Salam Jumaat. Penceritaan perjalanan saya dan keluarga di Cambodia dan Thailand sudah masuk hari ke-9 perjalanan. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Battambang-Poipet-Bangkok-Ayutthaya dengan pelbagai jenis pengangkutan.
Pagi Jumaat 30 November 2018 iaitu tepat 8 minggu lalu. Setelah mendapat rehat yang cukup di rumah penginapan kami di kota Ayutthaya saya melihat keluar.
Beginilah rupa rumah penginapan tersebut. Saya melihat dari atas rumah bot di tepi Sungai Chao Phraya. Lihat artikel The Chao Phraya from Ayutthaya Riverside House di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Lokasi dan suasana memang nyaman dan menenangkan. Selain itu ada satu faktor besar menyebabkan saya memilihnya untuk menginap.
Betul-betul di sebelah rumah penginapan terdapat satu kompleks kuil Buddha.
Menariknya semua bangunan kuil di dalamnya menghadap kiblat iaitu Ka'abah di Mekah! Lihat artikel Wat Kasatrathirat Worawihan, Ayutthaya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Sebetulnya semua bangunan dalam kawasan berdekatan termasuk rumah penginapan kami dibina menghadap kiblat. Kenapa ya? Itu yang kami mahu siasat...
Jam 11 pagi kami pun check-out lalu bersedia untuk menjelajah.
Kami tempah tuk tuk yang telah menghantar kami dari stesyen kereta api ke rumah penginapan pada malam sebelumnya.
Tidak seperti di Cambodia tuk tuk di Thailand rata-rata lebih rendah. Kalau duduk atas kerusi boleh sakit kepala kena tunduk mengelak langgar bumbung. Saya memilih untuk duduk di lantai menghadap ke belakang agar lebih selesa untuk meninjau persekitaran.
Kami singgah di bangunan ini yang terletak berseberangan sungai dari rumah penginapan. Letaknya dalam lingkungan kawasan kota lama Ayutthaya yang dikeliling Sungai Chao Phraya dan satu lagi sungai sehingga menjadi pulau.
Muzium ini didedikasikan untuk satu watak terkenal dalam sejarah kerajaan Ayuthia. Beliau adalah Permaisuri Suriyothai yang terkenal kerana mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan suaminya, Raja Maha Chakkraphat (memerintah Ayuthia 1548-1564 dan 1568-1569) ketika tentera Burma menyerang. Lihat Muzium (Museum of) Suriyothai, Ayutthaya.
Kami ke muzium disebabkan monumen di sebelahnya.
Ia adalah monumen yang dikatakan menempatkan abu mayat Suriyothai. Lihat Chedi Sri Suriyothai.
Ini pula Sungai Chao Phraya di hadapan monumen. Kelihatan di tengah gambar kompleks kuil yang terletak di sebelah rumah penginapan kami. Semua kawasan yang kelihatan baik ke kiri mahupun kanan sungai menghadap kiblat. Begitu juga bangunan-bangunan. Lihat Chao Phraya river in front of Chedi Sri Suriyothai
Melalui papan panduan di hadapan muzium kami dapat tahu lokasi tapak dan tinggalan istana terawal kerajaan Ayuthia sudah tidak jauh dari situ. Ia telah dijadikan kuil. Lihat Wat Phra Si Sanpeth, Ayutthaya.
Dekat tapak tersebut ada sebuah kuil yang kelihatan lebih moden. Alang-alang dah lalu saya pun singgah melihat ke dalam Wihan Phra Mongkhon Bophit.
Selepas itu kami menghabiskan masa untuk mencari makam seorang tokoh Islam dari Parsi yang hidup 400 tahun lalu. Makam beliau adalah bukti jelas kewujudan komuniti Islam di Ayutthaya (merujuk kepada kota yang merupakan pusat pemerintahan negara, kerajaan dan empayar) dan Ayuthia (merujuk kepada kerajaan). Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Ahmad Qomi.
Adapun ketika sampai ke makam sudah jam 12.40 tengah hari. Saya ada menyimpan hajat ingin menunaikan solat Jumaat di satu-satunya masjid yang diketahui terletak dalam lingkungan pusat kota lama Ayutthaya iaitu dalam kawasan pulau. Letaknya sekitar 3 km dari makam.
Kami sampai jam 12.59. Alhamdulillah saya dan dua orang anak lelaki sempat menyertai solat Jumaat berjemaah. Walaupun tidak menjadi kewajiban buat kami kerana sedang bermusafir jauh ia adalah hajat. Bukan selalu dapat sampai. Google Map menunjukkan dari rumah saya di Selangor ke Ayutthaya ada jarak 1,511 km.
Pada saya peluang sempat bersolat Jumaat walaupun telah menghabiskan masa untuk mencari makam seorang tokoh Islam ada satu petunjuk tentang kedudukan tinggi Islam di Ayutthaya. Syukur alhamdulillah ada pula makan free, sesuatu yang sangat didambakan bagi orang musafir bajet seperti kami.
Untuk makluman masjid ini pernah menjadi tempat persinggahan terawal ketika kami kali pertama sampai ke Ayutthaya dengan memandu kereta sendiri penghujung tahun 2017. Tentunya ada rasa puas yang amat sangat sempat bersolat Jumaat walaupun kami banyak berkejar ke sana ke mari termasuk berpusing-pusing merata mencari makam. Rujuk artikel lama Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menelusuri keagungan Ayutthaya, pusat kerajaan Siam lama.
Saya merasa terlebih puas kerana beberapa hajat lain yang tersimpan sejak lawatan pertama setahun lebih awal juga telah tercapai. Ini termasuk :-
1. Menginap malah bermalam Jumaat dalam kawasan menghadap kiblat
2. Sampai lalu dapat meninjau kuil di sebelah rumah penginapan sehingga dapat memastikan di lapangan bahawa ia memang benar menghadap kiblat iaitu Mekah di Ka'abah. Saya semak dengan kompas.
3. Dapat sampai ke monumen yang dikenali sebagai Chedi Sri Suriyothai. Ia adalah satu monumen besar yang pada saya adalah penanda satu-satunya kawasan dalam kota Ayutthaya dan sekitarnya yang dapat dipastikan semua bangunan di dalamnya terletak menghadap kiblat.
Dengan itu bersedialah kami untuk meninggalkan Ayutthayaa. Kami minta dihantar ke stesyen kereta api.
Sambil menunggu kereta api sampai saya merenung signifikan segala yang berlaku hari itu. Biar ditulis secara turutan seperti begini :-
1. Bermalam Jumaat dalam kawasan menghadap kiblat
2. Dapat memastikan kuil di sebelah rumah penginapan juga menghadap kiblat
3. Dapat ke Chedi Suriyothai dalam kawasan menghadap kiblat. Orientasinya (kedudukan tapak empat segi Chedi) boleh dikatakan menghadap kiblat dengan pintu masuk dan tangga di sisi kanan bangunan.
4. Dapat singgah ke tapak istana terawal Ayutthaya. Yang ini tiada dalam rancangan. Semasa singgah di muzium yang terletak di sebelah Chedi baru tahu ada tapak istana lama tidak jauh dari situ. Semasa lawatan terdahulu penghujung tahun 2017 kami tak singgah kerana tak tahu pun tentangnya.
5. Dapat ziarah makam tokoh Islam bernama Sheikh Ahmad Qomi. Dulu ada pernah dengar nama tapi tak pasti kat mana. Kali ini baru sampai.
6. Dapat bersolat Jumaat berjemaah dalam lingkungan kota lama Ayutthaya.
Bagaimana saya boleh tahu tentang kawasan menghadap kiblat di Ayutthaya? Ini adalah disebabkan beberapa petunjuk yang muncul selepas kami selamat kembali ke Malaysia daripada perjalanan penghujung tahun 2017. Rujuk artikel lama Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Apabila kuil lama zaman Srivijaya di Chaiya didapati menghadap kiblat
Adapun sudah ramai memberitahu bahawa kerajaan Ayuthia itu asalnya memang beragama Islam. Tetapi sejarah ini digelapkan setelah masuk puak Buddha mengambil alih kekuasaan. Besar kemungkinan ini berlaku seiring dengan serang Buddha Burma yang menjatuhkan kerajaan Ayuthia tahun 1767. Yang pasti ia membuka jalan kepada perubahan dinasti pemerintahan sehingga wujudnya kerajaan Buddha Thailand sekarang.
Malangnya tidak ditemui bukti-bukti nyata untuk menyokong dakwaan serta kepercayaan ini. Kewujudan kawasan menghadap kiblat sama ada kebetulan (akibat bentuk muka bumi dan kedudukan Sungai Chao Phraya di sebelah sana) atau dirancang seperti mahu memberikan petunjuk yang boleh menguak pintu kebenaran.
Ini pada saya menimbulkan pertanyaan. Kalau tidak dapat dibuktikan Ayuthia adalah kerajaan Islam atau sekurang-kurangnya ada 2-3 orang rajanya yang beragama Islam mungkin perjalanan dan pencarian yang saya lalui mahu menunjukkan bahawa Permaisuri Suriyothai yang sangat terkenal dalam sejarah lama Ayuthia itu beragama Islam? Atau sekurang-kurangya pernah beragama Islam sebelum dimurtadkan? Semoga ada pihak lain dapat memanjangkan kajian
Gambar-gambar selepas kereta api sampai tadi menunjukkan turutuan masa kami sampai ke bandar raya Bangkok lalu mengambil tuk tuk menuju ke hotel. Letaknya dalam kawasan Khao San Road yang sangat terkenal sebagai persinggahan ramai pelancong Barat. Kami perlu berjalan kaki sedikit untuk masuk ke hotel.
Ini adalah hotel ketiga kami menginap yang ada kolam renang. Pertama adalah ketika awal perjalanan di Siem Reap (lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan), kedua di Battambang iaitu sebelum masuk ke Thailand (lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Battambang-Poipet-Bangkok-Ayutthaya dengan pelbagai jenis pengangkutan). Kami cari hotel yang cukup murah tetapi ada kemudahan tersebut untuk menggembirakan anak-anak. Kiranya hadiah sebab sanggup bertahan mengembara lasak sambil saya dan isteri sibuk menjejak kesan-kesan sejarah.
Sebagai menutup artikel ini biar ditunjukkan carian jarak dari rumah saya ke Masjid Pakistan tempat saya dan anak-anak bersolat Jumaat dalam lingkungan kota lama Ayutthaya, pusat kerajaan Ayuthia (1350-1767). Ditunjukkan jarak 1,511 km, terus teringat tarikh kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Selain itu didapati bahawa Permaisuri Suriyothai dilahirkan pada tahun 1511. Sila Google dan semak sendiri. Apakah semua ini sekadar kebetulan? :]
Suriyothai ka atau Suryamarin.mmmg x pecaya langsung dgn sejarah puak thai ni.tgok la raja depa boleh pakai bra ��
BalasPadam