Semalam, setelah berbuka puasa di Dataran Merdeka bersama keluarga kami singgah di Masjid Jamek Kuala Lumpur untuk menunaikan solat Maghrib. Tiba-tiba seorang hadirin menegur saya : "Merah Silu ke ni?". Saya jawab ya. Beliau pun memberitahu sangat meminati penulisan saya dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU ini dan setia mengikutinya sejak 10 tahun lalu. Beliau paling meminati cerita-cerita pengembaraan yang selalu saya kongsikan selepas selesai membuat suatu perjalanan. Namun beliau mendapati sejak kebelakangan ini saya jarang memaparkan cerita baru.
Beliau malah menyedari kali terakhir saya berkongi cerita adalah apabila memaparkan artikel Separuh akhir Pendekar Muda 2018 pada 21 Mei iaitu 11 hari lalu. Sebelum itu saya cuma ada menulis apabila memaparkan Sesi bertemu penulis dan tandatangan buku bersama Radzi Sapiee di PBAKL2018 2 minggu lebih awal. Saya pun memberitahu tentang sakit demam, bisa badan dan kepenatan melampau yang teruk melanda sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 tamat 6 Mei lalu. Itu dan rasa tiada mood untuk menulis sejak beberapa lama membuat saya jarang mengemaskinikan blogspot.
Apapun saya sebenarnya berusaha untuk mengeluarkan diri daripada keadaan ini. Antara caranya, saya ada berkongsi satu rancangan perjalanan jauh yang mahu dibuat akhir tahun ini ke dalam Facebook pada hari Isnin 28 Mei. Biar dicopypaste update tersebut :-
RANCANGAN PERJALANAN AKHIR TAHUN 2018 - FEASIBLE KE TAK?
Salam semua. Adapun saya masih dilanda kepenatan amat sejak tamat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 hari Ahad 6 Mei iaitu 22 hari lalu. Sampai sejak kebelakangan ini rasa tak yakin mampukah saya membuat satu perjalanan jauh membawa isteri dan anak-anak merentas jalan darat dengan pengangkutan awam dari Siem Reap (Angkor Wat) di Cambodia masuk ke Vietnam kemudian merentas bahagian selatan Laos sebelum masuk ke timur Thailand kemudian keluar balik ke Siem Reap. Perjalanan yang mahu dilakukan akhir tahun ini ditunjukkan dalam peta yang kelihatan menurut arah lawan jam. Ke Siem Reap tu naik kapal terbang, lepas tu semuanya lalu darat dan ini dijangka memakan jarak lebih 2,600 km, naiklah apa yang dapat.
Kalau sempat kami juga merancang mahu menyambung perjalanan dari Siem Reap ke Ayutthaya di Thailand kemudian Bangkok. Lepas tu balik Malaysia naik kereta api ke apa, singgah le mana-mana tempat dalam perjalanan. Ini memakan jarak tambahan lagi 2,000 km atas darat. Masa yang diperuntukkan adalah dalam 16 hari.
Tapi itu kalau terasa cukup kuat dan segar akhir tahun nanti le. Kalau ikut pada keadaan saya sekarang yang entah kenapa terasa penat semacam sejak 3 minggu lalu, mungkin kami setakat naik flight ke Siem Reap, lihat Angkor Wat, lihat Tasik Tonle Sap kemudian ke Ayutthaya sebelum ke Bangkok kemudian kembali ke Malaysia lalu darat. Yang ini kami lebih confident setelah berjaya membuat perjalanan memandu kereta sendiri singgah pelbagai tempat sampai ke Ayutthaya hujung tahun lepas. Ia memakan jarak pemanduan 4,167km.
Kalau ikutkan jarang saya nak share rancangan suatu perjalanan. Biasanya saya cuma akan share cerita selepas ia berjaya dilakukan dengan selamat. Tetapi malam ini, awal pagi Isnin 12 Ramadhan saya terasa harus share kepada umum. Ini kerana saya susah nak tidur lantaran banyak perkara bermain dalam fikiran termasuk rancangan perjalanan tersebut.
Saya berkongsi rancangan ini dengan harapan sesiapa yang pernah membuat perjalanan pada mana-mana bahagian yang kelihatan boleh berkongsi tips perjalanan dan maklumat. Tentunya kami mahu menjimatkan belanja. Maka itu tips/maklumat tentang penginapan, pengangkutan dan makan minum paling ekonomi (dan halal) amatlah membantu. Mereka yang tak pernah sampai tapi mahu membantu memberikan pendapat juga cadangan tempat-tempat yang patut dilawati juga dialu-alukan. Cuma biar disertakan dengan maklumat berkenaan yang boleh memudahkan perjalanan tak kira le copas daripada mana asal boleh pakai. Jangan bagi cadangan lawat tapak sejarah itu ini tapi lokasi pun tak dapat tunjuk kat mana. Silakan tuan-tuan dan puan-puan...
-------------------
Alhamdulillah saya menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada beberapa orang yang pernah membuat perjalanan di Cambodia, Vietnam dan Laos. Hal ini memberikan saya semangat untuk mengkaji lebih mendalam laluan perjalanan dan cara-cara untuk merentasinya dengan pengangkutan awam. Walaupun mendapati ada bahagian-bahagian yang sukar saya mendapat kembali keyakinan untuk melaksanakannya. Hal ini turut memberikan tenaga untuk saya keluar jauh dari rumah hari-hari selepas itu bagi melakukan pelbagai perkara.
Pada hari Khamis 31 Mei saya menghidupkan kembali insurans motosikal besar kesayangan dan cukai jalan setelah membiarkannya hampir setahun mati. Selepas itu saya berjumpa seorang kawan lama di tengah bandar KL yang sudah 20 tahun gitu tidak ditemui. Malamnya saya menghabiskan masa bersama dua orang kawan lama lain. Esoknya Jumaat 1 Jun saya berada di ISTAC (Institut Pemikiran Islam dan Dunia Melayu) di Bukit Tunku pagi hingga malam untuk majlis ilmu.
Sabtu 2 Jun saya menyertai satu bengkel ilmu di Kota Damansara, petang berbuka puasa di Dataran Merdeka. Ketika disapa hamba Allah di Masjid Jamek KL yang meminati penulisan dalam blogspot ini saya sebenarnya sudan merancanh untuk mengemaskinikan blogspot dengan cerita-cerita aktiviti hari Jumaat dan Sabtu. Saya tulis artikel ini untuk memberitahu keadaan saya lebih baik kini, Walaupun masih ada kepenatan perkongsian terbaru akan dibuat tidak lama lagi. Tunggu... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan