Masuk pada majlis ilmu kedua dihadiri di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang semalam. Masih menulis dari masjid ISTAC. Bersambung daripada artikel Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara.
Jam 5 lebih dimulakan syarahan seterusnya bagi siri "Classifications of Knowledge in Islam" oleh Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Siri syarahan berdasarkan buku dengan tajuk sama yang mana buku pula adalah berdasarkan tesis PhD beliau di Amerika Syarikat tahun 1980an itu masuk edisi yang ke-11 petang semalam. Tetapi bermula syarahan minggu lepas ia telah dijenamakan kembali lalu syarahan semalam disebut sebagai yang ke-4. Ini adalah menurut kiraan dalam semester baru. Lihat penerangan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3.
Sudah diberitahu dalam artikel tersebut juga artikel-artikel sebelum itu bahawa syarahan dimulakan kembali daripada muka surat pertama buku kerana muncul ramai muka baru mengikuti siri apabila syarahan diadakan kembali awal Oktober. Rujuk artikel pertama untuk semester baru iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap.
Syarahan petang semalam bermula daripada bahagian tengah muka surat 4 membawa ke tengah muka surat 5. Ini adalah berkisar pada berapa bab yang telah diberikan dalam buku bagi 3 orang tokoh Islam silam yang dibincangkan seperti berikut dan atas dasar apa bab dibuat :-
1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)
2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)
3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311)
Bahagian muka-muka surat berkenaan secara ringkas menerangkan mengapa misalnya klasifikasi ilmu menurut al-Farabi disimpulkan dalam bab 5 dan 6. Tentang al-Ghazzali dikhaskan satu bab iaitu bab 8 tentang kenapa dan bagaimana beliau mengklafikasikan pencari ilmu itu sendiri, bukan ilmu itu sahaja. Bab akhir iaitu ke-11 digunakan untuk menerangkan asas falsafah di sebalik klasifikasi al-Shirazi. Kalau menurut ini sahaja syarahan petang semalam boleh disamakan dengan separuh akhir syarahan ke-3 daripada semester lalu merangkap syarahan ke-3 secara keseluruhan. Rujuk artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang yang ditulis lebih 6 bulan lalu.
Tetapi hakikatnya ada sahaja benda baru boleh muncul akibat ulasan spontan juga soal jawab. OK. Sebetulnya saya masuk ke bilik syarahan lewat iaitu pada jam 5.42. Walaupun syarahan yang asalnya dijadualkan bermula jam 5 telah dilewatkan kerana majlis sebelum itu (lihat kembali Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara) pun tamat jam 5 saya fikir ia tidaklah harus begitu lewat. Ya, orang ambil masa untuk berlegar-legar berbual-bual dan berbuat macam-macam kemudian menunaikan solat Asar sebelum kembali ke bilik syarahan. Begitu juga saya mengambil masa untuk menyelesaikan beberapa hal termasuk solat, itu yang masuk lewat. Yang ingat ketika sampai itu Osman sedang menyebut tentang hakikat ilmu pengetahuan. Disebut tentang hakikat manisnya gula. Pengetahuan sebenar adalah dengan merasa sendiri gula. Sedangkan pengetahuan berdasarkan logik akal semata ialah berdasarkan turutan logik - tebu itu manis, gula datang daripada tebu, maka gula adalah manis. Ini adalah pengetahuan tanpa merasakan sendiri bagaimanakah manisnya gula itu.
Analogi gula dan tebu ini sudah disebut hampir penghujung syarahan minggu lepas. Rujuk kembali artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3. Dalam syarahan petang semalam Osman lebih merujuk pada hal Imam al-Ghazzali yang diketahui telah menguasai ilmu feqah, kemudian ilmu falsafah juga ilmu kalam sebelum mendapat pencerahan tertinggi melalui ilmu Sufi. Hal rasa hakikat manis berbanding cuba memahami apa itu manis berdasarkan logik akal tetapi tidak merasakan ia sendiri itu disamakan dengan pengalaman pengamal Tasawuf seperti pernah dialami al-Ghazzali. Disebut pula tentang lebah yang mana Quran menyebut (dalam Surah an-Nahl) bahawa ia diwahyukan (ya, ayat bahasa Arabnya menyebut perkataan wahyu, bukannya ilham). Biar dicopy paste ayat berkenaan...
Ayat yang merupakan ke-68 dalam Surah ke-16 ini saya rujuk melalui pautan ini (klik pada perkataan "ini"). Sesawang atau website berkenaan memberikan terjemahan berikut :-
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.
Tetapi hakikatnya perkataan Arab pada ayat itu menyebut Tuhan memberi WAHYU kepada lebah, cuma ulamak sahaja menterjemahkan ia menjadi ilham supaya tidak terkeliru dengan hakikat wahyu yang diterima oleh para Nabi. Sebetulnya sebelum Osman menyebut tentang lebah dan ayat ini sudah terbetik dalam hati saya untuk menyebut dan bertanya tentangnya. Tengok-tengok dia sebut dan buka perkara. Sesungguhnya memang pada hal ini terkandung pelbagai rahsia.
Oh, baru ingat. Daripada hal rasa manis tadi diceritakan tentang pengetahuan luar kebiasaan atau luar akal logik biasa yang beliau sebut sebagai suprarational knowledge. Saya fikir ini boleh diterjemahkan sebagai pengetahuan suprarasional iaitu melangkaui akal logik biasa. Tentang wahyu yang diterima para Nabi sebagai pengetahuan suprarasional itu sudah jelas perkara. Osman menyebut ilham yang boleh memberikan kita suatu jawaban tanpa melalui proses penaakulan fikir soal jawab pun termasuk dalam kategori ini.
Ditanya apakah umat Islam sahaja boleh menerima ilham, Osman menjawab tidak. Orang bukan Islam pun boleh menerimanya. Bahkan binatang pun boleh menerima ilham. Sebetulnya bila disebut tentang pengetahuan suprarasional tadi saya sudah terfikir pasal hal lebah seperti dinyatakan dalam Surah an-Nahl. Bila Osman menyebut binatang pun boleh menerima ilham maka hal lebah pun disebut lalu dipanjangkan
"Tengok lebah mendapat ilham untuk mendirikan sarang di gunung-ganang dan sebagainya" lalu baru beliau sebut perkataan Arab dalam ayat Quran berkenaan memang menyebut wahyu, bukannya ilham. "Lihat bagaimana dibina petak-petak berbentuk hexagon (segi enam) dengan tepat. Kita manusia pun tidak mampu membuat dengan ketepatan itu".
Dibuka lagi beberapa hal sebagai mengupas bahagian-bahagian muka surat berkenaan dengan tumpuan pada hal al-Ghazzali. Kebetulan dalam kalangan hadirin ada seorang pelajar yang katanya mengambil bidang antropologi di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. Ingat. UIAM adalah badan utama yang menaungi ISTAC. Berlakulah soal jawab tentang bagaimana antropologi telah diajar secara formal di institusi-institusi pengajian tinggi dengan bagaimana Islam melihat ilmu berkenaan.
Untuk pengetahuan ilmu ini selalu dikaitkan dengan kajian manusia purba. Dalam skop kajian tersebut selalu diperkatakan tentang teori asal usul spesis atau jenis-jenis kehidupan (Origin of Species) oleh Charles Darwin. Ini pula seringkali dikaitkan dengan dakwaan saintis ateis bahawa manusia kononnya berasal dan berevolusi daripada beruk. Tentunya ia adalah salah daripada sudut pandang Islam namun ilmu antropologi tetap diajar di merata dunia sebagai suatu yang sangat penting dalam mengenali manusia.
Osman menerangkannya begini. Apa itu antropologi? Berbalik pada asal perkataan itu sendiri. Ia adalah ilmu kaji manusia. Menurut Barat mereka telah mengkaji sehabis dalam. Tetapi disebabkan mereka tidak percaya pada hal-hal spiritual sedangkan menurut Islam manusia juga adalah makhluk spiritual yang ada hubungan dengan Tuhan dan keTuhanan maka kajian ilmu antropologi Barat tidaklah menyeluruh seperti disangkakan mereka tetapi cumalah sebahagian daripada kajian tentang manusia.
Sebagai umat Islam kita patut tahu tentang aspek-aspek spiritual manusia. Maka itu harus dipelopori satu bidang yang boleh dipanggil sebagai antropologi spiritual (spiritual anthropology) untuk menanggapi segala persoalan. Kata Osman malah sebenarnya sudah ada pakar-pakar dalam bidang ini di Barat. Tetapi ia tidaklah diajar sebagai satu sukatan matapelajaran rasmi tetapi melalui syarahan individu berdasarkan pengajian Tasawuf ataupun Sufi. Mungkin sudah sampai masanya ia dijadikan satu bidang kajian formal terutama oleh universiti-universiti Islam seperti halnya ISTAC. Cukup perkongsian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan