Ahad, Mei 06, 2018

Menyingkap sejarah keturunan raja-raja Bugis di Tanah Melayu

Salam semua. Hari ini Ahad 6 Mei adalah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. Ada perkongsian mahu dibuat tentangnya tetapi biar dilepaskan dahulu satu cerita.


Petang Jumaat 4 Mei saya ke Jabatan Sejarah di Universiti Malaya untuk mengikut satu majlis ilmu.


Sebelum itu saya sempat singgah di pejabat utama kumpulan akhbar The New Straits Time Press (NSTP) di Jalan Riong, tidak jauh dari UM untuk menyingkap kenangan lama bekerja sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris tahun 1996-2001. Alhamdulillah kawan-kawan lama yang masih bekerja di sana baik-baik belaka. Seorang yang hampir sama satu batch, baru setahun dua menjadi bos tetinggi dalam akhbar NST pun menyambut baik dalam pejabatnya. Seperti ramai kawan-kawan berumur sekitar penghujung 40an hingga awal 50an yang sudah berkedudukan tinggi di merata organisasi, sudah bergelar Dato' dan sebagainya kami masih berbahasa aku, engkau dan bro sesama sendiri..


Seingat saya sudah setahun dua juga tidak singgah di NST. Acara di UM menjadi asbab saya kena sana setelah lama tidak memikirkannya lantaran sibuk dengan pelbagai perkara.


Acara ini sendiri baru saya tahu hari Khamis sebelumnya. Tajuk pembentangannya "Sejarah Peraturan Keturunan Raja Bugis di Negeri Luwuk La Madu Shalat :Menyingkap Keturunan Opu Bugis Lima Bersaudara dari Sebuah Naskhah Melayu" itu senditi sudah cukup menarik. Bila dapat tahu ia akan dipersembahkan oleh mahaguru dunia kajian sejarah tanah air, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Ghazali terus terasa wajib pergi. Untuk makluman kami agak rapat dan beliau telah merasmikan/meluncurkan buku-buku terbaru saya 2 minggu lalu. Lihat artikel Pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu di kedai buku Khazanah Fathaniyah.


Mula-mula saya bercadang untuk bertolak ke UM selepas menghantar seorang anak ke sekolah agama iaitu selepas menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Sungai Buaya, Rawang, dekat rumah kami. Insyaallah masih sempat untuk berkejar 45 km gitu ke UM bagi mengikuti majlis yang bermula jam 3. Tetapi kemudian timbul rasa untuk bergerak lebih awal lalu diatur agar-agar anak-anak dapat diambil dari sekolah pagi dengan van ke rumah pengasuh kemudian yang seorang  itu dihantar ke sekolah agama pada petangnya. Itu pun  asalnya saya sekadar memikirkan hendak makan nasi beringin di sebuah kedai dekat pejabat NST di Bangsar sebelum bersolat Jumaat di masjid berdekatan kemudian ke UM. Selepas beberapa lama baru timbul dalam fikiran... alang-alang hendak ke sana eloklah singgah sekali melihat pejabat lama. Bolehlah bertemu  kawan-kawan lama mana yang masih bekerja di sana dan sedang bertugas di pejabat  


Tentang Prof Abdullah Zakaria tidak perlu diperkenalkan lagi bagi para peminat serius dunia kajian sejarah di tanah air.  Beliau sudah menulis banyak buku dan menjadi rujukan berotoriti ramai pihak...


Beliau memulakan dengan menceritakan kenangan lama berpuluh tahun lalu mencari manuskrip-manuskrip sejarah terutama melibatkan salasilah raja-raja Bugis di beberapa tempat.


Kertas kerja pembentangan yang dihadiahkan kepada semua hadirin membantu penerangan. Prof Abdullah mengkhususkan tentang satu manuskrip lama bertulisan Jawi yang ditemuinya di Pusat Dokumentasi Pulau Penyengat dekat Pulau Bentan.


Menariknya salinan manuskrip berkenaan disertakan sekali dalam kertas kerja. Naskah ini mengandungi salasilah keluarga dan keturunan Opu Bugis Lima bersaudara (Daeng Parani, Daeng Menambon, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) yang sangat terkenal dalam sejarah Alam Melayu abad ke-18 Masihi, Naskah dimulakan dengan menceritakan kaitan mereka dengan seorang tokoh Bugis yang dikenali sebagi La Madu Shalat,keturunan Sawarigading yang berketurunan seorang tokoh purba bernama Siti Melangkait. Kemudian baru masuk ke anak cucu yang bertebaran merata abad ke-19...


Apa yang dibentangkan begitu menarik sehingga timbul rasa untuk membuat siaran secara langsung melalui Facebook. Apabila ada yang mengikuti memberitahu audio atau suara kurang baik saya terus bertukar tempat untuk duduk sedekat boleh dengan Prof Abdullah.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan