Jumaat, Februari 24, 2017

Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Memulakan backpacking solo ke Payakumbuh dan arah timur

Salam malam Jumaat. Berbalik pada cerita perjalanan di bahagian tengah Sumatera 25 Januari - 1 Februari. Bersambung daripada Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Sekitar Pagaruyung lagi sebelum ke Pariangan dan lain tempat.


Pagi Sabtu 28 Januari 2017, hari ke-4 perjalanan. Sudah sampai masanya saya berpisah dengan rombongan.


Mereka semua akan bergerak ke lapangan terbang Minangkabau lalu kembali ke Malaysia dengan penerbangan jam 2 lebih petang. Saya pula akan memulakan perjalanan backpacking secara solo atau bersendirian mengalas beg ke arah timur.


Sebelum berpisah saya ikut dahulu mereka menaiki bas untuk melawat satu kawasan dan bangunan yang sangat ikonik di kota Bukit Tinggi. Ia adalah bangunan dan tempat yang kalau tak singgah orang akan kata kita belum betul-betul sampai ke Bukit Tinggi. Tengok-tengok letaknya cuma sekitar 500 meter sahaja daripada hotel. Lihat artikel Views from Bukit Tinggi's iconic Jam Gadang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Inilah bangunan dan tempat yang dimaksudkan. Bagi orang tempatan ia ibarat menara jam besar Big Ben di London. Lihat artikel Jam Gadang, Bukit Tinggi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Menariknya setelah masuk 4 hari saya berjalan di Sumatera Barat, 3 hari bagi yang lain kecuali 4 orang yang sampai awal bersama (lihat penerangan dalam artikel Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Bersama rombongan dari Malaysia ke Pagaruyung) baru pagi itu kami dapat melihat dengan terang puncak Gunung Merapi tanpa diliputi awan. Oh, sebelum ini saya selalu sebut Gunung Merapi tingginya melebihi 9,000 kaki sahaja dari paras laut. Sekarang biar disebut ketinggian tepat adalah 2,891 m (9,485 ft).


Selepas lawatan ke Jam Gadang baru saya berpisah dengan rombongan lalu singgah di masjid ini. Lihat Masjid jami' (Main mosque of) Birugo, Bukit Tinggi.


Dari masjid saya mendapatkan kenderaan awam berupa van untuk ke pinggir timur kota.


Dari pinggir kota baru boleh mendapatkan kenderaan ke destinasi saya yang seterusnya, kota Payakumbuh sekitar 33 km ke timur Bukit Tinggi. Lihat Bukit Tinggi to Payakumbuh.


Hampir sampai ke Payakumbuh saya diberitahu oleh seorang penumpang tentang kewujudan sebuah masjid lama. Ketika mencari masjid ternampak sebuah bangunan menarik. Saya pun singgah. Lihat Balai Adat (Ceremonial hall of) Nagari Koto Nan IV.


Masjid lama terletak sekitar 20-30 meter di belakang balai.


Saya masuk ketika sampai waktu solat Zuhur lalu ikut berjemaah. Lihat Masjid Gadang (Big mosque of) Balai Nan Duo, Payakumbuh.



Selepas tidur dan berehat sebentar di masjid saya berjalan kaki ke jalan besar.


Sambil itu terlihat beberapa rumah tradisional menarik.


Saya makan tengah hari lewat di kedai makan sebelah pintu gerbang sebelum tiba di jalan utama.


Adapun masjid tadi terletak di pinggar barat kota Payakumbuh, 



Dari sana saya berjalan kaki merentas kota hingga ke timur.  Lihat Crossing Payakumbuh city by foot.


Ketika berjalan kaki itu terlihat dua buah masjid dan singgah. Lihat artikel Masjid jamik (Main mosque of) Payakumbuh  diikuti Masjid (Mosque of) Ansharullah Muhammadiyah, Payakumbuh.


Sebetulnya saya ada terfikir mahu bermalam di Payakumbuh, Tetapi apabila mendapati sebuah hotel yang pada penglihatan saya kelihatan buruk meletakkan harga paling murah Rp200,000 bagi penginapan satu malam saya terus bertukar fikiran lalu mendapatkan kenderaan keluar.


Dari pinggir timur kota saya mendapat bas yang kalau tak salah ingatan bergerak sampai ke Medan, 700 km dari Payakumbuh.


Tetapi saya sudah memutuskan mahu ke Muara Takus yang terletak sekitar 120 km perjalanan.


Menariknya laluan membawa ke satu kawasan di mana jalannya berpusing-pusing hampir seperti nombor 8 dan strukturnya kelihatan seperti landasan permainan roller coaster. Lihat artikel Payakumbuh towards Muara Takus diikuti Payakumbuh towards Muara Takus continued.


Muara Takus memang termasuk dalam senarai tempat yang ingin dilawati iaitu selepas Payakumbuh. Tetapi bas tidak membawa masuk sampai ke sana, setakat lalu di simpang di mana kelihatan pintu gerbang ini.  Dari situ perlu masuk ke dalam 20 km baru boleh sampai.



Apa yang ada di Muara Takus? Biar diceritakan dalam artikel sambungan, artikel hari ke-5 perjalanan nanti. Buat masa ini cukuplah disebut ia terkait dengan kerajaan Srivijaya sekitar 1,400 tahun lalu. Adapun saya sampai di simpang pun sudah lepas masuk waktu Maghrib. Takkan nak pergi Muara Takus malam-malam?


 
Nasib baik ada masjid sekitar 1 km masuk dari simpang. Saya pun singgah di sana,. Di masjid itulah saya bermalam. Tentang bagaimana hendak masuk 20 km ke Muara Takus nanti esok sahaja kita lihat bagaimana keputusan...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan