Ahad, Oktober 13, 2019

Himpunan Perguruan Silat Selangor - Majlis ta'aruf dan pembukaan gelanggang lewat malam

Salam hari Ahad 13 Oktober bersamaan 14 Safar. Pada permulaan artikel Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu yang dipersembahkan jam 6.24 petang semalam ada diberitahu selepas itu saya dan keluarga harus berkejar ke Banting untuk satu majlis persilatan yang berpanjangan sehingga petang Ahad esok. Sekarang saya sedang menulis dalam majlis tersebut menggunakan hotspot daripada telefon bimbit saya. Bolehlah dimulakan perkongsian tentang majlis...


Ini adalah poster untuk majlis tersebut. Ia dijadualkan berlangsung sehari penuh Ahad 13 Oktober.


Dinamakan "Himpunan Perguruan Silat Selangor" kami datang untuk menyokong kawan-kawan persilatan terutama daripada persatuan DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Selangor.


Adapun semalam hari Sabtu yang tarikhnya bersamaan 13 Safar saya telah memulakan puasa putih iaitu puasa tengah bulan Islam 3 hari berturut-turut (13, 14, 15 bagi setiap bulan). Selepas berbuka puasa ringkas dengan kurma dan air kosong tunaikan dahulu solat Maghrib, sedikit wirid dan solat sunat sebelum keluar menuju ke arah lokasi iaitu Istana Bandar di Jugra, Banting. Kami keluar di tol Hospital Sungai Buloh dengan niat hendak makan kari kambing enak di warung hadapan hospital. Tengok-tengok kari dah habis, layan le pulak sup tulang.

Sejurus sebelum sampai ke warung baru tersedar tertinggal beg sandang. Ia selalu dibawa ke sana ke mari sehingga masuk hutan mendaki gunung bagai apatah lagi ke majlis-majlis persilatan. Dalam beg tersebut ada selempang merah kesayangan yang diterima secara ghaib.  Rasa tak lengkap pula kalau tidak dipakai ke majlis. Lebih tak seronok lagi keris kesayangan pun turut tertinggal dalam beg. Bagaimana hendak merasa lengkap berbusana tradisional Melayu kalau tidak tersisip keris di pinggang apa lagi memang untuk majlis persilatan?

Akibat itu kami terpaksa berpatah kembali ke rumah 27 km dari hospital. Dah alang-alang balik tu tunaikan sekali solat Isyak dan sunat di rumah. Ketika gambar atas diambil jam 9. 19 kami sekali lagi menghampiri persimpangan hospital dalam perjalanan ke istana. Semata-mata untuk mengambil keris dan selempang dah tambah 54 km perjalanan (27 km x 2 iaitu pergi balik). Sedangkan kalau diteruskan selepas makan harus jam 9.19 itu sudah sampai kerana menurut Google Map jaraknya adalah 86 km dari rumah.


Kami sampai ke perkarangan Istana Bandar jam 10.12. Masuk melalui pintu belakang ada le nampak beberapa orang.


Rupa-rupanya ramai berada di bahagian hadapan istana. Kalau ikut atur cara ada majlis tahlil selepas Isyak tapi dah selesai. 


Oh, Istana Bandar ini adalah kediaman Sultan Selangor ke-5, Sultan Alaedin Sulaiman Syah yang bertakhta 1898 hingga 1938. Ia sudah lama tidak digunakan. Sekarang dalam proses untuk dijadikan muzium di bawah PADAT (Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor).


Kalau ikutkan hakikat kami sudah terlewat lebih elok sahaja bergerak terus ke rumah seorang kawan berdekatan istana untuk bermalam. Tapi timbul rasa untuk melihatnya barang sebentar sebelum acara utama siang Ahad. Tengok-tengok ada majlis ta'aruf bagi guru-guru dan pengamal silat. Dah kawan-kawan ajak saya dan isteri pun duduk sekalilah...


Kami diminta memperkenalkan diri, beri sedikit latar belakang terutama penglibatan dalam dunia persilatan dan bolehlah memberikan saranan bagaimana hendak memajukan.


Lebih utama adalah ukhuwah iaitu persahabatan dan perpaduan antara umat Melayu Islam. Kalau ikutkan masuk jam 10.45 Sabtu malam Ahad adalah waktu saya menonton satu siri televisyen kegemaran. Isteri pun tak boleh kacau.  Tetapi demi ta'aruf ini ia diketepikan.


Silat adalah satu wadah penyatuan merentas pemahaman politik yang seringkali memecah-belahkan. Adalah menjadi harapan semua agar umat Melayu dapat bersatu menghadapi cabaran yang kalau dilihat secara jujur dan saksama semakin mencabar kesabaran anak watan (saya sebut secara jujur dan saksama kerana puak liberal tidak melihatnya begitu. Pada mereka tidak ada apa-apa pun cabaran. Mereka nampaknya lebih suka kalau Melayu hilang kuasa dan Islam dipinggirkan supaya boleh berbuat maksiat sesuka hati, tiada siapa yang melarang).


Tetamu kehormat, YB Mohd Khairuddin bin Othman, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor memberikan kata-kata aluan mewakili Menteri Besar. Beliau menyatakan komitmen mahu mengangkat persilatan Selangor ke aras yang lebih tinggi.


Selepas itu diadakan majlis pembukaan gelanggang di satu sisi istana.





Tamat sekitar jam 11.45 malam ia adalah adalah persediaan untuk acara utama siang Ahad di mana 70 buah perguruan dari Selangor akan bersama bersilaturrahim dan membuat persembahan...







Tiada ulasan:

Catat Ulasan