Ahad, September 10, 2017

Faktor 313,131 dan kenangan Muhammad al-Aminul Rasyid

Sampai masa untuk menamatkan cerita perjalanan kecil 2 minggu lalu. Bersambung daripada Cameron-Ipoh-Kuale : Dari pergunungan Pahang membawa 'rasa' ke Perak...





Pagi Isnin 28 Ogos 2017. Saya meninjau keadaan sebuah kampung yang terletak di belakang Istana Iskandariah iaitu istana utama negeri Perak di Bukit Chandan.


Namanya adalah Kampung Padang Changkat. Kami telah bermalam di rumah seorang kenalan yang terkait dengan Dato' Maharajalela. Rumahnya terletak sekitar 100 meter sahaja daripada makam Daeng Selili, kerabat diraja Bugis yang dianugerahkan jawatan tersebut pertengahan abad ke-18.


Saya telah beberapa kali singgah di kampung. Tetapi baru kali ini betul-betul mengambil masa berjalan kaki untuk meninjau suasana.


Setelah lebih 10 tahun mengenalinya baru dapat meliahat keadaan Sungai Perak di sebelah kampung. Lihat artikel Misty river sight at Kuale's Padang Changkat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Sekitar jam 10.30 baru kami meninggalkan Padang Changkat untuk menyambung perjalanan di Perak.




Di bahagian lain Bukit Chandan singgah di rumah seorang sheikh tariqat yang juga merupakan seorang ahli perniagaan berjaya Melayu, Dato' Hashim Ismail. Cerita punya cerita terkeluar hal bagaimana saya mendapat nama Muhammad al-Aminul Rasyid, nama yang digunakan untuk anak lelaki pertama saya yang kini berumur 8 tahun. Nama itu timbul secara ilham dalam hati penghujung tahun 2001. Ketika itu isteri pertama saya sedang mengandungkan anak sulung. Jadi saya fikir itu adalah nama untuk anak 


Daripada rumah Dato' Hashim saya mengambil jalan ke Manong dengan niat mahu ke Beruas kemudian ke Lumut. Sampai di suatu tempat meter atas kereta menunjukkan nombor 313,131. Ia adalah. kombinasi dua nombor yang memiliki makna tertentu buat saya iaitu 313 (nombor perjuangan - 313 ahli Perang Badar dan sebagainya) dan 131 (nombor home sweet home).


Kebetulan nombor yang menunjukkan jumlah kilometer kereta Kenari milik isteri sudah berjalan itu muncul di hadapan sebuah masjid..


Tengok-tengok namanya adalah Masjid al-Ma'arif. Saya pun menyemak makna melalui Internet lalu mendapati Ma'arif adalah kata jamak untuk Makrifah. Apakah ini bermakna saya akan mendapat limpahan ilmu Ketuhanan?



Ma'arif juga bermakna kecantikan juga pengetahuan. Perjalanan diteruskan melepasi pekan Manong lalu masuk ke Kampung Semat.



Berhenti sebentar menghadap jeti Pulau Semat di tengah Sungai Perak untuk memberi salam penghormatan kepada almarhum Sultan ke-4 Perak, Sultan Tajul Ariffin yang dimakamkan di tengah pulau.


Beberapa kilometer ke hadapan kelihatan masjid ini lalu timbul rasa untuk singgah menunaikan solat.


Nama kampung yang terpapar mengingatkan pada seorang pemuzik dan komposer Barat terkenal abad ke-19 iaitu Frederic Chopin. Selepas bersolat kami anak beranak mengambil sedikit masa untuk berehat dan beriktikaf. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Chopin Kiri, Perak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Di sebelah masjid, masih dalam kawasan halaman yang sama terdapat bangunan kayu yang agak menarik. Lihat Bangunan lama sebelah masjid Chopin Kiri (Old building besides mosque of Chopin Kiri).


Adapun kami berehat sekitar setengah jam dalam masjid kerana selepas solat timbul rasa penat yang amat sangat. Ini membuatkan saya membatalkan niat untuk pergi ke Beruas dan Lumut lalu bergerak ke arah berlawanan menuju ke Parit untuk mengambil jalan kampung ke Bota sehingga menghampiri Teluk Intan. Sebetulnya ini memang rancangan perjalanan asal saya sebelum timbul rasa mahu ke Beruas dan Lumut. Sebelum sampai ke pekan Parit kami harus mengambil jambatan menyeberangi Sungai Perak. 

Di atas jambatan inilah nama Muhammad Al-Aminul Rasyid timbul secara ilham di dalam hati hampir 16 tahun lalu. Ketika itu saa ydalam perjalanan kembali ke Lembah Klang berseorangan dengan menaiki motosikal besar setelah 2-3 hari menziarahi sejumlah makam lama di Perak. Itu adalah, kali pertama saya berbuat begitu...setelah terpanggil untuk menelusuri asal usul keluarga sebelah bapa...


Apabila isteri pertama melahirkan anak perempuan, bukannya laki-laki nama itupun disimpan buat beberapa lama. Atas sebab tertentu kami berpisah penghujung tahun 2002 ke awal 2003 saya pun dah lupa. Apabila saya mula menulis cerita untuk siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" pertengahan tahun 2004 nama digunakan sebagai ganti diri sebenar saya yang menjadi watak utama cerita. Jadilah Muhammad Al-Aminul Rasyid sebagai hero siri novel yang diterbitkan secara berperingkat 2006-2007.  Hampir penghujung tahun 2009 baru ia menjadi nama manusia nyata apabila isteri baru yang dinikahi penghujung 2008 melahirkan anak lelaki pertama saya.



Apapun gambar ini dan sebelumnya diambil di pekan Parit. Rancangan asal saya adalah mahu menziarahi beberapa makam Sultan Perak yang terdapat antara Bota Kanan hingga ke selatan Kampung Gajah.


Tetapi kepenatan amat yang melanda membuat saya membatalkan rancangan tersebut. Lagipun tidak lama selepas meninggalkan  Parit timbul hujan lebat dan ini berlangsung hingga lewat malam. Cukuplah sekadar memberikan salam kepada para almarhum Sultan dan lain-lain watak berkaitan dari jauh. Cukuplah kami sekadar lalu di jalan hadapan sambil mengorak langkah kembali ke rumah...


Ralat (ditulis 26 April 2021) :  Tentang pernyataan pada bahagian tengah artikel menyebut bahawa nama Muhammad al-Aminul Rasyid timbul secara ilham pada penghujung tahun 2001, ketika isteri pertama sedang mengandungkan anak sulung. Sebetulnya ketika itu isteri belum mengandung. Ini kerana perjalanan berlaku pada penghujung September atau awal Oktober tahun 2001. Anak lahir pada September 2002. Cuma apabila isteri mengandung fikir saya itu nama anak dalam perut. Tengok-tengok keluar anak perempuan lalu nama disimpan sehinggalah lahir anak lelaki pertama tahun 2009.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan