Jumaat, Mac 02, 2018

Meninjau kedai buku Khazanah Fathaniyah di Setiawangsa

Satu lagi artikel berkenaan buku...


Salam semua. Siang Jumaat tadi saya ke Kuala Lumpur untuk beberapa urusan. Tengah harinya saya ke Setiawangsa untuk meninjau kedai buku Khazanah Fathaniyah.


Sudah lebih 10 tahun saya selalu berurusan dengan institusi ini melalui seorang penerajunya, Ustaz Halim. Untuk pengetahuan Khazanah Fataniyah agak terkenal dalam kalangan mereka yang mengaji agama sebagai penerbit semula kitab-kitab lama juga penulisan tentang ulama silam oleh pengasas institusi, almarhum Ustaz Mohd Wan Saghir Abdullah.


Namun ini adalah kali pertama saya singgah di kedai mereka di Setiawangsa. Selalunya saya jumpa Ustaz Halim mempamer dan menjual buku-buku terbitan Khazanah Fathaniyah di majlis-majlis ilmu.


Saya pertama kali mengenali institusi ini secara tidak sengaja sekitar tahun 2003 akibat gerak hati untuk berjalan kaki ke arah tertentu demi mencari wasilah kerohanian sampai ke Aceh. Lihat cerita berkenaan dalam artikel lama Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku ....


Tahun 2007 pula saya mengadakan majlis pelancaran siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (buku pertama hingga ketiga saya), ketika kedai mereka berada di Chow Kit. Namun tak sampai setahun kalau tak salah mereka terpaksa menutup kedai kerana jualan yang diperolehi tidak setimpal dengan harga sewa yang tinggi. Selepas itu mereka sekadar beroperasi daripada pusat institusi di Gombak yang sebenarnya adalah sebuah rumah. Lihat artikel-artikel lama berikut :-


Kenangan pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Khazanah Fathaniyah 2 bulan lalu...




Sekitar tahun 2013 atau 2014 baru mereka kembali membuka kedai iaitu di tempat yang kelihatan ini. Saya ingat sekitar waktu itu Ustaz Halim ada menelefon menawarkan kedai baru itu sebagai tempat untuk saya melancarkan buku lagi. Tetapi ketika itu saya tidak ada buku baru. Buku terakhir saya diterbitkan dalam tempoh waktu berdekatan adalah buku ke-7 saya, Jejak Keluarga Yakin : Satu Sketsa Sejarah. Ia terbit Oktober 2011, mana logik lancar tahun 2013 atau 2014 (saya lupa waktu tepat Ustaz Halim membuat tawaran).


Kini saya dah ada buku baru merangkap buku ke-11 dan ke-12 saya, buku-buku berkembar "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dengan "Benua Tua Melayu : Sumber Peradaban Dunia". Walaupun ia keluar dari kilang awal bulan Februari lalu mula dimiliki pembaca tidak lama kemudian tarikh rasmi ia terbit seperti terpampang dalam buku adalah bulan Mac 2018. Walaupun sudah diadakan satu majlis pelancaran buku di rumah saya hujung minggu lalu (rujuk artikel Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan) itu baru soft launch. Biar majlis pelancaran rasmi diadakan di kedai buku Khazanah Fathaniyah dan ini saya cadang mahu adakan antara pertengahan ke penghujung bulan April insyaallah.


Secara rata saya dapati kedudukan kedai juga keadaan bangunannya sendiri cukup sesuai untuk melancarkan majlis. Untuk menyemak kedudukan boleh cari dalam Google Map perkataan "Khazanah Fathaniyah" atau klik sini.



Maklumat lanjut tentang institusi, kedai dan buku-buku penerbitan mereka boleh diperolehi melalui Facebook (klik sini) juga website mereka (klik sini dan sini)). Sukacita dimaklumkan buku berkembar "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dengan "Benua Tua Melayu : Sumber Peradaban Dunia" boleh didapati di kedai mereka.



Rabu, Februari 28, 2018

Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation




Salam semua. Dikumpulkan di sini semua artikel yang telah dibuat untuk menceritakan perjalanan ke Thailand 12-23 Disember 2017. Perjalanan menggunakan kereta sendiri berusia 16 tahun ini asalnya dibuat untuk memenuhi hajat isteri agar membawa beliau dan anak-anak berjalan hujung tahun ke Patani. Tapi bila dah naik kereta sendiri eloklah dipanjangkan sampai ke Songkhla naik ke Nakhon Si Thammarat naik ke Surat Thani. Alang-alang dah nak berjalan jauh biar sampai ke kawasan bersejarah Segenting Kra, wilayah paling sempat daripada segi kelebaran tanah di Semenanjung Tanah Melayu.

Perjalanan dibuat sambil menjejak kesan-kesan sejarah dan peninggalan lama orang Melayu. Bila dah boleh sampai ke kawasan Segenting Kra rasa elok dipanjangkan lebih jauh ke utara sampai ke Bangkok malah naik lagi sampai ke kota lama Ayutthaya, pusat kerajaan Siam lama Ayuthia. Dijejak juga kesan-kesan dan ''rasa' kerajaan lama Langkasuka juga Srivijaya. Akhirnya ia meliputi jarak 4,167 km dari rumah naik ke pantai timur selatan Thailand sampai ke utara Bangkok menuju ke Ayutthaya sebelum kembali ke selatan lalu menyusur pantai barat selatan Thailand. 

Banyak masjid dijejaki menunjukkan penempatan orang Melayu sana sambil kuil-kuil lama disinggahi juga untuk memahami citarasa negara yang mengangkat ajaran Buddha sebagai agama rasminya. Banyak tempat yang memberikan pemandangan menarik juga dirakamkan lalu dibuat cerita .Sedar tak sedar 134 buah artikel telah dinukilkan untuk berkongsikan pengalaman perjalanan ini sebaik  mungkin...



1. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017

2. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Bayangan untuk cerita akan datang

3. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Mukadimah Hulu Perak dan kerajaan Melayu Reman

4. Masjid (Mosque of) Kampung Ayer Panas, Pengkalan Hulu

5. Quick look at the town of Betong, Thailand 

6. Masjid jamek (Main mosque of) Al-Khoyree, Jarakpatai, Betong

7.The road to Yala

8. The lake at Ban Lang national park

9. Hilltop stop besides Yala-Narathiwat road

10. Masjid (Mosque of) Wadi Hussein. Telok Manok

11.Rushing to Tanjung Budi 

12. Sunset over the bay of Patani

13. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Panggilan tersirat kerajaan Reman-Patani

14. A look at the town of Chenak 












































































































Dunia Melayu Dalam Peradaban Islam : Keperluan Untuk Kebudayaan Tinggi

OK. Ini ada satu cerita daripada 2 hari lalu.

Pagi Isnin 26 Februari 2016. Saya dan isteri berkejar ke satu tempat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.


Kami mahu menghadiri satu syarahan umum bertajuk "The Malay World Within Islamic Civilisation : The Need For High Culture". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Dunia Melayu Dalam Peradaban Islam : Keperluan Untuk Kebudayaan Tinggi".


Lokasinya di bangunan institusi bernama ISTAC. Asalnya singkatan untuk Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut untuk Pemikiran dan Peradaban Islam). Tetapi kini sudah menjadi International Institute of Islamic Civilisation and Malay World (Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu). Ia merupakan satu institusi pasca-siswazah (post-graduate) di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Kali pertama saya sampai ke tempat ini adalah untuk membuat penggambaran satu siri dokumentari . Ketika itu saya adalah hos dokumentari dan salah seorang penyelidik. 


Tempat ini memang cantik.


Seni bina berunsur Alhambra daripada zaman kegemilangan Islam Andalusia di Semenanjung Iberia, Eropah memberikan rasa seperti berada dalam suasana intelektual dan pemikiran tinggi.


Kami sampai sedikit lewat.


Alhamdulillah, majlis baru sahaja hendak bermula ketika itu.


Ia menonjolkan Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai pemberi syarahan. Tokoh yang pernah memegang beberapa portfolio menteri kerajaan Malaysia ini sebenarnya tidak asing lagi dalam arena politik juga pemikiran tanah air malah ke peringkat antarabangsa. Pengenalan yang dibuat oleh Shaikh al-Kuliyyah, Profesor DrAbdelaziz Berghout lebih merupakan formaliti majlis.


Masuk jam 10,25 Rais yang kini memegang jawatan presiden UIA, penaung ISTAC dan penasihat sosio-budaya kepada kerajaan Malaysia pun naik ke pentas untuk memulakan syarahan. Ia dibuat rata-rata dalam bahasa Inggeris kerana memang itu bahasa penghantar di UIA atau nama bahasa Inggerisnya IIUM (International Islamic University of Malaysia) disebabkan komposisi pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara dari seluruh pelusuk dunia. Namun sesekali diselitkan kata-kata dalam bahasa Inggeris, bahasa Arab malah bahasa Cina pun ada.


Menarik apabila melihat beliau membuka dengan memberikan penghargaaan tinggi terhadap intelektual besar Melayu berketurunan Arab bertaraf antarabangsa iaitu Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai orang yang mengasaskan ISTAC lalu meletakkan landasan pemikiran dan wawasan besar institusi. Hal ini mengingatkan semasa sesi perbincangan ilmu bersama beberapa orang rakan sealiran di rumah saya petang Sabtu (lihat Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan), ada kawan yang sedang menyambung PhD di ISTAC mengajak kami menghadiri majlis ini. Namun ada kawan lain menyatakan tidak senang hati kerana ia melibatkan Rais Yatim. Kata beliau ada seorang anak murid Syed Naquib yang kini sudah menjadi seorang profesor yang agak ternama dalam dunia pemikiran Islam sekurang-kurangnya dalam kalangan tertentu mengatakan Rais adalah musuh Syed Naquib. Ini merujuk kepada bagaimana ISTAC yang diasaskan oleh Syed Naquib telah diambil-alih sepenuhnya oleh UIA di bawah Rais.

Kata kawan yang mengajak hal ini tidak semudah itu. Sebetulnya apa yang berlaku adalah pertembungan para intelektual yang menyokong pemikiran Naquib dengan para intelektual yang menyokong seorang lagi pemikir besar, kalau tak salah ingatan namanya al-Faruqi. Apapun, menurut kawan tersebut Rais telah berusaha agar penerokaan dunia pemikiran dan peradaban Melayu dijadikan satu agenda penting UIA sekurang-kurangnya oleh ISTAC. Atas sebab itu kami yang semuanya mahu berusaha untuk mengangkat kembali kegemilangan sebenar dan kedaulatan Melayu harus menyokong usaha Rais tidak kiralah apakah hakikat sebenar permainan politik yang menyebabkan Naquib disisih daripada pengendalian satu institusi besar yang diasaskannya sendiri.



Rais pun membuka beberapa hal yang menunjukkan dunia Melayu sudah memiliki ketamadunan tinggi sejak zaman berzaman. Antaranya adalah penemuan piramid Gunung Padang di Jawa Barat yang beliau sebut berusia 20,000 tahun. Hal ini ada saya sebut dalam buku kerkembar saya yang baru 3 minggu keluar dari kilang. Dalam buku "Benua Tua Melayu : Sumber Peradaban Dunia" ia diletakkan dalam "Bab 9 : Mengesan 'Orang Melayu Pertama' 60,000 Tahun Lalu Dan Seterusnya Dalam Salasilah Para Nabi Dan Sejarah Peradaban Manusia". Sub-topiknya "Situs Gunung Padang - Tinggalan Piramid Alam Melayu Lampau?" bermula pada muka surat 284 buku.



Disebut pula tentang Gua Lidah Ayie di alam Minangkabau, Sumatera Barat sebagai satu lagi bukti ketamaduan lama Alam Melayu (Rais lebih banyak menggunakan perkataan Nusantara). Yang ini saya baru tahu.


Disentuh agak panjang lebar kajian Profesor Dr Stephen Oppenheimer dari Universiti of  Oxford di United Kingdom. Beliau yang terkenal dengan buku "Eden in the East" dengan jelas menyebut Alam Melayu adalah punca peradaban dunia lalu Rais memanjangkan ini. Hal tersebut terutama berkenaan teori Sundaland yang menyatakan Alam Melayu pernah menjadi sebuah benua besar bersaiz 2 kali benua Hindi telah saya panjangkan dalam buku Benua Tua Melayu, juga 'abang kembarnya', buku "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu'. Saya pernah berpeluang berdialog dengan Oppenheimer dalam satu majlis di Pulau Pinang. Ini ada diceritakan dalam buku.


Rais turut mengaitkan dunia Melayu dengan watak raja penakluk terkenal Iskandar Zulkarnain.


Kedudukan Semenanjung Tanah Melayu yang pernah dikenali sebagai bumi emas oleh tokoh purba dunia Barat seperti Ptolemy abad ke-2 Masihi turut diberikan penekanan.


Menariknya hal melibatkan Iskandar Zulkarnain dan peta Ptolemy ada dipanjangkan dalam buku berkembar saya. Tetapi saya tidak menyentuh Batu Bersurat Terengganu seperti disebut Rais dalam syarahan kerana menghadkan huraian cerita dalam buku sampai ke zaman awal kemunculan Nabi Muhammad SAW 1,400 tahun lalu.


Secara rata Rais cuba menekankan kepentingan dunia Melayu dalam dunia peradaban Islam sejagat. Disebutlah bagaimana populasi atau penduduk Islam dunia itu berjumlah 27% daripada penduduk keseluruhan bumi. Dan sebahagian besar dari itu berada di dunia Melayu.


Disingkap sejarah kegemilangan Islam dahulukala yang penuh dengan pelbagai penemuan sains dan dunia pemikiran tinggi yang memimpin seluruh dunia ke arah pencerahan dan peradaban gemilang...





Tetapi mana pergi semua itu kini? Bilakah kali terakhir kita mendengar nama seorang Islam disebut-sebut sebagai pencipta satu barangan yang memberikan faedah kepada dunia? Pada masa yang sama orang bukan Islam pula dilihat lebih berjaya dan berdisiplin.


Sampai pada masalah kebersihan tandas pun orang Islam rata-rata sudah ketinggalan berbanding sesetengah bangsa bukan Islam.


Disebut hal seperti orang Islam bertambah di beberapa negara Eropah. Tetapi mereka dilihat tidak dapat bersatu akibat semangat asobiyah yang dibawa daripada kelompok atau negara asal.


Maka dicadangkan diambil iktibar dan pengajaran, diusahakan pelbagai kerjasama untuk mengkaji kegemilangan lama Islam juga dunia Islam masa lalu.


Untuk itu harus dikaji juga penemuan zaman pra-sejarah seperti tinggalan Gobekli Tepi di Turki yang diperkirakan berusia 14,500 tahun lalu. Kata Rais harus ada perkaitan dengan dunia Melayu merujuk pada zaman Sundaland.


Disebut tentang negeri-negeri Melayu yang kini berada di bawah pemerintahan negara Thailand yang beragama Buddha. Sukacita saya melihat peta ini kerana sudah meliputi semua kawasan yang disebut dalam pengembaraan saya dan keluarga ke Thailand dengan menaiki kereta sendiri 12-23 Disember tahun lalu. Dapat juga menghidu dan mencari jejak-jejak Melayu secara fizikal di tempat-tempat tersebut. Rujuk artikel-artikel berikut :-


1. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Panggilan tersirat kerajaan Reman-Patani



6. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menelusuri penempatan Melayu dan laluan lama di Ranong, Takuapa dan Phuket

7. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Merenung hal Melayu lagi sambil pusing pulau Phuket sebelum berkejar ke Krabi

8. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai



Sebetulnya Rais menyentuh negeri-negeri selatan Thailand dalam konteks bagaimana keMelayuan dan keIslaman sering menghadapi ancaman zaman sekarang. Lalu diberi contoh pula bangunan tinggi dengan jam besar di Mekah yang kini telah menjadi lambang masuk semakin banyak unsur keBaratan ke kawasan ibadah paling mulia dalam dunia Islam.


Ini memberi ruang untuk kedai-kedai jenama terkenal Barat masuk mengubah landskap iman.


Maka itu harus difikirkan. Apakah yang sedang berlaku sekarang ini? Dunia Barat yang mementingkan keseronokan tanpa batasan semakin mendapat tempat dalam dunia Islam sedangkan negara-negara Islam itu sendiri semakin teruk bercakaran dan berperang.


Diingatkan tentang Deklarasi Balfour,  bagaimana kuasa Yahudi Zionis dapat membentuk dunia yang kita lihat hari ini sedangkan umat Islam semakin ketinggalan dan tertindas? Bagaimana kita hendak mencapai kebudayaan tinggi sedangkan hal kesatuan ummah pun kita masih tak dapat betulkan lagi Saya rasa cukuplah syarahan beliau disimpulkan begini :-


1) Dunia Islam perlu bangkit mendapatkan kegemilangan yang ia pernah kecapi suatu masa dahulu. Kita perlu ada para peneraju dunia pemikiran, kita perlu mencipta barangan yang berguna kepada dunia, bukan setakat menjadi pengguna biasa. 

2) Untuk itu kita perlu bersatu hati terlebih dahulu. Lupakan hal perbezaan mazhab terutama antara Sunni dan Syiah. Asalkan mengaku Islam dan mengucap dua kalimah syahadah biarlah kita sentiasa bersangka baik antara satu sama lain dan sedia berkerjasama saling membantu untuk mencapai kegemilangan.

3) Betulkan hal-hal 'kecil' seharian seperti disiplin diri dan hal kesucian dan kebersihan termasuk kebersihan tandas. Baru boleh beralih kepada kebudayaa tinggi yang harus berakar umbi pada pemikiran

4) Galilah kelebihan yang ada dalam peradaban lama Melayu termasuk pada zaman Sundaland yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai lokasi sebenar kerajaan purba bertamadun tinggi Atlantis itu. Ini dapat membantu mengangkat peradaban Islam sedunia apatah lagi kawasan Alam Melayu/Nusantara/Asia Tenggara ini memiliki 300 juta orang Islam,  lebih ramai daripada umat Islam di Timur Tengah (Semenanjung Arab, Iraq,Iran dan sekelilingnya) yang disebut berjumlah 218 jura.


Untuk makluman syarahan ini turut diadakan bersama satu pameran berkenaan. Lihat artikel An exhibition on high Malay culture at ISTAC di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

.

Selasa, Februari 27, 2018

Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Apabila kuil lama zaman Srivijaya di Chaiya didapati menghadap kiblat

Merujuk kepada artikel Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan yang dibuat 2 hari lalu. Lewat hari Sabtu malam Ahad 24 Februari iaitu selepas tetamu terakhir meninggalkan rumah baru saya betul-betul berpeluang untuk meneliti perkembangan di Internet. Merujuk pula kepada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menutup cerita di Gunung Jerai dan Kuala Kangsar yang ditulis sehari sebelum majlis. Ada disebut bahawa ia adalah penutup kepada siri cerita yang dibuat berdasarkan perjalanan saya dan keluarga ke Thailand 12-23 Disember. Tetapi nampaknya harus ditambah lagi satu artikel sebelum siri betul-betul dapat ditutup. Ini ceritanya...


Antara perkembangan terkini dilihat di Internet iaitu melalui Facebook adalah satu status update milik seorang kenalan dengan gambar di atas. Teksnya ringkas dan mudah. Bunyinya : "Binaan di Wat Long Chaiya ngadap Kiblat." Nampaknya beliau baru sampai ke tempat berkenaan lalu membuat semakan kedudukan bangunan menggunakan software penunjuk arah kiblat.


Wat atau kuil lama yang dimaksudkan telah saya singgah bersama keluarga juga 2 orang kawan yang ikut bersama ke Thailand, pada hari ke-5 perjalanan. Berdasarkan ingatan terhadap kedudukan kuil tersebut di Chaiya saya pun membuat satu garisan menyambungkan ia dengan Kaabah di Mekah menggunakan program Google Earth...











Zoom-in balik pada kedudukan kuil.


Rupa bentuk kuil malah dapat dilihat dengan jelas melalui Google Earth. Terpampang jelas juga tempat masuk ke timur sedikit. Ternyata ia memang menghadap Ka'abah. Saya pun membuat komen maklum balas berikut di FB kenalan :-


Masyaallah. Sungguh benar saudara. Saya tak tergerak nak check masa berada di sana bulan Disember. Tadi saya semak menggunakan Google Earth. Memang benar menghadap ke Ka'abah. Izinkan saya gunakan gambar yang saudara ambil itu untuk satu artikel saya akan datang ya...



Ini salah satu gambar yang diambil ketika berada di sana. Tak sangka ia menghadap kiblat. Lihat artikel Wat Lhong, Chaiya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Hal ini membuat saya tergerak untuk menyemak kedudukan satu lagi kuil lama di Chaiya. Letaknya ke selatan sedikit tidak berapa jauh dari Wat Lhong  itu.


Namanya adalah Wat Kaew. Nampaknya kedudukannya hampir menghadap kiblat. Lihat Wat Kaew, Chaiya.


Adapun semasa di Chaiya kami ada melawat dua lagi buah kuil lama. Malah kami ke dua kuil ini dahulu sebelum ke Wat Lhong kemudian Wat Kaew. Kuil pertama dilawati adalah Wat Hiang, tempat artifak lama yang dikenali sebagai Prasasti Grahi ditemui. Prasasti pada satu patung Buddha ini menjadi bukti bahawa wilayah Grahi berada di dalam pemerintahan dinasti terakhir Srivijaya abad ke-12 Masihi. Tetapi semakan kedudukan melalui Google Earth menunjukkan ia langsung tidak menghadap kiblat. Lihat artikel-artikel berikut :-









Semak pula kedudukan kuil kedua diziarahi di Chaiya. Kedudukannya bersebelahan sahaja dengan muzium utama sana. Ternyata ia juga tidak menghadap kiblat. Lihat artikel-artikel berikut :-






Hal ini mengingatkan bagaimana pada awal bulan Februari ini saya ada tergerak untuk membuat semakan kedudukan kuil-kuil lama di kota Ayutthaya di utara Bangkok, apakah ia menghadap kiblat.


Ini didorong oleh fakta bahawa pada zaman kini pun terdapat sekitar 20 buah masjid di kota lama yang pernah menjadi pusat kerajaan Ayuthia (1350-1767 Masihi) itu. Menurut cerita sesetengah pihak Ayuthia memang sebuah kerajaan Islam, bukan kerajaan Buddha lalu terdapat banyak masjid lama. Tetapi keIslamannya sengaja ditutup oleh pihak berkepentingan yang mahu mengangkat sejarah pro-Buddha.



Saya mulakan semakan dengan kuil lama yang pada saya paling menyerlah di Ayutthaya . Kelihatan pada mata ia boleh menandingi Angkot Wat di Kemboja yang jauh lebih terkenal di mata dunia. Yang pasti seni bina dan reka bentuknya terasa begitu agung dan hebat. Lihat Wat Chaiwatthanaram.


Sayangnya ia tidak menghadap kiblat. Maka susah untuk mengatakan ia sebagai satu peninggalan lama Islam.



Begitu juga halnya pada satu kuil lama lain yang amat terserlah di Ayutthaya. Lihat Wat Maha That, Ayutthaya.



Malah saya menghadapai masalah untuk mencari apa-apa bangunan yang jelas menghadap kiblat...






Nasib baik ternampak satu kawasan yang hampir semua bangunannya seperti menghadap kiblat.


Saya pun mencari apakah yang istimewa tentang kawasan tersebut. Ternampaklah  nama Chedi Sri Suriyothai. Ini merujuk kepada seorang permaisuri raja Siam Ayuthia abad ke-16.  Beliau terkenal malah ceritanya menjadi legenda kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan suaminya Raja Maha Chakkraphat dalam satu peperangan antara Burma dan Siam.


Inilah bangunan yang dipanggil sebagai Chedi Sri Suriyothai itu. Gambar diambil daripada Google kerana saya tak singgah, tak fikir pun nak singgah. Tapi kami memang ada lalu di kawasan ini dalam perjalanan ke beberapa Wat atau kuil lama dengan menaiki kenderaan Tuk Tuk. Patutlah hati macam terpanggil asyik hendak memandang ke situ. Rujuk artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menelusuri keagungan Ayutthaya, pusat kerajaan Siam lama.

Tetapi adakah ini bermakna Ayuthia adalah sebuah kerajaan Islam? Apakah ia dapat menunjukkan Ayutthaya sebagai sebuah kota Islam? Pada saya tidak. Belum ada cukup bukti dapat ditelusuri daripada apa-apa peninggalan yang masih wujud sekarang. Sebetulnya hal 'semakan keIslaman' Ayutthaya ini pernah terfikir mahu dijadikan satu artikel dalam siri "Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya" ini sebaik sahaja selesai penceritaan perjalanan. Tetapi selepas menyajikan artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menutup cerita di Gunung Jerai dan Kuala Kangsar saya jadi malas hendak menyambung lalu mengisytiharkan cerita telah ditutup. Tak sangka terasa wajib untuk menyambung kembali selepas ada kenalan mendapati Wat Lhong di Chaiya itu jelas menghadap kiblat dan ini dibenarkan oleh semakan saya sendiri.


Tentang lawatan ke Chaiya itu telah diceritakan panjang lebar dalam artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Chaiya/Cahaya/Jaya/Grahi : Tempat permulaan Empayar Srivijaya 1,400 tahun lalu?. Bila sudah didapati satu kuil lama jelas menghadap kiblat, satu lagi pula hampir menghadap kiblat maka sudah ada ruang untuk mengaitkan ia dan kawasan sekelilingnya dengan Islam. Kuil yang jelas menghadap kiblat itu iaitu Wat Lhong memang tidak memiliki apa-apa berhala di dalamnya. Kuil yang hampir menghadap kiblat itu iaitu Wat Kaew ada berhala tetapi saya rasa tidak salah untuk mengatakan begini :-


1. Ia sebenarnya dibuat untuk menghadap kiblat iaitu Ka'abah di Mekah tetapi lari sedikit kedudukan. Apa hendak dihairankan sedangkan banyak masjid dan surau di Malaysia yang dibina beberapa dekad lalu pun tenyata ada yang lari kedudukan sampai lebih 10 darjah setelah dibuat semakan  menggunakan teknologi moden?

2. Patung-patung berhala adalah penambahan kemudian terhadap bangunan yang asalnya sebuah masjid.



Menarik untuk difikirkan bahawa kedua-dua kuil tersebut dikatakan binaan kerajaan Srivijaya pada abad ke-9 hingga ke-10 Masihi. Pada zaman itu sudah wujud Kesultanan Perlak di utara Pulau Sumatera yang secara rasminya berdiri sebagai kerajaan Islam bermula tahun 840 Masihi. Malah Srivijaya sendiri dikatakan pernah menjadi kerajaan Islam sekurang-kurangnya pada zaman pemerintahan Raja Srindra Warman yang berpusat di Jambi. Baginda dikatakan memeluk Islam pada tahun 718 Masihi, setelah berutusan surat dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang berpusat di Damsyik (717 - 720). 

Saya telah menentang demam-demam dan sakit-sakit bisa lemah badan yang teruk melanda sehari dua kebelakangan demi berkongsikan hal ini. Mungkin demam dan sakit ini berlaku kerana pelbagai urusan melibatkan buku sejak 2-3 minggu lalu. Dalam kesibukan itu saya dan isteri (ya, beliau juga kena) tidak menyedari sampailah selesai majlis soft launch buku Sabtu malam Ahad lalu yang menjadi semacam finale kepada urusan berkaitan buku dalam tempoh waktu ini. Kalau tidak kerana itu harus artikel ini dapat dipersembahkan malam itu juga...

Kewujudan kuil-kuil lama di Chaiya yang menghadap kiblat harus dapat menyatakan sesuatu. Diletakkan dalam konteks bahawa ada yang percaya Chaiya pernah menjadi tempat empayar Srivijaya itu sendiri bermula ada satu rahsia besar seperti menunggu masa sahaja untuk diketahui. Fakta bahawa nama Chaiya itu berasal daripada perkataan Jaya, ada kata Cahaya seperti membenarkannya. Rasaya cukuplah perkongsian saya tentang hal ini.