Ahad, September 17, 2017

Apabila kawan-kawan persilatan bergerak ke hadapan dalam dunia seni lakonan...

Salam  malam Isnin 27 Zulhijjah. Keluar sedikit daripada gerak penulisan yang membawa pada penerbitan artikel Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman? 3 hari lalu dan Istana Darud Dunya, putra mahkota Meurah Peupok dan perkembangan yang terus mengujakan di Aceh semalam. Selain mengikuti perkembangan perjuangan kawan-kawan di Aceh mahu mengangkat  kembali warisan dan tinggalan lama kesultanan saya juga sedikit sebanyak mengikuti perkembangan perjuangan kawan-kawan dalam dunia persilatan untuk memartabatkan ilmu seni mempertahankan diri bangsa Melayu itu di Malaysia. Ada perkembangan baru yang mengujakan beberapa hari kebelakangan membuat saya terpanggil untuk menulis sedikit tentangnya...


Ini adalah poster promosi untuk tayangan teater bertajuk "Dewa Kencana". Bermain tiga malam, 15-17 September 2017 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur ia mengenengahkan beberapa orang rakan persilatan yang baru berjinak dengan dunia seni lakonan. Gambar poster juga gambar-gambar seterusnya diambil daripada Facebook saudara Pangiran Nurdian Syah. Beliau adalah seorang pesilat muda yang aktif mengajar dan memperjuangkan silat.


Nurdian (berbaju hijau berdiri tengah dalam gambar) diberi kepercayaan membawa watak utama Dewa dalam cerita. Biar dikongsikan penerangan yang dikongsikannya kepada kawan-kawan persilatan beberapa hari sebelum pementasan...


-------------


Cerita bangsawan “DEWA KENCANA” diilhamkan dengan mengambil persoalan-persoalan merencahkan elemen-elemen yang tergarap dalam kisah-kisah kepahlawanan Melayu dan ianya digambarkan berlaku dalam sebuah negeri di Malaysia.

Kepimpinan Institusi raja/bangsawan, para ilmuan dan juga kerabat pengamal dan pendakwah ajaran agama adalah penentu ke arah mencorakkan kekuatan Negara sekali gus mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan kepimpinan Negara.

Soal perebutan kuasa dalam mana-mana kisah purbawara termasuk bangsawan adalah mesej yang sangat lazim, tetapi andai perebutan kuasa mengakibatkan kerugian pada penduduk-penduduk setempat, ia adalah tidak wajar.

Umum juga mengetahui, bahawa peranan wanita dalam sesebuah masyarakat amat menyerlah dan amat penting sekali. Sebenarnya boleh diakui bahawa wanita boleh menentukan corak dan hala-tuju sesuatu daerah dalam muka bumi yang didiami manusia.

Mari beramai-ramai menyaksikan persembahan hebat. Menampilkan pelakon-pelakon yang tidak asing lagi seperti Dato' Jalaludin Hasan, Mubarak Majid, Zack Kool, Razi Adnan, Dayang Norinah, Aine Yusof, Dean Sitara dan lain-lain.

Persembahan teater ini bermula dari 15 - 17 September 2017 (Jumaat - Sabtu) pada jam 8.30 malam di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.



Kalau tak salah penerangan itu diambil daripada artikel berkenaan yang baru muncul dalam surat khabar sehari dua itu. Nurdian yang membawa aliran Silat Gayong Makrifat turut berkongsi kepada kawan-kawan sejumlah pantun yang cuba meringkaskan semangat dan pemikiran yang cuba dibawa dalam persembahan.


Biarkan darah dibalas darah
Selendang Mahkota kekalkan maruah
Nenek moyang bersusah payah
Ketuanan asal jangan berpindah

Dewa dan Kencana gagah sepakat
Teruskan cinta tidak tersekat
Amanah jua senada diangkat
Tuhan merestui membawa berkat

Semangat Setia sahabat bertiga
Guru Silat melangsungkan titah Raja
Pendita agama siap siaga
Hak terlepas kembali juga




Ini adalah keadaan dalam auditorium pada 16 September Sabtu malam Ahad iaitu malam semalam. Kelihatan auditorium penuh menandakan pementasan mendapat sambutan hangat. Difahamkan ramai kawan dalam dunia silat hadir untuk memberikan sokongan. Mereka begitu seronok kerana ada kawan seperjuangan mendapat ruang untuk mengangkat tinggi lagi ilmu persilatan ke mata umum melalui dunia seni lakonan dan teater.


 
Bukan tidak pernah ada cerita-cerita Melayu sebelum ini cuba mengangkat ilmu persilatan di kaca televisyen mahupun panggung wayang. Banyak dah pun tetapi sudah kurang sehingga menjadi sangat jarang. Dan sudah agak lama kita tidak melihat ahli-ahli persilatan dapat mempamerkan kebolehan di layar perak. Yang tinggal adalah para pelakon popular tampan yang diajar sedikit silat untuk membawa suatu watak tetapi mereka bukan betul-betul pesilat. Seni bela diri luar negara seperti Karate dan Tae Kwan Do pula lebih banyak diangkat seolah-olah silat tiada tempat lagi dalam masyarakat.

Sekitar tempoh waktu yang sama malam 16 September juga beberapa orang rakan persilatan terlibat dalam persembahan teater lain di Dataran Tanjung Emas, Muar. Difahamkan teater bertajuk "Betul Ke Jebat Tak Mati?" itu membawa interpretasi tersendiri tentang kisah terkenal perkelahian pahlawan Melayu Hang Tuah dengan rakan segurunya Hang Jebat akibat Jebat menderhaka kepada Sultan Melaka  yang memerintahkan Tuah dibunuh tanpa usul periksa.


Saya sebenarnya mahu meletakkan poster promosi berkenaan dalam artikel ini, poster yang diterima melalui WhatsApps. Tapi sayang tak jumpa... nampaknya terdelete semasa melupuskan sejumlah gambar dan video dalam telefon pintar untuk menjimatkan ruang ataupun memory.  Nasib baik ada sedikit gambar dikongsikan kawan siang tadi. Kelihatan dalam gambar atas Guru Aziz Md Said daripada aliran Silat Gerak Tepat yang berpusat di Melaka sedang berdiri di tengah pentas.



Kalau tak salah Aziz yang juga dikenali sebagai Cikgu Aziz, saya panggil Abang Aziz membawa watak Bendahara Melaka. Diketahui ramai tentang cerita bahawa bendahara bertanggungjawab menyorokkan Hang Tuah di Hulu Melaka selepas sultan bertitah agar Laksamana Melaka itu dihukum bunuh akibat dituduh bermukah dengan dayang istana. Kelihatan dalam gambar para pelakon teater bersama sejumlah rakan persilatan dan aktivis busana bergambar selepas pementasan. Nampaknya sementara kawan-kawan di sekitar Lembah Kelang menyerikan persembahan teater di Auditorium DBKL, kawan-kawan dari Melaka dan selatan memeriahkan persembahan di Muar.


 
Walaupun tidak dapat bersama akibat halangan tertentu saya tetap teruja mendengar dan melihat kawan-kawan persilatan bergerak ke hadapan lagi. Selama ini aktiviti mereka lebih pada mengimarahkan majlis-majlis perguruan atau pertubuhan/persatuan-persatuan silat tak pun membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Sesekali mereka diminta membuka suatu majlis yang bukan bertemakan silat. Misalnya majlis pembukaan Pameran Songket ASEAN yang diadakan di Muzium Negara hampir penghujung tahun lalu. Rujuk artikel lama Mengangkat martabat pergerakan busana, persilatan dan kedaulatan Melayu Islam ke seantero Alam Melayu.

Bila dah membuat pementasan dengan plot cerita yang menonjolkan kehebatan silat kelihatan mereka dapat bergerak lebih ke hadapan dalam memartabatkan lagi seni mempertahankan diri yang menjadi identiti dan teras jati diri anak Melayu itu. Semoga kawan-kawan terus mara menegapkan langkah. Biar artikel ini diakhiri dengan meletakkan pautan beberapa artikel lama di blogspot ini melibatkan silat :-








Tiada ulasan:

Catat Ulasan