Jumaat, Julai 20, 2018

Ringkasan sambutan raya Aidil Fitri/bulan Syawal tahun 2018

Salam Jumaat. Sejak mempersembahkan artikel Iktikaf malam 27 dan 29 Ramadhan - Lalu muncullah bulan raya Syawal Khamis malam Jumaat 14 Jun bersamaan 1 Syawal lalu saya telah membiarkan blogspot ini juga blogspots saya yang lain sepi daripada berita. Hari ini baru tergerak membuat pengemaskinian. Untuk blogspot ini biar diringkaskan apa yang saya dan keluarga buat dalam tempoh sebulan lebih kebelakangan itu.


Adapun ketika artikel Iktikaf malam 27 dan 29 Ramadhan - Lalu muncullah bulan raya Syawal dibuat kami sudah berada di kampung sebelah ibu saya di Muar untuk menyambut hari raya. Siang keesokannya pagi 1 Syawal kami mula menziarahi rumah beberapa orang saudara mara selepas solat sunat raya. Masuk waktu Zohor pergi ke masjid jamek Muar untuk bersolat Jumaat sebelum menyambung ziarah ke rumah kawan-kawan pula.



Hari raya kedua baru rumah ibu bapa saya sendiri menerima kunjungan saudara mara...


Hari raya ketiga kami beraya di kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor pula...





Seperti rata-rata orang Melayu di Malaysia kami mengambil kesempatan pergi beraya di rumah saudara mara dan kenalan setiap kali ada kelapangan sepanjang bulan Syawal itu. Gambar ini adalah daripada majlis perjumpaan keluarga sebelah bapa. Ia melibatkan satu cabang keturunan keluarga besar bangsawan bergelar Laksamana Raja Mahkota Perak.


Pada majlis ini buat pertama kali dalam tempoh setahun lebih gitu saya isteri dan anak-anak mengambil gambar bersama tanpa ada orang lain masuk sama. Majlis ini berlangsung pada hari Ahad 8 Julai lalu.


Ini pula di rumah seorang kawan lama petang Sabtu lepas 14 Julai. Alhamdullillah dapat berjumpa ramai kawan yang sama-sama buat "A Levels" 30 tahun lalu sebelum menyambung pelajaran di UK. Walaupun ketika itu sudah habis bulan Syawal kerana sudah masuk 1 Zulkaedah ramai mengambil peluang untuk mengadakan majlis rumah terbuka..


Esoknya Ahad 15 Julai pun ada majlis, kali ini bersama kawan-kawan aktivis dalam dunia busana dan persilatan. Lihat artikel Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Warisan Melayu di Kampung Nakhoda di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Malam itu sambutan raya dipanjangkan di rumah saya apabila sejumlah hadirin daripada majlis siang tadi dapat meluangkan masa untuk bertandang.


Walaupun tahun ini kami suami isteri tidak mengadakan majlis rumah terbuka seperti pada tahun-tahun sebelumnya rumah kami sentiasa siap untuk menerima tetamu.


Dalam tempoh sebulan kebelakangan ini adalah juga 4-5 kali orang datang beraya secara berkumpulan sehingga melebihi 20 orang sekali bertandang.


Seperti biasa saya suka mengajak mereka menikmati suasana rumah daripada beberapa sudut. Dan selalunya apabila sampai ke tingkat paling atas loteng yang merupakan tempat khas bersuluk akan ada perbincangan mendalam melibatkan agama, bangsa dan negara.