Sabtu, April 27, 2019

Sidang menolak PPSMI bersama Profesor Awang Sariyan dan para pejuang bahasa

Ini ada artikel yang baru dipersembahkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) kurang 2 jam tadi. Elok juga dikongsikan di sini...


-----------


Merujuk kepada artikel Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf yang dipersembahkan awal pagi Khamis. Ini ada satu cerita yang boleh menjadi satu macam kesinambungan daripada majlis haul di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu 19-20 April.


Petang Sabtu lepas 20 April 2019, ketika masih berada di majlis haul saya menerima WhatsApp daripada tokoh pejuang bahasa, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berbunyi begini :-


Pemakluman awal: Sidang media pembentangan hasil kajian penolakan PPSMI akan diadakan pada 23.4.19, Selasa, 12 tengah hari di Wisma Majlis Perundingan Melayu, Jalan Ledang, Kuala Lumpur. Mohon kehadiran pemimpin  semua badan pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan (persatuan dan institusi/agensi). Kehadiran individu pejuang turut dialu-alukan. Allahuakbar!


Untuk pengetahuan beliau adalah pensyarah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) dalam subjek Tamadun Melayu Islam semester lalu. Turut diterima senarai berikut lalu beliau meminta saya memanjangkan dengan menambah nama :-


Senarai pejuang yang mengesahkan kehadiran dalam Sidang Media Pembentangan Laporan Kajian PPSMI, 23.4.19, pukul 12 tengah hari:

1. Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron
2. Dato' Raof Husin
3. Dato' Dr.Hasan Mad
4. Awang Sariyan
5. Prof. Supyan Hussin
6. Puan Zaharah Sulaiman
7. Kamal Shukri Abdullah Sani
8. Dato' Ibrahim Ghafar
9. Zairudin Hashim
10.Cikgu Zai Mustafa
11.Cikgu Azmi Hamid/wakil TERAS
12.Wakil Utusan Melayu
13.Wakil Berita Harian
14.Wakil Harian Metro


Saya jawab : "Tak boleh janji Prof" memandangkan sedang berada jauh lebih 450 km dari rumah. Takut apabila kembali yang dijangka sampai lewat Ahad malam Isnin saya sudah terlalu penat lalu perlu berehat sepanjang hari. Kepenatan mungkin berlanjutan hingga keesokan harinya kerana saya harus memandu kereta lebih 1,000 km meliputi banyak tempat dalam keadaan sedang menunaikan puasa sunat setiap hari sejak masuk bulan Rejab. Beliau pun meminta agar diwar-warkan majlis kepada para pejuang Melayu Islam yang lain.


Awang tahu saya adalah seorang aktivis kedaulatan Melayu Islam lalu memiliki ramai kenalan sealiran kerana pernah membuat satu kerta kerja ala-ala tesis lebih 6,000 perkataan tentang HIKMAH - Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, Diberi tajuk "HIKMAH – Satu Gerakan Intelektual Melalui Jaringan Sosial Internet untuk Memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara" ia dibuat sebagai assignment terakhir (lupa pula apakah perkataan Melayu untuk assignment.untuk kelas beliau. Petang Isnin 22 April, setelah lebih 12 jam berada di rumah iaitu sekembalinya dari Terengganu baru terasa boleh menghadiri majlis pada tengah hari Selasa 23 April. Saya pun memberitahu beliau melalui WhatsApp. Diberi pula senarai terbaru penyertaan termasuk nama saya sambil diminta mendapatkan lagi penyertaan...


Senarai pejuang yang mengesahkan kehadiran dalam Sidang Media Pembentangan Laporan Kajian PPSMI, 23.4.19, pukul 12 tengah hari di Wisma MPM, Jalan Ledang, KL:

1. Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron
2. Dato' Raof Husin
3. Dato' Dr.Hasan Mad, MPM
4. Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, PLM
5. Prof. Supyan Hussin, ATMA
6. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, PPM
7. Datuk Zainal Abidin Borhan, GAPENA
8. Puan Zaharah Sulaiman
9. Kamal Shukri Abdullah Sani, PLM
10. Dr. Mohd. Saleeh Rahamad, PENA
11. Dato' Ibrahim Ghafar
12. Zairudin Hashim, ABIM
13. Cikgu Zai Mustafa, MAPPIM
14. Cikgu Azmi Hamid/wakil TERAS Pengupayaan Melayu
15. Anas Alif, GPMS
16. Wakil Utusan Melayu
17. Wakil Berita Harian
18. Wakil Harian Metro
19. Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, ASASI
20. Abdul Hakim Shahbuddin, GPTD
21. Datuk Nasarudin Hashim
22. Azril Mohd Amin, CENTHRA
23. Mohd Zuhdi Marsuki, Pusat Penyelidikan PAS
24. Dato' Rosli Yang Danian, Harmonis Perak
25. Mohd. Fauzi Noordin
26. Prof. Emeritus Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh
27. Ramlee Wahab
28. Ruslan, MPM
29. Dato' Faridah Jabar, MPM
30.Wakil akhbar Harakah
31. Dato' Zain Hamzah
32. Letfee Ahmad
33. Dr. Fazilah Husin, NUMERA
34. Prof. Dr. Puteri Roslina (APM, UM)
35. Junaini Kasdan (ATMA/PAPTI)
36. Abd Ganing Laengkang (Pascasiswazah, APM, UM)
37. SN Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah, NUMERA Malaysia
38. Zainal Mohd. Jais, KEMUDI
39. Dr. Hasrina Baharum (UPSI)
40. Prof.Madya Dr. Norliza Jamaluddin (UPSI)
41. Dr. Zaharani Ahmad
42. Prof. Dr. Zamri Mahamod (UKM)
43. Dr. Ibrahim Ahmad, Harmonis Perak
44. Romil Shamsudin
45. Radzi Sapiee @ Merah Silu



Masuk jam 5.30 petang beliau memberitahu sudah terdapat 60 orang  dalam senarai. Tengah hari Selasa saya pun bergegas ke lokasi majlis iaitu Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM). Bangunannya adalah sebuah bungalow lama yang dicat baru bersebelahan bangunan Parlimen Malaysia. Kelihatan dalam gambar Awang sebagai pengerusi sedang memperkenalkan majlis...


Secara rata diceritakan bagaimana program PPSMI iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris itu merosakkan prestasi pelajar Melayu di sekolah. Diperkenalkan tahun 2003 oleh Kementerian Pendidikan atas dakwaan kononnya ia akan memperbaiki pemahaman pelajar tentang sains dan matematik sambil meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ia dikecam banyak pihak terutama mereka yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Mengikut kajian berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku di sekolah-sekolah beberapa tahun selepas dilaksanakan ia didapati menyebabkan pencapaian pelajar dalam subjek-subjek tersebut menurun. Bahkan penguasaan bahasa Melayu mereka juga turun merosot sama kerana dipaksa menguasai subjek-subjek lain bukan dalam bahasa ibunda lalu mengabaikan bahasa sendiri di sekolah.

Disebabkan itu bermula tahun 2009 telah diadakan bantahan demi bantahan sehingga pelaksanaan PPSMI dibatalkan tahun 2012. Ketika itu bantahan serta hujahan berkenaan didengar lalu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini setelah berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas PPSMI kembali menghantui. Ada ura-ura Perdana Menteri sekarang, Tun Dr Mahathir yang pernah menjadi PM ke-4 dahulu ingin menghidupkannya kembali.

Ditunjukkan satu kaji selidik ringkas berupa kutipan pendapat melalui Internet tentang PPSMI dalam tempoh beberapa hari sebelum majlis.


Seramai 2,844 orang daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang telah memberikan maklum balas.


Secara rata mereka menolak PPSMI...











Seterusnya naik Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Abdul Rauf Hussin berkongsi kajian ilmiah yang dibuat atas nama Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).  Untuk pengetahuan beliau juga adalah pengarah eksekutif PEMBINA.


Kajian yang berada pada tangan beliau lalu ditunjukkan kepada hadirin itu cukup tebal, Seperti satu jilid ensaiklopedia atau satu tesis PhD rupanya. Salinan ringkasan kajian bertarikh Mac 2009 dengan 28 muka surat diberikan. Ia adalah hasil usahasama PEMBINA dengan 8 buah universiti :-

1. Universiti Putra Malaysia (UPM)
2. Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
3. Universiti Sains Malaysia (USM)
4. Universiti Utara Malaysia (UUM)
5. Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM)
6. Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM Sarawak)
7. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
8. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Kakitangan universiti dihantar membuat kajian bagi memerhatikan pembelajaran baik daripada segi cara cikgu mengajar juga penerimaan dan pemahaman murid kemudian dinilai hasil peperiksaan. Disebut bahawa kajian diadakan di 90 buah sekolah rendah kebangsaan termasuk 3 sekolah orang asli, 2 sekolah pendidikan khas, 7 sekolah Cina dan 5 sekolah Tamil. Turut dijadikan kajian 70 buah sekolah menengah termasuk 4 sekolah agama, 4 sekolah berasrama penuh, 4 sekolah teknik dan 5 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Secara rata ia melibat 553 orang guru dan 15,089 pelajar.

Pada bahagian belakang dilampirkan salinan surat rasmi Profesor Diraja Ungku Aziz bertarikh 6 Mei 2009 menyokong laporan diikuti salinan rencana akhbar Berita Harian tentang laporan (tidak kelihatan tarikh).


Ringkasannya mudah. PPSMI adalah satu projek yang gagal lagi menyusahkan. Diberikan juga satu salinan 12 sebab kenapa ia tidak boleh diteruskan. Kajian inilah yang pernah dibawa kepada Muhyiddin lalu PPSMI akhirnya dibatalkan tahun 2012. Pada awal salinan dilampirkan salinan laporan akhbar Utusan Melayu hari Sabtu 23 Mei 2009 menunjukkan pertemuan Ungku Aziz, Tan Sri Ahmad Sarji, Datuk Abdullah Abdul Rahman dan Datuk Hassan Ahmad dengan Muhyiddin. Mereka datang atas nama Gagasan Veteran Malaysia untuk menyatakan penolakan terhadap PPSMI.


Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Profesor Datuk Ir. Wan Ramli Wan Daud pula berkongsi laporan prestasi pelajar akibat PPSMI menurut berdasarkan penaksiran antarabangsa TIMMS dan PISA.



TIMSS adalah singkatan bagi perkataan Inggeris Trends in International Mathematics and Science Study. Saya terjemahkan sebagai "kebiasaan semasa dalam pengajian matematik dan sains antarabangsa". PISA pula singkatan bagi Programme for International Student Assessment - Program Penilaian untuk Pelajar Antarabangsa. Kedua-duanya merupakan program penilaian pelajar di beberapa buah negara yang dibuat dua badan antarabangsa berlainan.


Ditunjukkan graf kajian TIMMS bagi Malaysia berbanding Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Indonesia untuk subjek matematik. Didapati berlaku penurunan pencapaian yang jelas apabila PPSMI diperkenalkan tahun 2003 malah semakin menurun dan menurun. Selepas dibatalkan tahun 2012 baru pencapaian naik menuju pemulihan. Belum lagi mencapai tahap sepertimana sebelum PPSMI diperkenalkan...


Begitu juga kajian TIMMS untuk bidang sains. Lihat sendiri graf dan rumusan.


Untuk PISA pula Malaysia mula menyertai kaji selidik ini pada tahun 2009 yang mana PPSMI sudah diperkenalkan. Lalu tidak dapat dibuat perbandingan dengan tahun-tahun sebelum itu. Kelihatan seperti ada peningkatan dalam bidang matematik. Tapi kadar peningkatan kelihatan serupa sahaja selepas PPSMI dibatalkan tahun 2012.


Ini pula kajian yang dibuat berdasarkan aliran. Kedua-dua aliran sains dan bukan sains diambil kira. Saya agak keliru membaca graf. Jadi ikut sahajalah rumusan bahawa pencapaian pelajar aliran sains tulen mendatar sekitar 30% pada zaman PPSMI dilaksanakan dan menjunam sekitar 20% pada 2016-2018 iaitu setelah ia dibatalkan tahun 2012. Adakah ini bermakna pembatalan itu menjahanamkan?  Menurut Wan Ramli bukan. Walaupun PPSMI tidak lagi dilaksanakan ketika itu ia telah menimbulkan trauma yang berpanjangan. Pelajar melihat matapelajaran sains menjadi susah akibat PPSMI lalu terkesan walaupun ia tidak lagi dilaksanakan.



Tokoh pejuang bahasa Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron turut memberikan pendapat sebagai orang lama yang dahulu pernah berusaha sama membantah sehingga pelaksanaan PPSMI dibatalkan. Pada beliau ia jelas merosakkan prestasi pelajar bukan memajukan.


Hadirin lain pun secara rata sependapat.


Yang harus dipanjangkan adalah strategi bagaimana untuk memastikan ia tidak berulang juga menyekat apa-apa lagi cadangan pembelajaran yang boleh mensudutkan kedaulatan bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa bahasa penghantar utama adalah bahasa Melayu.


Saya sendiri turut berkongsi pandangan dan memberikan maklum balas. Gambar ini dan selepasnya dihantar Awang kepada saya melalui WhatsApp.


Sesungguhnya PPSMI ini bukan sahaja isu yang boleh melemahkan pencapaian pelajar Melayu di sekolah. Dalam keadaan sekarang di mana jelas kumpulan-kumpulan bukan Melayu semakin rancak memperlekehkan kepentingan orang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu ia seperti membantu serangan ideologi musuh untuk menjatuhkan orang Melayu secara keseluruhan.


Saya akhir artikel ini dengan beberapa laporan akhbar tentang majlis menolak PPSMI. Semoga memberikan manfaat.






Oh. Baru teringat. Ketika menyemak kembali artikel ini baru tersedar. Rasanya elok disertakan sekali pernyataan rasmi oleh Awang pada majlis yang dibuat atas nama Persatuan Linguistik Malaysia. Saya ambil gambar kenyataan itu di rumah...


Sebetulnya kenyataan dicetak atas kertas berwarna merah jambu. Tapi saya ambil gambar di ruang tamu bawah lampu kuning. Nah. Dah jadi macam nak sama warna kuning kejinggaan dengan bangunan makam Tok Pulau Manis pula. Hmm... :]


Jumaat, April 26, 2019

Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Langgar dan Tok Surat pada Nisfu Sya'aban. Apakah yang tersurat dan tersirat?

Salam Jumaat. Masuk pada hari ke-4 dan terakhir perjalanan saya dan keluarga ke Pantai Timur minggu lepas. Bersambung daripada Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Berkat keturunan Saidina Hassan?.


Awal pagi Ahad 21 April 2019. Keadaan ketika hendak bersolat Subuh di suatu masjid.


Adapun kami anak beranak telah bermalam di masjid tersebut. Ini gambar yang diambil isteri di ruang solat wanita sambil anak-anak terus tidur. Kesian mereka kerana malam sebelumnya kami tidak dapat memberikan perhatian  kerana harus memberikan tumpuan kepada acara kemuncak haul Tok Pulau Manis di Kampung Pulau Manis, Terengganu. Rujuk artikel Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf. di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Kami meninggalkan lokasi pun selepas jam 2 pagi. Selepas Maulidur Rasul ditutup tengah malam isteri dan anak-anak harus menunggu saya makan lewat malam dan bermesra bersama para ulamak di ruang makan VIP. 

Selepas itu saya ke makam Tok Pulau Manis untuk mengucapkan selamat tinggal. Nak keluar bertembung pula dengan seorang ulamak dari Surabaya dan kumpulan yang dipimpinnya dari Sabah. Terus diajaknya berzikir kemudian bermaulud dalam makam. Kalau tak salah dekat jam 3 pagi baru sampai ke masjid ini lalu dapat berehat.


Itupun asalnya kami mahu ke masjid lain lebih jauh di Kuala Berang. Tetapi timbul gerak untuk ke masjid ini apabila melihat papan tanda menunjukkan arah. Sampai ke masjid saya sebenarnya tidak betul-betul dapat melelapkan mata kerana teringat apa yang berlaku sepanjang majlis haul Tok Pulau Manis dan kemudian. Masuk jam 4.44 pagi seperti biasa alarm pada telefon bimbit berbunyi untuk bangun solat Tahajud sebelum bersahur.

Biasanya kalau penat saya akan melelapkan mata selepas sahur. Dalam setengah hingga sejam kemudian baru bangun Subuh. Kali ini dah berada di masjid dan orang pun sampai awal lalu saya tunggu solat berjemaah. Selepas itu baca al-Quran setakat yang larat. 

Saya tunjuk gambar sebagai peringatan untuk diri sendiri. Ini adalah muka surat terakhir yang dibaca pagi itu juga setakat ini. Kononnya masuk bulan Rejab saya mula berpuasa sunat lalu hendak katamkan sekali al-Quran. Tengok-tengok dah satu setengab bulan baru sampai muka surat 7 surah ke-2 iaitu Surah Ali Imran. 


Tu le. Hasrat untuk beramal tu tinggi. Tetap ada rasa keinsafan untuk sentiasa memperbaiki diri lantaran sedar amanah yang wujud dalam darah daging keturunan. Tapi kita ni insan yang lemah. Selain disibukkan dengan bermacam hal saya juga ada sedikit masalah kesihatan. Ia menyebabkan badan selalu rasa tak sedap, terasa lemah, kepala sakit, selalu hendak tidur memanjang. Tapi sesekali Allah SWT pinjamkan kekuatan sehingga macam-macam perkara dapat dilakukan walaupun hakikatnya saya mungkin lebih patut terlantar di hospital.

Apapun inilah masjid tempat kami bermalam. Letaknya dalam 2-3 km sebelum bandar Kuala Berang dari arah Kampung Pulau Manis. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Langgar, Kuala Berang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Adapun itulah kali pertama saya juga keluarga menjejakkan kaki ke masjid tersebut. Pertama adalah terpanggil kerana melihat nama Langgar. Teringat bahawa ada cerita menyebut sebelum Tok Pulau Manis menetap di Kampung Pulau Manis beliau telah terlebih dahulu menetap dan mengajar agama di Langgar. Tentang nama Langgar ini ada digunakan di beberapa tempat ataupun negeri - satu negeri ada satu sahaja tempat bernama Langgar. Di Kedah dan Kelantan kawasan pemakaman diraja terletak di Langgar. Di Pahang, dekat-dekat Langgar sana ada makam Sultan Muhammad iaitu sultan pertama Pahang daripada keturunan Sultan Melaka (hidup lebih 500 tahun lalu).

Yang saya faham Langgar adalah tempat 'putus dunia' yang membawa dua maksud - kembali ke rahmatullah juga memutuskan diri daripada dunia dengan beramal salik/suluk, Dalam kes Langgar di Terengganu ini setahu saya memang pernah menjadi tempat Tok Pulau Manis mengajar. Sebelum itu beliau menetap di bahagian lebih hulu Sungai Terengganu dekat Kuala Berang.


Sebab kedua kami bermalam di masjid Langgar adalah ialah ia terletak dalam daerah Kuala Berang tetapi sebelum bandar dari arah Kampung Pulau Manis. Selepas jam 11  kami meninggalkan masjid...


Kalau hendak selesa dan nyaman baik kami tidur di Pulau Manis. Kami memang diberikan sebuah homestay yang cukup segala keperluan. Tetapi saya meminta diri untuk bergerak kerana sudah berniat akan bermalam di Kuala Berang. Menurut amalan saya adalah suatu bentuk pengkhianatan dan tidak amanah kalau membatalkan suatu niat semata-mata kerana mendapat pilihan baru yang lebih selesa. Kalau memang berlaku suatu hal yang menghalang lalu terpaksa bermalam di tempat lain itu baru boleh diterima...


Adapun niat untuk bermalam di Kuala Berang itu adalah supaya dekat dengan kawasan di mana Batu Bersurat Terengganu ditemui, juga dekat dengan kerabat-kerabat berkenaan termasuk almarhum Sharif Muhammad al-Baghdadi yang dikatakan menulis batu bersurat dengan tangan. Kalau di Kuala Berang selalunya saya akan bermalam di Masjid Kampung Buluh kerana tahu ia 'mesra musafir'. Maksud saya pintunya tidak terkunci seperti kebanyakan masjid sekarang. Ada pula kemudahan air minum sejuk dan panas lalu saya sudah beberapa kali bermalam di masjid ini (kelihatan dalam gambar).


Masjid itu juga terletak sangat dekat dengan Memorial Batu Bersurat. Ia adalah satu monumen yang dibina berdekatan tempat Batu Bersurat Terengganu dikatakan ditemui sekitar 100 tahun lalu. Namun ada satu masalah walau tak sebesar mana sangat. Kalau bermalam di Masjid Kampung Sungai Buluh siangnya nanti harus berpatah balik hampir 4 km untuk mengisi minyak di bandar. Ini kerana laluan yang akan diambil selepas itu iaitu lalu Tasik Kenyir hingga ke Gua Musang di Kelantan setahu saya tiada stesyen minyak. Campur perjalanan sebelumnya dari Kampung Pulau Manis ada jarak 200 km sedangkan saya terlupa untuk mengisi tangki penuh. Takut tak cukup minyak.


Maka itu apabila ternampak papan tanda ke Masjid Kampung Langgar sebelum bandar Kuala Berang saya pun pergi atas dua sebab yang telah disebut... sebab nama Langgar mengingatkan kaitan dengan Tok Pulau Manis dan sebab kedudukan. Saya sebut pada isteri, kalau tak berkunci di situlah kami akan bermalam. Alhamdulillah memang ia tidak berkunci malah seperti di Masjid Kampung Buluh ada alat minuman air panas dan air sejuk (water dispenser). Dapatlah kami berehat di masjid kemudian isi minyak di Kuala Berang tanpa perlu berpatah balik. 

Kelihatan dalam gambar isteri dan anak-anak makan hidangan spesial "roti binjai". Nampak best tapi saya boleh tengok ajelah sebab berpuasa. Isteri pun memesan dua biji roti dengan kuah kambing untuk dibungkus buat saya berbuka nanti.

Sebut pasal kunci tak berkunci perjalanan saya ke Terengganu kali ini banyak dimudahkan daripada segi itu. Dahulu kalau suatu makam dan sebagainya terkunci ketika sampai saya akat panjat tembok atau pagar dan redah masuk. Kali ini saya pasang niat begini. Kalau berkunci takkan masuk. Saya cuma akan beri salam dari luar kemudian beredar. 

Saya pergi ke makam Sultan pertama Terengganu pada petang Sabtu 19 April dengan niat begitu. Tengok-tengok pintu pagar bawah tidak berkunci lalu saya pun naik ke makam di puncak bukit. Lihat  Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Dari Kuantang ke Londong. Hampir waktu Maghrib kami sekeluarga ke makam Tokku Paloh lalu ia disebut ringkas dalam artikel yang dipautkan. Apa yang tidak disebut adalah bangunan makam tidak berkunci lalu kami pun masuk. Walhal ia memang selalu berkunci kecuali dibuka atas permintaan atau ada majlis khas.



Ini pula adalah di makam Tok Raja Ri di Kampung Kuala Por. Saya sudah beberapa kali ziarah. Tetapi dalam lawatan terakhir ke Kuala Berang Ogos tahun lepas saya tidak dapat menemui lokasi yang biasanya mudah dicam dan dilihat daripada tepi jalan akibat pokok sawit sekeliling dah membesar. Disebabkan sibuk mengejar masa ketika itu kami pun terus ke lokasi lain. Lihat Perjalanan terbaru ke Terengganu tahun 2018 - Menyahut panggilan kebatinan dan isyarat-isyarat yang muncul kemudian....

Kali ini saya rasa mesti pergi walau tak ingat dan tak cam kat mana. Masuk sahaja Kampung Kuala Por saya memperlahankan kereta sambil melihat ke kiri mencari bukit kecil di mana terletak makam di puncak. Tengok-tengok dah sampai nampak papan tanda kampung seterusnya iaitu Kampung Pasir Nering masih tak dapat cam tempat. Kalau begini memang sudah terlepas. 

Nak jadi cerita seberang jalan ke kanan dari tempat kereta diberhentikan ada sebuah rumah. Isteri pun menyarankan agar bertanya kepada penduduk rumah. Mula-mula nampak seorang perempuan sidai baju lalu dipanggil suaminya. Suami tersebut terus mengecam saya sebagai Merah Silu. Beliau memberitahu ada berkawan di Facebook lalu sedia untuk menunjukkan makam.

Terus dia memakai baju kemudian menunggang motosikal. Rupa-rupanya tak jauh kami terlepas dalam 50-100 meter sahaja. Tapi kalau tak cam memang susah. Nasib baik hamba Allah ini menunjukkan. Biar disebut namanya sebagai Joe.


Diberitahu bahawa beberapa bulan sebelum itu beliau juga telah menunjukkan kedudukan makam kepada seorang lagi pengkaji. Disebut ada orang lain dari Johor memberitahu bahawa Tok Raja Ri ini adalah adinda kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera-Pasai (sekarang dalam Aceh). Masyaallah!



Sama ada benar atau tidak saya tak tahu. Yang pasti batu nesannya adalah batu nesan Aceh jenis buatan Samudera-Pasai...


Selesai ziarah makam Joe memberitahu dia juga telah menunjukkan kedudukan makam Tok Surat kepada pengkaji yang disebut tadi. Tok Surat? Saya tak tahu cerita ini. Joe pun menunjukkan arah ke makam itu pula. Kena naik satu bukit yang lebih tinggi sedikit di Pasir Nering...





Dekat makam ada akar kayu seperti membentuk huruf Lam Jalallah.


Identiti sebenar Tok Surat tidak diketahui. Menurut Joe, orang tuanya memberitahu beliau dikenali sebagai Tok Surat kerana di sinilah asalnya terletak Batu Bersurat Terengganu yang sangat terkenal itu. Di Kampung Buluh itu dah kemudian. Katanya ada orang Cina hendak membawa lari batu bersurat dengan sampan melalui Sungai Terengganu - dulu sungai besar ada lalu di belakang bukit, sekarang tinggal alor.

Sampai dekat Kampung Buluh batu bersurat itu patah lalu bahagian atas yang lebih besar terjatuh ke dalam sungai. Sampai sekarang tidak ditemui dan tidak diketahui apa jadi. Bakinya bahagian bawah itulah yang kemudian ditemui telah menjadi alas kaki tempat orang berwuduk dekat sebuah surau di Kampung Buluh. Itulah yang dipersembahkan kepada sultan sekitar 120 tahun lalu sehingga menjadi Batu Bersurat Terengganu yang dikenali hari ini. Lihat Makam (Tomb of) Tok Surat.


Dari makam Tok Surat rupanya sangat dekat dengan makam Tok Gajah, pahlawan Pahang yang merupakan ayahanda kepada Mat Kilau.


Makam ini tak perlulah ditunjukkan arah kerana mudah dicari lalu Joe pun kembali ke rumah.


Seterusnya kami ke satu makam lagi yang terkait dengan legasi lama Islam Kuala Berang, salah satu moyang utama kepada Tok Pulau Manis.





Adapun sepanjang perjalanan di Terengganu ini saya ada membawa sebilah pedang yang ditempa khas untuk pakaian. Tetapi ia sebenarnya belum siap ditempa. Saya minta untuk dibawa keluar buat suatu waktu sebelum dipulangkan bagi menyempurnakannya supaya dapat dijadikan serasi sambil beramal juga mengikuti majlis haul. Di makam Tok Gajah baru timbul rasa untuk mengeluarkan daripada sarung sementaranya. Begitu juga halnya di makam ini.


Sesungguhnya saya sudah lama sedar akan amanah yang perlu dipikul akibat darah keturunan yang dimiliki. Cuma diri ini masih begitu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya juga sedar tidak mampu menyiapkan diri semata-mata atas kehendak dan kekuatan diri sendiri sahaja. Sesungguhnya inilah hakikat Lahawlawala - tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah SWT. Maka itu saya ikut gerak hati dan ilham pergi ke sana ke mari walau tidak faham kenapa, walau sangat memenatkan dan ada kala boleh menyabung nyawa atas keyakinan bahawa itulah jalan yang perlu diikuti untuk persediaan diri.


Seterusnya kami singgah di Masjid Kampung Dusun tidak jauh dari makam tadi.


Terjumpa hamba Allah ini. Imam masjid rasanya...


Menariknya adalah ukiran yang terdapat pada masjid. Beliau menunjukkan lalu membacakan satu tulisan jawi berkenaan ukiran. Selepas menjamakkan solat Zohor dan Asar saya tidur berehat dalam setengah jam gitu.


Kami beriktikaf hampir sejam di masjid. Jam 2.30 baru mengorak langkah meninggalkan Kuala Berang...


Nasib baik sejak 2-3 tahun lalu ada jambatan dekat menyeberangi Sungai Terengganu. Kalau tidak harus berpatah balik ke bandar10 km baru boleh menyerangi sungai dengan jambatan.


Destinasi seterusnya adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara iaitu Tasik Kenyir...


Inilah kali pertama dua anak kecil saya, Rasyid dan Johan dibawa ke sini. Lihat artikel First proper visit to Tasik Kenyir with the wife and two young sons di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya kami membawa anak-anak ke pusat gajah berdekatan.


Tapi apabila mendapati harga tiket masuk adalah RM40 bagi setiap orang dewasa, RM20 bagi kanak-kanak terus tak jadi masuk. RM120 tu bagi kami suami isteri dan dua orang anak. Macam-macam benda lain kami boleh  belanja dengan duit sebanyak itu.


Perjalanan diteruskan menyusuri tepian utara Tasik Kenyir menuju ke arah barat.


Selepas beberapa lama sampai ke Gua Musang.


Persinggahan seterusnya adalah di Bukit Kota, dekat Bukit Betong dalam laluan yang memotong dari Padang Tengku (utara Kuala Lipis) ke Sungai Koyan.


Kawasan ini pernah menjadi pusat pemerintahan Maharaja Perba Jelai yang menguasai wilayah hulu Pahang di kaki Banjaran Titiwangsa.


Melihat aliran Sungai Jelai sebelum matahari terbenam, sebelum perjalanan diteruskan ke Raub kemudian Kuala Lumpur kemudian rumah. Sesungguhnya semua tempat yang dilalui ada kena-mengena dengan perjuangan orang lama. Daripada masuk Maghrib malam sebelumnya sehingga perjalanan dibuat demi menziarahi makam-makam tertentu di sekitar Kuala Berang semuanya berlaku pada hari istimewa Nisfu Sya'aban. Hari yang jatuh pada pertengahan bulan Sya'aban ini memiliki keakraban sendiri dengan peribadi dan rohani junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.  Semoga semangat perjuangan tinggi Melayu dan Islam dengan sokongan dan syafaat Rasulullah SAW dapat diterbitkan demi kedaulatan ummah akhir zaman. Allahuakbar!