Salam pagi Khamis 18 Safar. Bersambung gerak penulisan daripada artikel Aksara, naskhah & Tamadun Alam Melayu - Ilmu jimak Melayu, jin laga lembu dan kelebihan Ahlul Bait
Dari Perpustakaan Negara di barat laut pusat bandar raya Kuala Lumpur saya berkejar hampir 7 km ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Melayu) barat daya untuk satu majlis ilmu bersiri.
Ia adalah syarahan bagi buku "Classification of Knowledge in Islam" oleh penulisnya, Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar.
Artikel sebelum ini tentang siri iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mendapat restu Imam Ghazzali? telah menyebut syarahan seminggu lalu sebagai yang ke-9 dalam siri. Memang ia diisytiharkan begitu. Untuk pengetahuan siri telah dimulakan pada bulan Mac tahun ini. Tetapi syarahan sambungannya petang semalam 16 Oktober pula disytiharkan sebagai yang ke-3.
Mengapa begitu? Sebetulnya "bunga-bunganya" ada diberitahu dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mendapat restu Imam Ghazzali? juga artikel sebelumnya iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap. Ada diberitahu bahawa setelah beberapa lama siri 'direhatkan' ia disambung bulan Oktober ini dengan sedikit perubahan - daripada pagi Isnin ia dialih ke petang Rabu. Dan muncul sejumlah hadirin baru membuatkan Osman merasakan elok disyarahkan kembali daripada muka surat pertama buku.
Maka bermula daripada situ, syarahan petang semalam boleh dijenamakan kembali sebagai syarahan ke-3 siri. Lagipun 7 syarahan terdahulu berlaku pada semester pengajian yang lalu (Februari - Jun 2019). Sekurang-kurangnya syarahan terbaru memang yang ke-3 bagi semester ini (September 2019 - Januari 2020).
Di atas adalah kulit edisi terbaru buku "Classification of Knowledge in Islam" yang baru terbit dalam sebulan dua. Ia telah ditambah tajuk kecil "A Study in Islamic Schools of Epistemology" (saya terjemahkan sebagai "Satu Kajian dalam Aliran-aliran Epistemologi Islam". Syarahan petang semalam dimulakan dengan satu persoalan. Apa itu minda, apa itu fikiran? Ditanya pula orang apa itu akal budi.
Maka Osman menyebut tentang konsep Akal Juz'i yang cuma dapat menggapai sebahagian daripada realiti atau kenyataan berbanding Akal Quli yang boleh menanggapi secara keseluruhan. Diberi contoh ilmu pengetahun tentang gula - kita boleh tahu ia manis berdasarkan logik akal. Oleh kerana tebu manis maka gula yang berasal daripad tebu adalah manis. Tetapi hakikat kenyataannya adalah apabila merasa dengan lidah sendiri akan gula itu. Manis dirasakan tanpa perlu membuat turutan logik akal bahawa gula berasal daripada tebu lalu bersifat manis disebabkan itu.
Akal budi adalah tentang mendapatkan pencerahan. Ia boleh dikaitkan dengan Akal Quli. Fikiran lebih pada Akal Juz'i. Ia sebetulnya meneka-neka berdasarkan prinsip logik tadi. Belum betul-betul merasa lalu mendapat pencerahan seperti hal bagaimanakah sebenarnya rasa manis pada gula.
Berbalik pada huraian buku. Syarahan minggu lalu (yang sebelum itu bermula kembali daripada muka surat pertama) baru sampai ke pertengahan muka surat 2. Disebut tentang pemilihan 3 orang tokoh silam Islam yang dijadikan kajian dalam buku. Tentang Imam al-Ghazzali ditekankan bahawa beliau adalah seorang ahli Sufi, juga ahli falsafah, ahli kalam dan pakar ilmu feqah. Oleh itu beliau dapat melihat dan menimbang menurut banyak sudut pandang lalu menyeleraskannya.
Tentang al-Farabi yang merupakan tokoh pertama dalam kajian menurut turutan buku, disebut bahawa Ibnu Khaldun yang hidup 4 abad kemudian pun selalu memetiknya. Ayat demi ayat dalam buku pun dibaca dan diberikan huraian pendek. Sampai pada awal muka surat 4 disebut bahawa al-Farabi menjadi asas bagi membuat perbandingan antara pemikiran 3 orang ulamak silam. Osman menyebut bahawa PhD beliau di Amerika Syarikat (buku adalah berdasarkan kajian PhD yang dibuat tahun 1980an) berada di bawah perhatian 5 orang profesor dalam jawatankuasa. Seorang beragama Kristian, seorang beragama Yahudi, 3 orang Islam.
Secara rata apa yang disyarahkan tentang buku petang semalam adalah sama dengan separuh akhir syarahan ke-2 semester lalu membawa ke separuh awal syarahan ke-3 semester. Maka ia boleh dirujuk melalui artikel-artikel lama berikut :-
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian (syarahan pada 18 Mac @ 11 Rejab)
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang (2 April @ 26 Rejab)
Sebelum tamat sesi Osman ditanya tentang ilmu pengetahuan - manakah lebih bagus - belajar atau melihat daripada 'atas ke bawah' atau 'bawah ke atas'? Jawab beliau dua-dua pun boleh. Bahkan inilah yang menjadi perdebatan antara pemikir besar silam Yunani iaitu Plato (abad ke-5 hingga ke-4 Sebelum Masihi) dengan anak muridnya Aristotle yang kemudian menjadi pemikir besar juga.
Plato suka bermula daripada atas iaitu konsep keTuhanan membawa turun ke hal-hal yang lebih dekat dengan manusia biasa sedangkan Aristotle bermula daripada bawah kerana berfikiran empirikal (memerlukan pembuktian yang dapat dinilai dengan 5 pancaindera biasa dan diulang pembuktiannya oleh sesiapa sahaja). Menurut Osman, Al-Farabi yang mengambil lalu mengaplikasikan cara pemikiran Aristotle lebih 1,000 tahun telah berjaya menyelaraskan antara kedua-dua sudut pandangan lalu mengharmonikannya.
Kebetulan hadir seorang pensyarah ISTAC berbangsa Cina dari negara China. Osman terus menunjuk kepada beliau lalu mengatakan konflik serupa ('atas ke bawah' lawan 'bawah ke atas') masih berlaku di Cina. Ini adalah antara pengikut ajaran Tao (Taoist) yang lebih bersifat falsafah tinggi dengan pengikut ajaran Confucianisma yang lebih membumi. Kata Osman Islam boleh mengharmonikannya. Kalau diberi peluang untuk ini dilakukan tentu Islam meningkat naik di Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan