Ahad, Oktober 13, 2019

Himpunan Perguruan Silat Selangor - Antara mata pedang dengan mata pena mana lebih utama?



Jam 2.09 petang tiba-tiba kedengaran bunyi gendang dan serunai silat kembali bergema setelah dekat 2 jam senyap.


Tadi tu turun hujan boleh tahan lebat dan kebetulan masuk waktu rehat makan tengah hari dan solat Zohor. Kini acara disambung kembali dengan kedatangan tetamu kehormat Tengku Dato' Mohamed al Haj bin Tengku Harun, Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya iaitu Orang Besar Daerah Kuala Langat. Kehadiran ahli kerabat diraja Selangor ini diiringi sejumlah pesilat...





Ketika beliau sampai itu saya baru sahaja beberapa minit selesai mempersembahkan artikel pertama tentang majlis iaitu Himpunan Perguruan Silat Selangor - Majlis ta'aruf dan pembukaan gelanggang lewat malam


Saya pun mengikuti bahagian majlis yang seterusnya di mana hadirin diminta berkumpul di lapangan berhadapan Istana Bandar..








Ada nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu negeri Selangor.





Ada ucapan daripada YB Mohd Khairuddin bin Othman, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor. Harus ada ucapan juga daripada tetamu kehormat paling utama Tengku Mohamed al Haj tetapi ketika itu saya sedang berada agak jauh di bahagian belakang istana kerana satu urusan.


Selepas selesai menjamakkan solat Zohor dan Asar baru saya kembali menyertai majlis.


Bermula lagi persembahan silat kali ini disaksikan tetamu paling kehormat yang masih termasuk dalam kerabat diraja Selangor...











Selepas itu diadakan upacara penganugerahan sandang kepada guru-guru silat dan mereka yang berkhidmat kepada masyarakat...





Jam 3.07 saya kembali ke meja niaga untuk menyambung penulisan. Dimulakanlah artikel bertajuk Himpunan Perguruan Silat Selangor - Apabila Istana Bandar kembali bergema dengan temasya silat menunjukkan keadaan majlis daripada pagi hingga ke tengah hari.


Beginilah rupa saya ketika menulis. Saya juga menerima sandang atas kapasiti penulis yang selalu memberikan sokongan pada kawan-kawan dan aktiviti-aktiviti silat.


Jam 3.55. Tengok-tengok tetamu-tetamu kehormat masuk ke ruang niaga di tingkat bawah istana menghadap pintu masuk utama diiringi orang-orang silat terutama daripada penganjur utama majlis iaitu persatuan DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Selangor.


Presiden (ke Yang Dipertua? lupa pula) DSSM Selangor, Cikgu Ismail Zamry memperkenalkan Tengku Mohamed kepada saya sebagai penulis. Tadi semasa menerima sandang pun sudah diperkenalkan sebagai penulis. Kali ini dapat ditunjukkan beberapa buku tulisan saya.


Beliau menjadi tertarik tetapi tertanya-tanya apabila disebut 3 buku pertama saya iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" (terbit Jun 2006 - November 2007) adalah tentang pengalaman sebenar saya mencari jati diri Melayu yang sudah lama hilang akibat pengaruh keBaratan sehingga membawa untuk menjejak susur galur keluarga hingga ke Aceh. Apabila diberitahu susur galur itu sampai kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera-Pasai hampir 800 tahun lalu beliau mengangguk tahu nama itu. Namun beliau paling tertarik apabila diberitahu di Aceh juga ada raja-raja daripada Dinasti Bugis dan ini bersambung sampai ke seorang pejuang wanita terkenal Aceh abad ke-16 iaitu Laksamana Raja Kemalahayati. Daripada perkahwinan beliau dengan seorang yang dikenali sebagai Laksamana Zainal Abidin bin Daeng Mansur terbitlah keturunan yang menjadi sultan-sultan Aceh daripada tahun 1727 hingga 1903.


Selepas beliau pergi saya terus menyambung penulisan. Dah terlupa ketika berbual dengannya apakah sudah dipersembahkan artikel Himpunan Perguruan Silat Selangor - Apabila Istana Bandar kembali bergema dengan temasya silat atau belum. Ini kerana gambar-gambar menunjukkan saya berbual dengannya diambil isteri menggunakan telefon bimbit. Tidak dapat ditemui maklumat pada jam berapa ia diambil.

Apapun selesai artikel tersebut saya terus menyambung dengan penulisan artikel ini. Sambil itu saya mengikut majlis secara menjeling-jeling ke arah tingkap. Apabila kedengaran ia mahu ditutup baru saya keluar menyertai kembali majlis untuk bersalam-salaman dengan kawan-kawan dan kenalan dalam dunia persilatan. Ketika gambar ini diambil sudah jam 4.54 petang.





Gambar menunjukkan keadaan masih meriah sambil orang bersalam-salaman. Tetapi hakikatnya ketika ayat ini ditulis jam 5.28 ramai telah meninggalkan Istana Bandar sementara ruang niaga  tempat saya menulis hampir kosong kerana orang telah berkemas dan keluar.





Saya perlu menyiapkan artikel ini sebelum keluar. Tentang kenapa ia diberi tajuk kecil "Antara mata pedang dengan mata pena mana lebih utama?" asalnya saya hendak memberikan penerangan dengan akhirnya adalah Allah SWT mencatat seluruh perjalanan kehidupan makhluk dengan pena atau kalam, bukannya pedang. Sekarang biarkan artikel ini ditamatkan tanpa penerangan tambahan.


P/s : Rupa-rupanya isteri sempat membuat siaran langsung ke Facebook atau live FB selama lebih 24 minit pada penghujung majlis. Sebelum itu dah buat live FB semasa kedatangan tetamu kehormat paling utama dan upacara sekitar waktu itu. Sila tonton di sini dan sini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan