Selasa, Mac 27, 2018

Tentang pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu akan datang serta beberapa hal berkaitan

Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga telah selamat kembali daripada satu perjalanan di selatan Thailand 19-25 Mac. Perjalanan itu memakan jarak 1,537 km dengan memandu kereta sendiri dan 5 hari 4 malam telah dihabiskan di sekitar bandar Patani. Antara kenangan pahit manis perjalanan kali in adalah kena bayar denda 10,00 Baht (bersamaan RM1,270) dan membuat syarahan tentang sejarah di Prince of Songkla University. Sebelum cerita lanjut dikongsikan biar dilepaskan satu gerak kecil cerita berkaitan...


Ini adalah gambar saya bersama seorang pengusaha Melayu selatan Thailand di Kampung Gadeng, Narathiwat. Beliau adalah pemilik sebuah muzium peribadi yang diberi nama Museum Khun Laharn penuh dengan pelbagai ukiran kayu juga barangan lama termasuk keris, tombak dan berbagai senjata tradisional lain. Kami telah menginap di muzium yang juga mengandungi rumahnya Sabtu malam Ahad 24 Mac. Pagi Ahad keesokannya sebelum bergerak ke bandar Narathiwat kemudian meninggalkan Thailand melalui pekan Takbai saya menghadiahkan kepada dia satu set buku berkembar "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" berserta "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia".



Dalam artikel Ulasan ringkas buku berkembar Nabi Adam dan Orang Melayu serta Benua Tua Melayu dalam akhbar dan perkongsian pembaca awal... yang ditulis hampir 3 minggu lalu ada dikongsikan sedikit tentang kandungan buku juga maklum balas pembaca. Sukacita dimaklumkan perkara yang diketengahkan terutama hal penyelarasan masa antara peristiwa berdasarkan sains berbanding kitab telah menarik perhatian ramai pihak. Atas sebab itu saya telah diundang untuk memberikan syarahan berkenaan di sebuah institiusi pengajian tinggi tersohor negara iaitu ISTAC (International Institute of Islamic Civilisation and Malay World ). Syarahan di bangunan ISTAC, Bukit Tunku, Kuala Lumpur ini dijadualkan berlangsung pagi Selasa 9.30 - 11.30 minggu hadapan 3 April 2014.



Ini pula gambar ketika menghadiri majlis hol almarhum Sheikh Abdullah al-Qumairi di suatu tempat di kaki Gunung Jerai 23-24 April. tahun lepas. Saya telah diberi penghormatan mengetuai barisan perarakan sambil bermaulud selain berkongsi sedikit ilmu tentang sejarah. Lihat artikel-artikel berikut :-






Tahun ini saya akan menghadiri edisi kedua acara yang mahu diadakan pada sekala yang lebih kecil. Memandangkan ia mahu dadakan pada hari Sabtu 14 April yang juga bersamaan hari Isra' dan Mikhraj 27 Rejab mungkin saya akan berkongsi sedikit ilmu tentang masa sambil merujuk kepada buku-buku terbaru saya.



Sekarang sampailah kita pada tujuan utama artikel ini dibuat. Pada 25 hari lalu saya telah membuat artikel bertajuk Meninjau kedai buku Khazanah Fathaniyah di Setiawangsa lalu memberitahu mahu mengadakan majlis pelancaran rasmi buku di sana. Kedai ini terletak di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Ketika itu saya bercadang mahu mengadakan majlis antara pertengahan ke penghujung bulan April.


Lebh seminggu selepas itu baru saya mendapat ilham tarikh untuk mengadakan acara.  Tetapi saya cuma akan mengumumkannya selepas kembali daripada perjalanan ke Patani baru-baru ini. Sekarang perjalanan sudah pun selesai dan saya pun sudah mendapat hampir cukup rehat. Dengan itu biar diumumkan majlis pelancaran rasmi buku "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dengan "Benua Tua Melayu : Sumber Peradaban Dunia" akan diadakan pada pagi Sabtu 21 April 2018. Majlis dijadualkan bermula jam 10 pagi dan berlanjutan sehingga 12 tengah hari. Ia adalah terbuka dan semua diundang untuk memeriahkannya. Untuk butiran lanjut tentang lokasi boleh rujuk artikel Meninjau kedai buku Khazanah Fathaniyah di Setiawangsa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan