Salam petang Sabtu 13 Safar. Ini ada cerita yang asalnya tidak mahu disebut pun di mana-mana kecuali dengan kawan rapat. Itupun tak terfikir hendak bercerita kecuali kalau ditanya. Tetapi disebabkan ada pembaca kelihatan berharap maka dilepaskan walau secara ringkas. Sesungguhnya tidak semua perkara, pengalaman, aktiviti dan sebagainya yang dilalui dikongsikan kepada umum atau dijadikan cerita. Nampak sahaja seolah-olah saya ni 'kaypoh', kecoh... semua perkara hendak dikongsikan kepada umum sehingga telah menulis hampir 1,850 artikel di blogspot ini, hampir 2,020 di BERPETUALANG KE ACEH, lebih 2,050 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan paling sedikit hampir 370 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) (kerana ia tertumpu pada aktiviti-aktiviti berkaitan NGO saya HIKMAH sahaja). Tetapi ia sebenarnya tidak sampai pun separuh apa yang pernah dilalui atau dibuat.
Merujuk pada artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17? diikuti Islam di China - Apabila seni khat Arab dan seni khat Cina digabungkan bagi memartabatkan Islam... yang ditulis hari Khamis 3 Oktober iaitu 9 hari lalu. Ia merujuk pada majlis pelancaran dan diskusi buku "Islam in China - History, Spread and Culture" yang berlangsung di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi hingga petang hari itu. Disebabkan mahu menghadirinya saya menginap di masjid ISTAC malam sebelumnya. Ini kerana tidak mahu berulang-alik ke rumah 40 km dari ISTAC setelah datang ke majlis ilmu lain di situ petang Rabu. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap.
Malam selepas majlis saya menghadiri satu majlis zikir suatu kumpulan tariqat yang biasa diadakan di Bukit Damansara setiap malam Jumaat. Sudah bertahun tidak ke sana walhal dalam tempoh waktu tahun 1997 hingga 2005 begitu saya rajin bersama, ada masa datang sehingga hampir setiap minggu. Pun begitu saya sering menganggap diri bebas, tidak terikat dengan mana-mana tariqat. Ini kerana saya juga seringkali hadir ke majlis-majlis zikir kumpulan dan tariqat lain termasuk pembacaan Ratib al-Haddad dan Ratib al-Attas yang biasa dilakukan oleh keluarga-keluarga Sayyid/para Habaib daripada cabang Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW belah Ba'Alawi Hadramaut. Sesekali pula mengaji dengan orang-orang tua Sufi di kampung-kampung.
Walaupun sebenarnya tidaklah rajin mengikut sesi zikir saya tidak akan melepaskan peluang apabila masuk bacaan maulud dan qasidah yang biasa dilakukan di sesetengah tempat zikir. Yang ni memang tak tahan. Kalau ketika orang berzikir saya pula keluar buat hal lain tapi kalau terdengar orang bermaulud dan berqasidah saya akan berusaha untuk rapat sehingga dapat duduk betul-betul di belakang kumpulan utama berhadapan Sheikh. Kalau di Bukit Damansara kumpulannya siap bergendang dan berkompang. Yang ni memang boleh 'layan' sampai 'tenggelam'...
Daripada majlis malam Jumaat 9 hari lalu saya dapat tahu bahawa malam Jumaat berikutnya akan hadir sheikh tertinggi tariqat yang berpengkalan di Cyprus. Beliau akan bersama dalam rangka kerja lawatan beberapa hari ke Malaysia. Biarlah disebut namanya sebagai Sheikh Muhammad Adil al-Haqqani daripada Tariqat Naqsyabandiah Haqqani. Tariqat yang memiliki ribuan mungkin sampai jutaan pengikut di seluruh dunia ini dahulu dipimpin oleh almarhum ayahandanya, Sheikh Nazim (meninggal dunia tahun 2014 pada usia 92 tahun). Di Malaysia ia pernah dipimpin almarhum Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Syah, adinda kepada Sultan Nazrin yang sekarang memegang takhta kerajaan Perak. Beliau meninggal dunia tahun 2012 pada usia 54 tahun.
Ah. Kata tadi hendak menulis ringkas sahaja tetapi begitulah gerak. Bila sudah memulakan suatu penulisan saya akan buat sampai timbul rasa puas, sampai cukup rasa telah menyampaikan apa yang patut dan boleh disampaikan. Kebetulan petang Khamis baru ini 10 Oktober saya hadir ke satu majlis ilmu di ISTAC. Lihat Dekolonisasi Pengajian Melayu - Melepaskan diri daripada belenggu minda tertawan akibat penjajahan Barat. Bolehlah ke majlis zikir di Bukit Damansara pada malamnya kerana sudah tidak berapa jauh dari ISTAC.
Di atas adalah gambar Sheikh Mehmet dalam ruangan zikir sebaik sahaja sesi maulud dan qasidah bermula. Begitu ramai orang hadir lalu terpaksa duduk di luar. Tapi kedengaran sahaja maulud dan qasidah hendak bermula saya terus meluru masuk ke dalam. Tidak lama kemudian saya pun 'tenggelam' di dalam irama dan bacaan.
Gambar ini diambil di luar bangunan berupa sebuah rumah bungalow jam 11.25 malam. Kalau tak salah ia adalah selepas 10-15 minit Sheikh Mehmet dan adindanya Sheikh Bahauddin meninggalkan majlis. Seperti biasa walau sudah lama bertahun tidak bertandang sekalipun, walau lama tidak bersua muka saya akan ditegur dan disapa kerana ada ramai kawan lama juga kenalan mengikuti tariqat. Ada pula yang tidak dikenali sebelum ini tetapi cam saya sebagai penulis Merah Silu apa lagi saya seorang sahaja datang bertanjak.
Antara yang menyapa itu ada seorang anak Perak. Nampak sahaja saya terus merapat lalu dipanggil seorang adiknya untuk berkenalan. Selepas bercerita sedikit sebanyak beliau meminta diri. Ketika itulah dia berpesan : "Tulis ya, nanti saya boleh baca."
Hal inilah yang membuat terasa wajib juga menulis tentang majlis. Walhal saya cuma mengambil dua gambar di atas ini sahaja kerana memang tiada berniat untuk berkongsi kepada umum malah sesiapa pun. Cuma ketika bermaulud dan berqasidah itu saya ada buat live video di Facebook. Ini kerana mahu berkongsikan kegembiraan malah rasa nikmat bersama majlis. Klik pada pautan berikut untuk video-videonya :-
1. Sini
2. Sini
3. Sini
Alhamdulillah. Lepas rasa tanggungjawab dan gerak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan