Jumaat, Ogos 25, 2017

Pengakuan Tok Guru Peramu sebagai Tok Bahaman di dada akhbar

Melepaskan suatu gerak penceritaan sebelum membuat satu perjalanan kecil...



Rasanya ramai pernah mendengar nama Tok Bahaman, salah seorang pejuang Melayu Pahang yang gigih menentang pencerobohan British abad ke-19. Ramai juga pernah mendengar nama seorang guru agama dan silat yang dikenali sebagai Tok Peramu. Dipercayai beliau tidak lain adalah Tok Bahaman tetapi menyembunyikan identiti sebenar sambil hidup lebih 100 tahun disebabkan sumpah tertentu yang pernah dibuat bersama beberapa pahlawan terkenal lain seperti Mat Kilau. Mat Kilau yang diisytiharkan British sebagai telah mati penghujung abad tersebut diketahui telah menyamar memakai pelbagai nama sambil berpindah randah ke merata tempat. Beliau akhirnya mengisytiharkan identiti sebenar di kampungnya di Pulau Tawar. Tidak lama kemudian Mat Kilau meninggal dunia tahun 1970.





Diberitakan bahawa tidak lama selepas Mat Kilau mengisytiharkan diri, Tok Peramu memberitahu orang lebih kurang begini : "Dah nak mata agaknya dia tu". Ini kerana dikatakan sumpah mereka tidak mendedahkan identiti sebenar akan membawa kepada maut jika dilanggar. Mat Kilau yang katanya lahir tahun 1847 pula menerangkan dia terpaksa berbuat begitu kerana takut anak cucu keturunan tidak mengenali hubungan akibat beliau berkahwin banyak sambil merahsiakan identiti sebenar. Ditakuti ada adik beradik berlainan ibu berkahwin sesama sendiri lantaran tidak tahu cerita sebenar.




Setahu saya Tok Peramu pula terus memegang rahsia tentang identiti sebenar walaupun ramai melihat beliau tidak lain adalah Tok Bahaman lantaran cukup mengenali pahlawan-pahlawan terkenal sezaman dan tahu segala macam cerita termasuk yang peribadi. Inilah yang saya pegang buat bertahun lama sehinggalah timbul pencerahan baru sekitar seminggu dua lalu.




Tiba-tiba seorang kenalan di Facebook memberitahu bahawa Tok Peramu atau Tok Guru Peramu pernah mengaku lalu mendedahkan identiti sebenar kepada umum. Beliau menunjukkan sekali gambar-gambar keratan akhbar yang berkenaan.






Saya diberitahu ia adalah daripada surat khabar Berita Harian bertarikh 14 November 1974. Tidak berapa lama kemudian Tok Peramu pun menghembuskan nafas terakhir iaitu pada tahun 1977.




Dengan ini biar dikongsikan beberapa penulisan saya di blogspot ini yang ada menyentuh tentang Tok Bahaman. Biar disertakan sekali tarikh dipaparkan...


Jumaat 13 November 2009

Rabu 21 Mac 2012

Isnin 30 Mei 2016

Jumaat 30 Disember 2016


Khamis, Ogos 24, 2017

Bila geng Bugis Melaka datang bertandang...

Salam malam Jumaat. Menyambung lagi rentak penulisan tentang aktiviti bulan Ogos. Kira nak kejar le supaya artikel-artikel selepas ini lebih up to date atau cerita di dalamnya lebih dekat dengan ketika ia berlaku... :]


Tengah hari Ahad 13 Ogos 2017 saya,isteri dan anak-anak bergerak ke Bukit Jelutong di Shah Alam untuk satu majlis.


Ia adalah majlis perkahwinan anak kepada seorang kenalan yang merupakan kerabat diraja Bugis Selangor. Beliau telah mengundang ramai kawan dan kenalan yang sama-sama memiliki susur galur keturunan yang terkait dengan Opu Daeng 5 Bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Menambon, Daeng Merewah, Daeng  Chelak dan Daeng Kemasi. Maka muncullah ramai yang terkait termasuk dari Perak juga Melaka, Muar dan Johor.  Malah ada kaum kerabat dari Riau di Indonesia keturunan Raja Haji Fi Sabilillah turut bersama memeriahkan majlis.



Kami suami isteri pun mengambil peluang untuk mengundang mereka datang ke rumah kami selepas majlis perkahwinan itu. Dari majlis di Bukit Jelutong cuma setengah jam sahaja perjalanan ikut lebuh raya.


Alhamdulillah sejumlah dapat bersama, kebanyakannya dari Melaka.





Mereka sering berhubung melalui WhatsApp atas nama persatuan Melayu Bugis Serumpun di mana saya juga berada dalam kumpulan.


Rumah kami sentiasa bersedia untuk menerima tetamu apa lagi yang ada hubungan darah insyaallah...


Kecuali seorang sahabat berdarah Jawa yang muncul sedikit lambat semua yang datang bertandang hari itu baru kali pertama sampai ke rumah kami lalu dibawa melihat apa yang ada sampai ke tingkat-tingkat atas...
















Sesi melepak berbual-bual santai diteruskan sampai ke pondok di hadapan rumah...





Kemudian saya mengajak mereka berjalan-jalan melihat kawasan bukit-bukau berdekatan lalu keluarlah pelbagai macam ragam...








Tu dia. Sempat bersilat pulut lagi...



Kawasan bukit bukau berdekatan ruma itu memang sesuai untuk bergambar dengan pelbagai aksi. Cuma kalau nak bersilat tu ingat sikit. Sini batu-batuannya kasar...









Kembali ke rumah lepak-lepak lagi di pondok berbual-bual...









Bergambar beramai-ramai sebelum bersurai. 


Semoga hubungan terus bertaut kuat dan kami dapat sepakat dalam mendaulatkan Melayu dan Islam akhir zaman.



Dari Marina Resort Pulau Besar ke Masjid Kampung Keling



Pagi Jumaat 11 Ogos 2017. Suasana selepas hujan lebat di satu bahagian Pulau Besar...


Saya telah bermalam di sekitar ini. Tak boleh beritahu kedudukan tepat bermalam itu di mana...






Cukuplah diberitahu ramai mengenali tempat ini sebagai Marina Resort. Tetapi saya diberitahu nama sebenarnya adalah Resort Api-api.


Ia adalah pusat peranginan yang tak menjadi atas sebab-sebab tertentu yang misteri. Tengah malam sebelumnya iaitu malam Jumaat saya sempat bersiar-siar ke apa yang dipanggil sebagai Perigi Bunian, Pulau Hantu dan jeti menghadap Pulau Serimbun.




Saya turut bertandang ke menara kelab golf tinggal berdekatan untuk melihat pemandangan sekeliling Pulau Besar.


Selepas itu naik memanjat bukit lain untuk ke tempat yang dipanggil sebagai Batu Belah di puncak bukit.


Walaupun keadaannya licin disebabkan hujan saya tidak dapat menahan diri untuk memanjat naik ke atas Batu Belah.


Selepas itu saya pun keluar pulau dengan feri jam 12.30 tengah hari lalu masuk ke bandar raya Melaka.



Saya bercadang untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Kampung Hulu, tengah bandar raya. Tetapi isteri pula menghantar gambar atas lalu memberitahu Melaka sedang dilanda banjir.


Nasib baik ketika saya sampai air sudah surut malah kering langsung. Memang berlaku banjir tetapi pada waktu pagi...


Cuma tidak ada solat Jumaat berjemaah dilakukan hari itu di Masjid Kampung Hulu. Lalu saya harus bergerak 300 meter ke Masjid Kampung Keling untuk bersolat.


Sebetulnya solat Jumaat berjemaah diadakan secara bergilir selang setiap Jumaat antara kedua-dua masjid. Ini disebabkan jarak antara dua tempat ibadat tersebut cukup dekat. Jemaah di kawasan sekitar iaitu Bandar Hilir yang lebih dipenuhi kedai-kedai Cina pun tidaklah begitu ramai lalu cukuplah satu masjid digunakan untuk solat Jumaat.


Hal ini berbeza dengan keadaan di tengah bandar raya Kuala Lumpur di mana masjid jameknya terletak 400 meter sahaja daripada Masjid India. Namun kedua-kedua masjid mengadakan solat berjemaah Jumaat pada waktu yang sama. Ini disebabkan terdapat begitu ramai ahli jemaah sehingga kehadiran mereka bersolat selalu melimpah hingga ke jalan raya...


Dari Pagoh ke Pulau Besar - Ke pulau seorang diri setelah bertahun tidak berbuat begitu

Salam bulan Zulhijjah. Hari ini saya mula berkongsi cerita tentang aktiviti-aktiviti dalam bulan Ogos. Dua artikel berkenaan telah dipersembahkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH iaitu Bringing the parents for MRT ride to Kajang diikuti Putrajaya from the PICC. Cerita ini yang ditulis dalam Bahasa Melayu pula bersambung masa dan rentak daripada cerita-cerita tersebut yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.


Merujuk pada artikel Majlis perjumpaan keluarga keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang yang ditulis 3 hari lalu. Ketika majlis tersebut berlangsung 22 Julai 2017 beberapa orang sepupu ayah saya telah memberitahu mahu menghadiri satu majlis perkahwinan di Muar pada hari Sabtu 5 haribulan Ogos lalu mahu menziarahi ayah dan ibu saya di kampung. Kebetulan pada hari itu saya dan isteri mahu membawa anak-anak menghadiri majlis perkahwinan anak buah isteri di Seremban. Lalu isteri mengajak kami pergi ke Muar sekali supaya dapat menolong menyambut sepupu sepupu ayah dan keluarga yang datang.

Kebetulan juga keesokan harinya 6 Ogos di Kuala Lumpur ada majlis perkahwinan adik sepupu saya sebelah ibu. Selepas bermalam di Muar saya dan isteri membawa ibu bapa ke majlis kemudian ke rumah kami di Rawang untuk bermalam. Turut ikut sama adalah seorang adik saya dan bapa saudara. Hari Selasa 8 Ogos saya membawa mereka berjalan-jalan menaiki MRT lalu ini dapat diceritakan dalam artikel  Bringing the parents for MRT ride to Kajang. Rabu 9 Ogos saya menghantar mereka kembali ke Muar. Dalam perjalanan itu berlakulah apa yang diceritakan dalam artikel Putrajaya from the PICC.


Saya ke Muar tanpa membawa isteri dan anak-anak. Alang-alang dah berjalan jauh itu saya pun mengambil kesempatan untuk singgah di beberapa tempat di selatan dan ini dilakukan esoknya siang Khamis 10 Ogos. Ini adalah sebuah bukit yang dapat dilihat dalam perjalanan dari bandar Muar ke Pagoh. Ada perkara tentang bukit dan kawasan sekitar yang terasa perlu dirungkai apabila sampai masa yang sesuai. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel The hill I saw in a recent dream? yang ditulis hampir 10 tahun lalu.


Sampai ke simpang menuju ke Panchor tergerak untuk membelok melihat perkembangan satu kawasan yang dipanggil sebagai Edu Hub Pagoh.


Difahamkan ada kampus 2-3 buah universiti sudah didirikan di situ. Sambil mengambil jalan menghala ke utara kelihatan Gunung Ledang tersergam indah di latar belakang...


Sampai ke Panchor masuk membelok melihat pekan sebelum mengambil jalan ladang dan kampung memotong ke arah timur.


Kelihatanlah makam seorang pahlawan Melayu yang dikenali sebagai Panglima Mat Berani.


Beliau adalah antara pahlawan yang gugur menentang Portugis setelah kuasa Barat untuk berjaya menakluki Kota Melaka tahun 1511 lalu mengejar sisa-sisa penentangan orang Melayu di Muar...


Terus lagi sampai ke masjid lama Olak Sepam.


Terasa pula hendak berehat sambil mencelupkan kaki ke dalam Sungai Muar di hadapan...


Perjalanan diteruskan ke Masjid Kampung Raja, Pagoh.


Iktikaf tidur berehat sekitar sejam dalam masjid yang katanya dibina atas tapak istana lama sebelum menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Syah di perkarangan, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara elok di Malaysia...


Adapun semua persinggahan yang disebut dalam cerita ini dibuat dalam rangka perjalanan mahu kembali ke Rawang setelah menghantar ibu bapa ke Muar. Dari makam Sultan Alauddin saya masuk ke lebuh raya PLUS melalui tol Pagoh lalu keluar di tol Bukit Gambir. Saya berbuat begitu kerana mahu menuju ke Pulau Besar, Melaka. Selepas Sungai Mati saya mengambil jalan ke Kesang Tasek lalu terlihat sebuah rumah lama yang menarik di satu simpang. Lihat artikel Rumah lama dekat simpang (Old house at the junction of) Sungai Mati-Kesang Tasek di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Ke hadapan sedikit kelihatan pula pemandangan atas Sungai Kesang yang menjadi sempadan antara negeri Johor dengan Melaka berlatarbelakangkan Gunung Ledang di belah timur. 


Sudah lebih setahun saya tidak ke Pulau Besar. Kali terakhir adalah pada sekitar Nisfu Syaaban tahun lepas. Lihat Nisfu Syaaban di Pulau Besar - Ujian babi hutan dan jejak kesyahidan Raja Haji. Oleh kerana sudah terlepas feri jam 5 petang, saya pergi ke tempat-tempat lain terlebih dahulu. Antaranya adalah makam Sultan Ali di hadapan masjid Umbai.





Saya juga pergi tapak makam lama pejuang terkenal Bugis-Melayu abad ke-18 iaitu Raja Haji di Teluk Mas.


Terserempak dengan dua orang waris yang juga mahu menziarahi tapak.


Untuk makluman jasad Raja Haji telah dialihkan ke Pulau Penyengat. Lihat artikel lama Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat. Masih kelihatan bertanda dengan batu nesan di Teluk Mas ini katanya makam salah seorang panglima baginda...


Ini pula satu makam yang kelihatan terserlah di tepian jalan dari Teluk Mas berpatah balik ke Umbai. Tak tahu siapa pemiliknya. Saja nak singgah.


Selepas itu baru masuk ke jeti Anjung Batu untuk menaiki feri 6.30 petang.


Ini adalah kali pertama sejak beberapa tahun saya dapat masuk ke Pulau Besar seorang diri.


Pada tahun 2015 saya ada membuat rancangan untuk masuk ke sana bersendirian. Tetapi ada pula kawan yang tak pernah sampai nak ikut. Lalu saya membawa dia dan seorang anaknya bersama. Lihat artikel Menyahut panggilan pulau. Kali terakhir saya masuk pulau itu berseorangan adalah pada tahun 2007 kalau tak salah. Apapun sudah lama saya tidak berpeluang berjalan bersendirian ke sana. Ini menjadikan perjalanan terbaru yang dilakukan petang Khamis 10 Ogos itu lebih bermakna. Masuk pula malam Jumaat saya menginap di pulau. Ceritanya akan disambung dalam artikel seterusnya...