Salam Sabtu malam Ahad 15 Muharram. Dikongsikan cerita daripada satu majlis ilmu yang pertama dihadiri semenjak kembali daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September. Kalau ikut rancangan asal pada pagi Sabtu 7 Muharram seminggu lalu saya harus menghadiri majlis ilmu berupa forum tentang Siti Fatimah RA di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tetapi apabila sampai masanya tak jadi pergi kerana tak larat akibat penat pengembaraan masih tak kebah kebah...
Dalam artikel Perjalanan kecil ke Jelai - Membawa ilmu dan amal dalam pengembaraan sebenar yang ditulis 22 Julai ada diceritakan bahawa sebelum memulakan satu perjalanan ke Melaka kemudian Negeri Sembilan saya singgah ke ISTAC Jumaat malam Sabtu 19 Julai untuk menghadiri satu siri baru majlis ilmu yang julungkali diadakan pada waktu malam sekali setiap dua minggu. Diberitahu pada separuh kedua artikel ia disampaikan oleh Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Tajuk besar siri, "The Eternal Message of Islam and Its Civilisation" boleh diterjemahkan sebagai "Pesan Abadi Islam dan Tamadunnya".
Siri dalam bahasa Inggeris ini dibuka dengan syarahan pertama bertajuk kecil "The Idea of Unity (Part 1)" 2 bulan lalu. Ini boleh diterjemahkan sebagai : "Idea Kesatuan (Bahagian 1)". Selepas itu saya terlepas 3 edisi seterusnya atas sebab kepenatan juga kesibukan dengan pelbagai perkara. Baru semalam dapat bersama kembali untuk syarahan ke-5 bertajuk "The Microcosmic Nature of Man : Its Civilisational Meaning and Significance". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Sifat Mikrokosmik Manusia : Makna KeTamadunannya dan Signifikan".
Berdasarkan syarahan pertama berakhir dengan soal humanness iaitu sifat yang menjadikan seseorang atau suatu makhluk itu manusia hal ini harus telah dikupas panjang lebar dalam syarahan-syarahan seterusnya lalu dikaitkan dengan takrif Insan dalam agama Islam dan Al-Quran membawa pada hubungan keTuhanan. Daripada situ baru boleh dibawa soal sifat mikrokosmik manusia yang menunjukkan hubungan kita dengan seluruh alam semesta. Dalam ilmu Tasawuf ini biasa disebut sebagai soal hubungan Insan Saghir (insan yang kecil) dengan Insan Khabir (insan besar merujuk kepada seluruh alam semesta seterusnya hubungan dengan Allah SWT).
Yang nyata semakin ramai muncul untuk mengikuti siri syarahan. Ketika saya masuk Osman sedang mengupas hal divine breath atau nafas keTuhanan (terjemahan mudah saya) yang ditiupkan ke dalam jasad tubuh Nabi Adam AS untuk menghidupkan baginda. Ini merujuk pada roh yang ditiupkan lalu baginda dihadapkan di hadapan para malaikat sebagai makhluk yang bakal dijadikan khalifah di muka bumi. Persoalan tentang malaikat dan bagaimana para pemikir silam termasuk ahli falsafah Islam menakrifkannya pun disebut. Antaranya adalah mengaitkan malaikat dengan intelligence atau kepandaian.
Walaupun sudah terlepas 3 syarahan dalam siri saya tiada masalah menangkap perkara dan mengikuti syarahan ke-5. Ini kerana rata-rata yang disyarahkan telah dibaca dalam pelbagai buku tentang Tasawuf dan persoalan roh sejak zaman belajar sarjana muda Matematik di University College of London di United Kingdom lagi tahun 1991-1995.
Osman sering menyebut tentang konsep theomorphic nature of man - saya terjemahkan sebagai sifat keTuhanan dalam diri manusia. Ini merujuk pada konsep bahawa manusia itu dijadikan sebagai bayangan Allah SWT di muka bumi. Pada manusia ada dipinjamkan sifat-sifat Allah SWT.
Juga pada manusia mengandungi segala macam benda yang ada dalam kejadian (the whole universe) tetapi dalam bentuk yang 'dikecilkan'. Jika alam besar disebut sebagai macrocosm, manusia adalah microcosm ia. Tapi itu masih lagi mengukur daripada sudut fizikal ruang kecil dan besar seperti kita biasa faham. Kata Osman sebetulnya pada setiap manusia ada ruang spiritual yang sangat besar.
Ruang itu boleh dimasuki dan dipengaruhi unsur-unsur jahat seperti syaitan. Namun kalau dibentengi dengan amalan Islam dan Iman pengaruh jahat bukan sahaja dapat dihalang malah Allah SWT 'di atas' Arasy pun boleh 'bertakhta' di dalam hati kita. Siapa yang faham faham le...