Selasa, Disember 04, 2018

Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan

Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya, isteri dan anak-anak baru kurang 24 jam selamat kembali daripada pengembaraan terbaru kami di luar negara. Pengembaraan secara rata dibuat untuk menjejak kesan kerajaan lama Funan dan kerajaan-kerajaan kemudian yang terkait dengannya. Berikut adalah lakaran ringkas laluan perjalanan yang dikongsikan di Facebook tidak lama selepas sampai ke rumah...




Lakaran ringkas menggunakan Google Map ini menunjukkan kami empat beranak telah meredah laluan darat sejauh 2,877 km.  Kalau dicampur sekali jarak perjalanan dalam bandar dan tempat-tempat yang tidak dimasukkan ke dalam lakaran harus 3,000 km atau lebih telah dilalui. Perjalanan dilakukan dengan menaiki pelbagai jenis pengangkutan awam. Ini tidak dicampur jarak penerbangan dari KLIA ke lapangan terbang Siem Reap di Cambodia pada 22 November lalu. Kalau dicampur itu harus lebih 4,200 km jarak keseluruhan diliputi. 

Ini adalah lebih sedikit daripada dengan jarak keseluruhan kami anak beranak berjalan dengan menaiki kereta sendiri hingga ke Ayuthayya setahun lalu. Rujuk artikel lama Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation. Dan ia sebenarnya lebih mencabar kerana dilakukan dengan pengangkutan awam sedangkan ada tempat-tempat yang ingin dicapai cuma biasa dilalui oleh pengembara jalanan tegar. Apapun biar diberitahu perjalanan baru ini sangat terkait dengan perjalanan lama yang disebut tadi. Ini kerana perjalanan baru terjadi atas asbab mahu melawat kuil purba terkenal Angkor Wat di Siem Reap, Cambodia. 

Lawatan ini pernah dirancang mahu dibuat dalam perjalanan lama setahun lalu. Tetapi ia terpaksa dibatalkan disebabkan 3 perkara berikut :-

1) Kami kesuntukan masa - Timing perjalanan asyik lari disebabkan jarak dan banyak tempat disinggahi sehingga selalu sampai ke destinasi rehat seterusnya pada lewat malam.

2) Belanjawan juga lari - Nak masuk Angkor Wat kena bayar USD37 bersamaan lebih RM150 bagi setiap orang dewasa sedangkan banyak belanja diperlukan di tempat-tempat selain itu.

3) Susah nak bawa kereta sendiri masuk ke Cambodia - Tidak seperti di Thailand di mana sesiapa pun boleh memandu kenderaan sendiri asalkan ada membawa geran di Cambodia perlu mendapatkan kebenaran kedutaan terlebih dahulu. Proses untuk ini sahaja dijangka memakan masa 3 hari.

Disebabkan itu satu perjalanan untuk ke Angkor Wat telah difikirkan sejak penghujung tahun lalu. Awal tahun ini saya dan isteri pun membeli tiket penerbangan ke Siem Reap untuk melaksanakannya. Alang-alang hendak ke sana kami pun merancang untuk singgah ke beberapa lagi tempat sebelum kembali ke Malaysia melalui jalan darat dengan merentasi negara Thailand. Maka itu dirancang sekali persinggahan ke beberapa tempat di negara tersebut bagi melengkapkan beberapa perkara yang terasa 'tertinggal' daripada perjalanan terdahulu. Antaranya adalah lawatan ke National Museum di Bangkok dan mencari kawasan menghadap kiblat di Ayuthayya. Rujuk artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Apabila kuil lama zaman Srivijaya di Chaiya didapati menghadap kiblat.

Rancangan perjalanan ini ada disebut 2-3 kali di FB. Tetapi seingat saya tidak pernah menyebut apa-apa langsung tentangnya di blogspot. Sekarang ia sudah selamat dilaksanakan. Cuma menunggu masa  sahaja untuk dikongsikan perincian cerita demi cerita.

Biar diberitahu, ketika rancangan dibuat pada awal tahun saya tidak menyangka akan menyambung pengajian menjadi pelajar pasca-siswazah hampir penghujung tahun ini (rujuk artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC). Kami dan isteri ada terfikir mahu menjejak tinggalan-tinggalan kerajaan lama Melayu Champa di Vietnam kemudiam masuk Laos sekali. Untuk itu kami bersedia untuk memperuntukkan tempoh perjalanan sehingga 19 hari.

Disebabkan saya kini telah menjadi pelajar kembali perjalanan ke Vietnam dan Laos terpaksa dilupakan sementara tempoh keseluruhan perjalanan diperuntukkan maksimum 12 hari. Itupun terpaksa ponteng kelas lebih seminggu. Sedangkan pada waktu inilah pengajian semester pertama sedang memasuki waktu paling kritikal di mana assignment atau kerja-kerja kajian dan penulisan penting harus dilakukan untuk penilaian universiti.

Disebabkan perjalanan sudah lama dirancang untuk anak beranak saya harus melaksanakannya lalu terpaksa bertungkus lumus menyiapakan satu dua assignment lebih awal sebelum berlepas ke Siem Reap. Selepas ini saya harus bertungkus lumus untuk memastikan baki kerja-kerja dapat disiapkan dalam tempoh seminggu dua akan datang pula. Di celah-celah itu saya akan cuba untuk berkongsi cerita pengembaran terbaru ini. Harap dapat bersabar ya. 

Semoga para pembaca sekalian dapat menghayati cerita pengembaraan sebenar yang akan disajikan ini. Semoga ia lebih bermakna daripada cerita-cerita yang dibuat berdasarkan saduran daripada kajian-kajian dan pengalaman-pengalaman orang lain tetapi diri sendiri tidak pernah sampai ke tempat-tempat yang dimaksudkan seperti biasa dilakukan oleh mereka yang cukup pandai menipu pembaca awam dengan ayat-ayat marketing demi mencari nama, pengaruh dan publisiti. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan