Rabu, Februari 08, 2017

Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Bertapak di Padang

Salam semua. Salam sebelum Thaipusam esok hari gamaknya. Pada pengenalan artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Berjalan kaki melihat Songkhla sebelum menyambung perkara di Hatyai ada disebut bahawa saya sudah selamat melaksanakan satu pengembaraan baru 25 Januari hingga 1 Februari 2017 meliputi beberapa tempat bersejarah dan menarik di bahagian tengah pulau Sumatera, Turut diberitahu cerita-cerita tentang pengembaraan tersebut akan diselang-selikan dengan cerita-cerita tentang pengembaraan sebelumnya 12-21 Jan yang meliputi selatan Thailand juga utara Semenanjung. Sekarang biar dimulakan cerita pengembaraan Sumatera itu.


Pagi Rabu 25 Januari 2017. Setelah setengah hari mempersembahkan artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora saya keluar bersama isteri ke bandar Rawang untuk memulakan perjalanan baru, perjalanan kedua saya untuk tahun 2017.


Saya turun di stesyen Komuter sedangkan isteri pergi masuk kerja. Tidak lama kemudian saya dapat menaiki kereta api Komuter ke stesyen KL Sentral.


Bersarapan dan santai di KL Sentral sementara ada masa,


Naik bas ke lapangan terbang KLIA atau lebih tepat, KLIA2.





Penerbangan saya ke Padang, Sumatera Barat dijadualkan berlepas jam 1.55 petang. Turut bersama dalam penerbangan adalah seorang ahli akademik dan anaknya, seorang tua dan isteri yang mana saya diminta oleh kawan yang mengatur penerbangan agar menjaga hal ehwal mereka.



Kenapa saya pula perlu menjaga hal ehwal mereka itu akan diceritakan kemudian.  Kelihatan dalam gambar dua beg sama yang saya bawa untuk perjalanan di selatan Thailand dan utara Semenanjung 12-21 Januari.



Beginilah saya berpakaian, separa busana tradisional Melayu. Tengok saya dan kawan-kawan berbusana penuh dalam artikel sambungan nanti.


Ternyata pesawat berlepas lebih sejam lewat. 





Tak mengapa. Yang penting dapat sampai dengan selamat. Lihat artikel Flight to Padang, Sumatera di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.





Selamat datang ke lapangan terbang antarabangsa Minangkabau. Ketika gambar ini diambil sudah jam 4.07 petang waktu Malaysia bersamaan 3.07 waktu tempatan.


Cuma sampai di kaunter imigresyen saya mengalami sedikit masalah atas alasan tidak memiliki tiket untuk pulang. Memang saya tak beli kerana tak pasti lagi nak balik dengan apa, atau lalu mana. Rancangan saya adalah selepas Padang, kemudian ke Pagar Ruyung dan Bukit Tinggi bersama rombongan dan beberapa orang kawan saya akan mengembara seorang diri bergerak dari tempat ke tempat hingga ke bahagian timur Sumatera, Mungkin saya akan kembali ke Malaysia dengan pesawat, mungkin dengan feri melalui mana-mana bandar pelabuhan yang ada perkhidmatan feri. Tetapi penerangan ini tidak diterima di lapangan terbang. Sebaliknhya saya diberi dua pilihan, Beli tiket balik melalui ajen di lapangan terbang atau bayar RM100 sebagai "landing fee", Saya memilih untuk membeli tiket pulang dari lapangan terbang paling timur dalam jalur rancangan perjalanan yang ada menawarkan penerbangan ke KLIA iaitu Pekan Baru. Gambar menunjukkan tempahan yang dibuat melalui sistem komputer sana.


Ada lagi insiden yang berlaku walaupun saya sudah membeli tiket pulang. Cukuplah dikiaskan melalui perkataan "ole-ole". Mereka yang faham faham le maksudnya. Nasib baik dapat juga lepas tanpa menurut "permintaan" agar memberikan "ole-ole".


Disebabkan haltersebut jam 3.50 waktu tempat baru kami dapat meninggalkan lapangan terbang untuk ke kota Padang.


Padang terletak kira-kira 30 km ke selatan lapangan terbang atau orang Indonesia panggil bandara (bandar udara). Kami menaiki teksi Avanza. Lihat Minangkabau airport to Padang city.



Sampai sahaja ke kota kami terus check-in di tempat penginapan. Ia adalah sebuah hotel kecil tetapi cukup selesa sederet dengan beberapa buah rumah.


Hampir waktu Maghrib saya tergerak untuk berjalan kaki seorang diri melihat persekitaran.


Tengok-tengok masjid utama Padang terletak cuma 150 meter sahaja dari hotel. Dengan itu ternyata tempat penginapan kami terletak di pusat kota. Lihat artikel Masjid Agung (Great mosque of) Nurul Iman, Padang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selepas bersolat berjemaah Maghrib di masjid tersebut kemudian menjamakkan solat Isyaq saya berjalan kaki mengelilingi pusat kota. Lihat Walking around Padang city centre.



Sekitar 500 meter dari Masjid Nurul Iman kelihatan pula masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Taqwa Muhammadiyah, Padang.


Selepas puas berjalan kaki saya singgah makan di sebuah kedai makan yang nampaknya sangat popular kerana ramai orang. Namanya Restoran Malabar. Makanan isterimewanya adalah Murtabak Malabar juga Murtabak Mesir.


Kembali ke hotel ada komputer kegunaan ramai dengan talian Internet. Saya pun menyemak kembali tempahan tiket pulang yang dibeli di lapangan terbang, Mengenangkan apa yang berlaku petang itu takut juga kalau-kalau saya dipaksa beli tiket tipu. Tengok-tengok alhamdulillah memang ada tempahan dan harga pun bertepatan dengan apa yang dipaparkan dalam laman sesawang AirAsia iaitu Rp479,000. Cuma kena bayar tambahan Rp60,000 sebagai yuran ajen. Terus saya buat Internet check-in...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan