Jumaat, Mei 05, 2017

Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Kuala Kangsar ke Ipoh dan cabaran pendakian Bukit Singa

Salam malam Jumaat 8 Syaaban. Sampai masanya untuk menutup cerita perjalanan susulan selepas majlis Maulud dan Hol di persekitaran Gunung Jerai. Bersambung daripada Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Ziarah tak dirancang Poksu Mid sebelum menghala ke Pulau Pinang.


Saya tidak beriktikaf lama di Masjid Lebuh Aceh. Selepas jam 1 gitu saya mengorak langkah meninggalkan Pulau Pinang untuk menuju ke Kuala Kangsar lalu sampai hampir jam 4.


Terus menuju ke surau Kampung Temong lalu tidur barang sejam dua.


Selepas terbit matahari timbul rasa untuk terus menziarahi makam Tok Temong.


Mandi pagi pun dengan cara berendam dalam Sungai Perak di sebelah kawasan makam.





Seterusnya saya ke Masjid Kota Lama Kanan untuk menziarahi makam Temenggung Wan Hussain di perkarangan masjid dan batu tanda Sultan Mansur Syah (tempat Sultan kedua Perak dikatakan ghaib ketika bersolat jemaah hampir 500 tahun lalu) dalam masjid. 


Masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar ziarah pula makam Temenggung Wan Hassan iaitu kekanda Wan Hussain.


Turut diziarahi makam Sheikh Abdul Qadir di sebelah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kemudian makam Daeng Selili di Kampung Padang Changkat, belakang istana besar Perak di Bukit Chandan. Naik balik ke bukit singgah istana lama kayu yang telah dijadikan muzium diraja tetapi telah ditutup sejak lebih 10 tahun lalu atas alasan perlu dibaikpulih. Lihat artikel Istana (Palace of) Kenangan, Kuala Kangsar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kalau dah naik Bukit Chandan rasa tak sah kalau tak masuk kawasan pemakaman diraja untuk menziarahi makam moyang, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan beberapa orang kerabat yang terkait dekat.


Singgah juga Masjid Ubudiyah di sebelah makam sebelum kembali ke Kota Lama Kanan untuk menikmati hidangan laksa kegemaran...


Dari situ perjalanan diteruskan menghala ke Ipoh mengambil jalan lama utara ke selatan.


Jalan ini melalui bandar Sungai Siput. Sebelum bandar (ke masih kira pekan) kelihatan bukit besar dengan bentuk pelik tapi menarik yang dikenali sebagai Bukit Singa.


Saya sudah banyak kali lalu di hadapan bukit dan terasa puncaknya seperti memanggil-manggil. Entah kenapa selalu terasa ia terkait dengan kerajaan lama Gangganegara dan seorang rajanya yang bernama Syah Johan.


Kali ini saya tidak dapat menahan diri lalu mencari laluan untuk mendaki. Tidak diendahkan panas terik dan kurangnya kelengkapan, sekadar memakai seluar silat dan capal.


Sebetulnya saya turut memakai tanjak sambil membawa 2 bilah keris lama berserta sebilah rencong yang ditempah di Aceh sempena lawatan bersama keluarga sebulan setengah lalu. Rujuk koleksi cerita melalui artikel Misi HIKMAH Aceh 2017 - Kompilasi perjalanan 8 hari. Tidak ada bekalan apa-apa makanan dan minuman sebaliknya membawa kitab-kitab Tasawuf dan buku berkaitan sejarah dalam beg sandang. Walaupun nyaris berputus asa kerana asyik tersilap jalan selain cuaca mahu berubah menjadi buruk saya akhirnya meneruskan pendakian sehingga dapat mencapai sasaran. Lihat artikel-artikel berikut yang disajikan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.







Cuma terpaksa turun dalam keadaan hujan gila babi lebat siap angin ribut kilat berdentum sabung menyabung sehingga tak boleh nampak beberapa kaki ke hadapan apabila berjalan menentang angin dan hujan. Risiko kena sambar petir memang sentiasa ada kerana lereng bukit terdedah akibat dibotakkan untuk tanaman baru kelapa sawit atau sebagainya. Saya cuma mampu bertawakal sambil meneruskan langkah. Laluan pula jadi lembik berlumpur tanah liat lalu harus berkaki ayam memegang capal sambil air mengalir laju seperti sungai di beberapa bahagian. Lagi lama berada di atas bukit lagi bahaya keadaan. Alhamdulillah dapat juga kembali dengan selamat ke kereta yang ditinggalkan di kaki bukit.


Percayalah. Sampai satu peringkat ada rasa macam nak mati lemas dihunjam air hujan turun lebat mencurah-curah sehingga muka dan badan terasa kesakitan amat. Rupa-rupanya ada kombinasi pasir dan tanah ditiup ribut memukul ke badan lalu saya gagahkan diri dengan melaungkan azan juga berselawat. Ada ketika terfikir juga adakah ini disebabkan puncak Bukit Singa 'keras' kerana ada faktor ghaib? Adakah kedatangan saya membawa senjata-senjata adat sambil bertanjak berseluar silat itu dilihat 'pihak-pihak tertentu' sebagai mencabar? 

Yang pasti akibat pukulan ribut saya sakit mata agak teruk sehingga keesokannya harinya. Syukur dapat juga turun dengan selamat. Sampai ke bandar (ke pekan?) Sungai Siput terus menuju ke masjid terdekat untuk mandi dan bertukar pakaian. Lihat Masjid (Mosque of) Indian Muslim, Sungai Siput.


Perjalanan diteruskan ke Ipoh. Sampai Tasek di bahagian utara bandar raya terlihat papan tanda ke sebuah masjid yang terasa menarik lalu saya pun ikut. Lihat Masjid Cina (Chinese mosque), Ipoh.


Selepas itu saya masuk ke pusat bandar raya semata-mata untuk singgah di sebuah masjid yang sudah bertahun tidak dijejaki tetapi kali terakhir terlihat ketika singgah di Ipoh dalam perjalanan kembali dari Patani dan selatan Thailand penghujung Januari. Lihat Lawatan baru ke Masjid Paloh (New visit to Paloh mosque), Ipoh.


Dalam perjalanan tersebut saya masuk ke Ipoh dengan niat utama mahu melihat keadaan sebuah masjid lama yang telah dipindahkan dari Teluk Memali di tepian Sungai Perak antara Teluk Intan dan Ipoh. Rujuk Misi jejak Aceh-Langkasuka - Pusing sebentar Kuala Kangsar sebelum menutup perkara di Ipoh. Kali ini saya sampai hampir waktu Maghrib lalu mendapati ia sudah cukup siap untuk digunakan bersolat. Lihat Masjid Teluk Memali hampir siap di lokasi baru (Teluk Memali mosque almost completed at new location), Ipoh.

Selepas menjamakkan Maghrib dan Isyak saya meninggalkan masjid dalam keadaan mata terutama sebelah kiri semakin sakit pedih mencarik-carik. Pemanduan kembali ke rumah hampir 160 km terasa sangat mencabar sehingga harus beberapa kali berhenti untuk menutup mata buat beberapa lama bagi meredakan sakit. Akibatnya jam 1 pagi baru sampai ke rumah. Bila dah kembali bersama isteri barulah tersedar sakit itu disebabkan masuk pasir ditiup ribut di puncak Bukit Singa. Sekian tamatlah siri kecil Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai.


3 ulasan:

  1. Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil Azhiim

    BalasPadam
  2. Aslmkm Bang Merah silu, sy rasa dalam masa terdekat klu ikot kan rasa ni munkin sy akan di kerahkan naik Bukit Singa ni. Harap semuanya lancar. Terbaa artikel ini munkin ada asebab musabab nya supaya sy lebih mengetahui caranya.

    BalasPadam
  3. Wassalam.Alhmadulillah. Harap artikel ini berfaedah. Masa saya naik tu bukit tengah botak... pokok2 sawit sedang ditanam semula. Senang nak adjust balik kalau tersilap jalan tapi ada risiko terdedah pada hujan lebat dan kilat juga panas terik. Kalau pokok dah naik tinggi risiko tersebut dah kurang. Tapi lebih mudah sesat kalau tersilap jalan. Semoga tercapai hajat naik ke atas sana...

    BalasPadam