OK. Ini ada berita yang agak menggemparkan untuk para pecinta sejarah dan warisan Islam dan keMelayuan...
Dua hari lepas saya diberitahu bahawa satu kawasan pemakaman yang katanya mengandungi makam dua orang ulamak telah teruk ditimbun dengan sampah sarap binaan bangunan. Adapun semalam saya dan keluarga telah pergi ke kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor untuk satu majlis keluarga. Petang tadi dalam perjalanan kembali ke rumah di Rawang kami pun singgah ke kawasan pemakaman berkenaan.
Letaknya di sebelah stesyen Petronas di Taman Sri Sentosa, dekat Jalan Klang Lama. Alangkah terperanjatnya kami melihat keadaan.
Kali terakhir saya bertandang ke sini kalau tak salah ingatan adalah pada pertengahan tahun 2016. Ketika itu ia masih cantik terjaga. Lihat artikel Rupa baru (New look of) makam (Tomb of) Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Lihatlah keadaan sekarang begitu teruk, Saya pun cuba mencari kedua-dua makam, satu katanya milik Tuan Guru al-Sheikh Abu Bakar, satu milik al-Sheikh Syed Mukmin Mukhtar Ali.
Kemudian baru tersedar bahawa kedua-dua makam sudah tertimbus di dalam sisa-sisa/sampah binaan. Bagaimana boleh jadi begini?
Setahu saya ia tanah wakaf. Melihat pada keadaan ia ditimbus malah didirikan pula empat tiang rangka satu macam bangunan di atas kelihatan ia telah dijadikan tanah tebus yang tingginya separas dengan jalan.
Untuk makluman makam-makam terletak kira-kira 10 kaki rendah berbanding jalan di hadapan. Nampaknya ini satu projek apa entah yang memang bertujuan untuk menghilangkan langsung kesan makam. Apakah makam-makam telah dialih dan projek ini mendapat kebenaran? Siapa pula yang membenarkan?
Kalau mendapat kebenaran sekali pun saya rasa ia tidak patut. Ini kerana makam-makam yang telah tertimbus itu dihiasi oleh sepasang batu nesan Aceh setiap satu. Ini adalah kelompok kedua makam-makam di Kuala Lumpur pernah saya saksikan memiliki batu nesan Aceh. Setahu saya akhir sekali batu nesan Aceh dibuat di mana-mana adalah sekitar tahun 1874. Produksi terhenti setelah wilayah Aceh di utara pulau Sumatera dicerobohi Belanda tahun itu lalu perang berpanjangan sehingga sekitar tahun 1903 gitu.
Hakikat bahawa ia ditanda dengan batu Aceh menunjukkan makam-makam ini berumur sekurang-kurangnya 143 tahun. Adapun batu-batu nesan Aceh tidak dipakaikan pada makam orang sembarangan. Ia selalu dipasang pada makam para raja dan kerabat, para panglima dan ulamak besar juga ketua masyarakat yang cukup tinggi kedudukan. Orang-orang sebegini biasanya memiliki pengikut yang ramai. Oleh itu kewujudan batu Aceh di suatu tempat boleh dijadikan bukti telah wujud penempatan yang cukup signifikan di suatu kawasan.
Kini satu bukti penempatan awal Islam di Kuala Lumpur telah musnah entah atas sebab apa,untuk projek apa, saya pun tak tahu. Di atas adalah video yang diambil menggunakan compact camera setelah usaha membuat live video ke Facebook asyik terganggu signal...
Di sini ditandakan kedudukan kawasan pemakaman yang telah ditimbus itu. Untuk paparan lebih jelas sila klik sini. Semoga ada pihak mengambil perhatian lalu dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Nota tambahan (23 Januari 2018) : Apa yang berlaku pada kawasan pemakaman telah menimbulkan polemik yang boleh tahan hebat di Facebook. Akibat daripada itu ada pihak menerangkan bahawa dua makam bukanlah milik ulamak tetapi pembesar bertaraf raja bergelar Dato' Engku Klang yang pernah bertanggungjawab memerintah wilayah Kelang yang meliputi seluruh lembah Sungai Kelang dari kawasan muara sungai di bandar Klang sekarang sehingga kawasan hulu di Kuala Lumpur membawa ke Bukit Melawati. Di atas adalah salasilah berkenaan yang ditemui di FB. Makam-makam yang tertimbus itu milik dua Dato' Engku terawal. Dipercayai usia makam malah mencapai 500 tahun! Biar dicopy paste penerangan berkenaan daripada FB...
--------------
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Isu Makam Dato' Engku Pinang Tunggal di Petaling.
Sejak semalam perkara berkaitan makam berkenaan menjadi tular di media sosial khasnya FB dan YouTube. Akibat kekurangan info yang sebenar, maka pelbagai tanggapan telah berlaku dan telah mengakibatkan kami, waris2 berkaitan seperti saya dan juga Dato' Engku Abdul Jalil (Orang Besar Daerah Hulu Langat) 'pening kepala' atas apa yang ditularkan selain menerima beberapa panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali.
Setelah kami berbincang pagi tadi, saya diamanahkan untuk memberi penerangan ringkas tentang perkara ini. Sebagai makluman, makam yang dimaksudkan adalah Makam Dato' Engku Klang pertama dan kedua iaitu Dato' Engku Pinang Tunggal dan Dato' Engku Kampung Pinang yang berusia hampir 500 tahun dan tiada kaitan dengan mana-mana individu lain.
Berdasarkan pada info daripada Almarhum Dato' Engku Abdul Rani kepada saya beberapa tahun lalu, kedua2 makam ini sebenarnya dijaga oleh orang2 Cina sebelum ini kerana terletak dalam kuil mereka. Jadi tiada masalah timbul sepanjang masa itu kerana orang2 Cina di kuil berkenaan tahu ia adalah kubur orang Islam dan pembesar negeri serta menjaganya dengan baik.
Kemungkinan masalah mula timbul apabila kuil Cina berpindah (berkait dengan penutupan perlombongan di kawasan sekitar Sungai Way) dan kawasan berkenaan kemudian diduduki oleh masyarakat India. Mereka tidak tahu kisah sejarah kubur berkenaan dan menyangka ia adalah kubur ulama Islam kerana keadaan kedua2 makam berkenaan yang amat panjang. Saya percaya nama-nama Syeikh ulama itu diberikan ketika itu dan telah menjadi tempat pemujaan mereka.
Makam2 Dato' Engku yang saya tahu dan lihat semua berbatu nisan Aceh. Berkaitan dengan hal perobohan dan makam berkenaan yang telah terkambus serta cerita projek pembangunan.
Keluarga Dato' Engku TIDAK PERNAH memberi sebarang kebenaran kepada sesiapa untuk membaik pulih, mengubah atau mengusik makam moyang mereka. Malahan Dato' Engku Abdul Jalil sendiri dan keluarga TIDAK TAHU MENAHU tentang perkara berkenaan.
Individu atau pihak yang terlibat dalam hal berkenaan telah bertindak secara sendirian TANPA kebenaran dan TANPA pengetahuan waris. Saya difahamkan baru-baru ini pihak berkenaan cuba meninggikan kedudukan kedua-dua makam berkenaan secara sendirian dan ada bantahan daripada penduduk setempat. Kedudukan makam memang rendah dari jalan raya.
Namun akibat tanpa pengetahuan pemuliharaan warisan dan anggaran kos baik pulih melebihi jangkaan, maka usaha berkenaan telah terbengkalai. Namun saya percaya sebenarnya pihak berkenaan telah pun tahu kisah sebenar makam berkenaan dan tidak meneruskan usaha berkenaan kerana takut dikenakan tindakan undang-undang oleh waris.
Saya juga difahamkan makam tidak dialih (ditimbus) dan keempat-empat batu nisan Aceh juga disimpan oleh pihak berkenaan. Saya akan berbincang dengan Dato' Engku dan kaum keluarganya untuk ambil tindakan undang-undang tentang perkara ini dan apakah tindakan selanjutnya terhadap tapak berkenaan.
Setakat yang diketahui, tiada sebarang projek pembangunan di situ. Justeru itu, saya harap rakan-rakan FB tidak membuat tanggapan yang salah dan semoga penerangan ringkas ini dapat menerangkan sedikit sebanyak tentang kisah makam berkenaan.
Dato' Engku Abdul Jalil juga mohon biarlah perkara ini keluarga Dato' Engku yang selesaikan kerana ia melibatkan ramai waris. Keadaan akan jadi rumit sekiranya orang luar masuk campur.
Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas keperihatinan orang ramai dalam perkara ini dan berharap ia dapat memupuk serta minat terhadap sejarah tanah air. Sebagai makluman juga, saya dan Dato' Engku Abdul Jalil memang dalam perancangan untuk mewartakan makam berkenaan.
Saya mohon mana-mana pihak (khasnya wartawan) yang ingin mendapat maklumat lanjut perkara ini, sila berhubung terus dengan saya.
Terima kasih.
Faisal bin Dato' Haji Surani ( Faisal Surani)
Skrg dah naik condo blkg tu.
BalasPadam