Kalau ikutkan bebanan rasa di dada ingin saya mula berkongsi cerita hari kedua perjalanan di Cambodia dan Thailand sejak awal semalam lalu masuklah bab Angkor Wat dan kuil-kuil lama yang terdapat di sekitar kota Siem Reap. Mahu diulas bagaimana seni ukiran batu yang dilihat pada kuil-kuil tersebut kelihatan ada persamaan teknik dengan seni pembuatan batu nesan Aceh. Tetapi saya tak dapat kerana banyaknya kerja perlu diselesaikan dalam masa terdekat ini. Besar kemungkinan selepas hari Jumaat baru boleh bercerita tentang Angkor Wat.
Sebagai ganti untuk gerak yang belum dapat dilaksanakan itu biar dikongsi apa yang baru diletakkan di Facebook kurang setengah jam tadi. Ia adalah pernyataan rasa lega terhadap keadaan yang sedang melanda diri buat masa ini. Biar diletakkan gambar-gambar berkenaan diikuti posting dari FB...
PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN WALAU KURANG MENONJOLKAN DIRI
Salam semua. Baru beberapa minit ini saya merasa cukup lega kerana satu tugasan penting yang harus disiapkan untuk dipersembahkan dalam kelas di ISTAC petang ini dapat disiapkan setelah bersengkang mata sejak jam 5.30 pagi tadi. Adapun sekembalinya daripada perjalanan pusing Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu saya berada dalam keadaan bingung. Saya bingung dengan perkembangan politik negara yang asyik tak habis-habis menyalahkan satu sama lain. Saya sedih dengan keadaan begitu partisan - kalau sokong satu pihak itu pihak itu sahaja yang betul, lawannya mesti salah kesemuanya dan begitulah sebaliknya. Jarang ada jalan tengah yang dapat melihat pihak yang disokong ada kesilapannya, pihak yang dilawan juga ada betulnya.
Disebabkan itu saya mendiamkan diri daripada menyatakan pendirian dalam banyak hal sejak hampir setahun ini. Sambil itu saya bingung apabila mendapati, jumpa sahaja rakan sekelas Rabu lepas banyak kerja penting harus disiapkan sebelum hujung minggu ini kerana inilah minggu terakhir kelas. Selain tugasan-tugasan bagi setiap 3 kelas, ada Qoloquium untuk mempersembahkan research proposal. Asalnya ia dijadualkan pagi esok tetapi ditunda ke pagi Jumaat disebabkan selepas kelas petang ini ada pula majlis syarahan perdana yang perlu dihadiri di ISTAC sehingga lewat malam.
Nah. Kepenatan daripada pengembaraan di Cambodia dan Thailand belum lagi kebah. Kepala pula kebingungan dengan perkembangan zaman di samping tuntutan kelas. Namun tidak pernah saya meninggalkan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Sebagai penutup kepada luahan yang terbit akibat rasa lega satu tugasan penting baru dapat diselesaikan biar dikongsikan sedikit gambar yang diambil sendiri pada penghujung perhimpunan anti-ratifikasi ICERD di Kuala Lumpur pada hari Sabtu 8 Disember baru ini. Sempatlah menjengok sebentar walau dah tinggal 'ekor' selepas menghadiri satu majlis keluarga di lokasi lain ibu kota. Dikongsikan sekali dua perenggan terakhir daripada tugasan kelas yang baru siap tadi...
"Untuk makluman antara kami terdapat sejumlah pejuang ekonomi Islam yang berpendidikan tinggi, pernah memiliki kedudukan dalam sistem kewangan, perbankan juga perundangan Tetapi mereka keluar setelah mendapati bagaimana sistem kewangan sedia ada dengan duit kertasnya melanggar prinsip syumul Islam. Sistem yang terpakai di merata dunia kini sebenarnya berlandaskan apa yang dipanggil sebagai fractional reserve banking (Kameel, 2009). Ia adalah sistem riba’ berganda yang turut terpakai pada setiap bank negara di bawah tatacara kewangan moden. Oleh itu ia juga mempengaruhi aliran kewangan bank yang mengaku Islam.
Walaupun HIKMAH tidak lagi mengadakan acara ilmu selepas tamat acara ke-20 di Aceh 19 Mac 2017 legasi-legasi yang kami tinggalkan tetap bergerak untuk memperjuangkan Melayu dan Islam. HIKMAH mungkin tidak terlibat secara langsung dalam perjuangan menentang ratifikasi ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) yang menarik jutaan ummah untuk berkumpul di Kuala Lumpur menzahirkan penentangan pada 8 Disember 2018. Tetapi rakan-rakan dan ramai yang menerima faedah daripada acara-acara kami tetap terus berjuang dalam pelbagai medan demi kemaslahatan ummah."
Nota tambahan : Sebagai lanjutan daripada posting FB ingin saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur perhimpunan anti-ICERD di Dataran Merdeka. Dalam hal ini saya melihat PAS begitu cekap dan lancar dalam mengendalikan penyertaan. Perhimpunan bukan sahaja aman malah jalan-jalan kelihatan begitu bersih, lebih bersih daripada hari-hari biasa..
Saya juga ingin menyatakan sedikit kekesalan dan rasa terkilan akibat tidak dapat menyertai satu perhimpunan lebih awal belah pagi yang dihadiri oleh ramai rakan-rakan aktivis persilatan untuk menyerahkan memorandum anti-ICERD kepada Istana Negara. Hati saya berbelah bagi antara hendak bergerak awal ke sana dengan meluangkan masa bersama keluarga juga antara penat yang belum kebah setelah kembali daripada perantauan kemudian harus menghadiri satu majlis keluarga di bahagian lain ibu kota dalam tempoh masa sama. Semoga kawan-kawan faham saya tidak pernah membelakangkan perjuangan. Cuma cara menzahirkan itu kadangkala saya berbelah bagi antara menunjukkan diri dengan kelihatan seperti tidak mengambil peduli. Ini kerana sambil mereka yang jujur bergerak untuk memartabatkan Melayu dan Islam masih ramai yang munafik melaungkan slogan serupa tetapi sebenarnya hanya bergerak demi keselesaan dan kesenangan peribadi semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan