Khamis, Ogos 24, 2017

Dari Marina Resort Pulau Besar ke Masjid Kampung Keling



Pagi Jumaat 11 Ogos 2017. Suasana selepas hujan lebat di satu bahagian Pulau Besar...


Saya telah bermalam di sekitar ini. Tak boleh beritahu kedudukan tepat bermalam itu di mana...






Cukuplah diberitahu ramai mengenali tempat ini sebagai Marina Resort. Tetapi saya diberitahu nama sebenarnya adalah Resort Api-api.


Ia adalah pusat peranginan yang tak menjadi atas sebab-sebab tertentu yang misteri. Tengah malam sebelumnya iaitu malam Jumaat saya sempat bersiar-siar ke apa yang dipanggil sebagai Perigi Bunian, Pulau Hantu dan jeti menghadap Pulau Serimbun.




Saya turut bertandang ke menara kelab golf tinggal berdekatan untuk melihat pemandangan sekeliling Pulau Besar.


Selepas itu naik memanjat bukit lain untuk ke tempat yang dipanggil sebagai Batu Belah di puncak bukit.


Walaupun keadaannya licin disebabkan hujan saya tidak dapat menahan diri untuk memanjat naik ke atas Batu Belah.


Selepas itu saya pun keluar pulau dengan feri jam 12.30 tengah hari lalu masuk ke bandar raya Melaka.



Saya bercadang untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Kampung Hulu, tengah bandar raya. Tetapi isteri pula menghantar gambar atas lalu memberitahu Melaka sedang dilanda banjir.


Nasib baik ketika saya sampai air sudah surut malah kering langsung. Memang berlaku banjir tetapi pada waktu pagi...


Cuma tidak ada solat Jumaat berjemaah dilakukan hari itu di Masjid Kampung Hulu. Lalu saya harus bergerak 300 meter ke Masjid Kampung Keling untuk bersolat.


Sebetulnya solat Jumaat berjemaah diadakan secara bergilir selang setiap Jumaat antara kedua-dua masjid. Ini disebabkan jarak antara dua tempat ibadat tersebut cukup dekat. Jemaah di kawasan sekitar iaitu Bandar Hilir yang lebih dipenuhi kedai-kedai Cina pun tidaklah begitu ramai lalu cukuplah satu masjid digunakan untuk solat Jumaat.


Hal ini berbeza dengan keadaan di tengah bandar raya Kuala Lumpur di mana masjid jameknya terletak 400 meter sahaja daripada Masjid India. Namun kedua-kedua masjid mengadakan solat berjemaah Jumaat pada waktu yang sama. Ini disebabkan terdapat begitu ramai ahli jemaah sehingga kehadiran mereka bersolat selalu melimpah hingga ke jalan raya...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan