. Jadilah bahagian-bahagian itu seperti begini :-
1. Rumah (Rawang, Malaysia) ke Amritsar (India) - Dalam 21-24 hari (6,358 km)
2. Lahore (Pakistan) ke Mekah (Saudi Arabia) - Dalam 26-34 hari (7,912 km)
3. Mekah ke Istanbul (Turki) - Dalam 13-19 hari (3,914 km)
4. Istanbul ke Zurich (Switzerland) - Dalam 16-21 hari (4,802 km)
5. Zurich ke Gibraltar (London) - Dalam 14-19 hari (4,329 km)
6. Gibraltar ke London (United Kingdom) - Dalam 10-13 (3,039 km)
7. Pusing UK hingga ke utara Scotland - Dalam 9-12 hari (2,779 km)
8. London ke Moscow (Russia) - Dalam 16 -20 hari (4,982 km)
9. Moscow ke sempadan Mongolia/China - Dalam 24-27 hari (7,288 km)
10. Merentas China dari utara ke selatan - Dalam 14-17 hari (4,207 km)
11. Sempadan China/Vietnam ke rumah - Dalam 10-13 hari (2,930 km)
Sesungguhnya nombor 11 memiliki makna tertentu buat diri saya. Sebagai mengakhiri artikel ini yang merupakan ke-1,888 di blogspot ini, biar dilampirkan artikel lama Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh. Dilampirkan juga artikel lama Umrah 2005 - 11 kali 3 perkara di mana saya berpeluang melalukan 11 kali umrah, 11 kali cium Hajarul Aswad dan 11 kali cium Rukun Yamani dalam satu sesi umrah dan ziarah. Harap para pembaca sekalian dapat memanjatkan doa agar usaha ini berjaya. Amin... :]