Salam semua. Setengah hari daripada sekarang saya akan membuat satu lagi pengembaraan jauh masuk ke negara orang. Sebelum itu ingin dilepaskan dahulu cerita hari ke-4 perjalanan pertama saya tahun 2017 yang meliputi beberapa tempat di selatan Thailand. Sejak tengah hari tadi sibuk menyiapkan lalu mempersembahkan artikel-artikel sokongan di blogspots saya yang lain. Setelah terpapar 3 artikel baru berkenaan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 11 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru boleh disambung penceritaan daripada artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Lawatan lapangan ke makam-makam dan petunjuk Dato' Panjang...
Pagi Ahad 15 Januari 2017. Sampai masa untuk kami semua meninggalkan Patani.
Saya mahu meneruskan perjalanan ke utara dan barat laut secara berseorangan dengan menaiki pengangkutan awam dan apa yang dapat sehingga sampai ke bandar Songkhla, sekitar 110-120 km dari Patani, Kawan-kawan mahu bergerak berlawanan arah untuk kembali ke Malaysia melalui Kelantan di selatan. Tetapi sebelum berpisah biar kami sama-sama menziarahi beberapa lagi tempat bersejarah.
Hari sebelumnya kami ada lalu di tepian Masjid Kerisek yang sangat terkenal sebagai satu simbol keIslaman orang Patani sejak zaman berzaman tapi tak sempat nak singgah. Pagi Ahad itu baru ada kesempatan.
Dapatlah bersolat sunat di dalam masjid berusia lebih 500 tahun ini. Selain itu kami dapat melihat perigi lama yang katanya digali sendiri oleh pahlawan Melayu Melaka yang namanya tersohor ke seantero Alam Melayu iaitu Hang Tuah. Dapat pula melihat satu bangunan kayu cantik, juga berdekatan masjid. Lihat artikel-artikel berikut :-
Adapun pada malam sebelum itu kami ada berbincang apakah tempat-tempat yang mahu dilawati siang nanti sebelum masing-masing kembali ke rumah atau sebagainya. Teringat pesanan isteri agar menziarahi makam ulamak besar Alam Melayu abad ke-18 iaitu Sheikh Abdul Samad al-Falimbani yang katanya berada di antara Patani dengan Songkhla. Saya pun bertanyakan lokasi kepada saudara Ibrahim, warga Thai berbangsa Melayu yang ikut sama dalam rombongan kerana mahu menjayakan forum pagi Sabtu. Rujuk balik artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Forum Batu Aceh di Patani, asbab utama perjalanan dibuat. Ternyata beliau belum pernah sampai lalu berhajat untuk pergi.
Ternyata kawan-kawan lain juga belum pernah sampai walaupun ada antara mereka sudah beberapa kali pergi ke Patani. Maka dibuat keputusan bersama kami mahu menziarahi makam walaupun ia terletak jauh menghampiri Songkhla. Ini juga memudahkan saya untuk sampai selain merapatkan jarak ke Songkhla yang nama Melayunya adalah Singgora. Ini merujuk pada satu kerajaan lama Islam yang diasaskan lebih 400 lalu tetapi sudah 'pupus' akibat serangan Thai/Siam.
Perjalanan ini melalui bahagian tepian pantai menghadap Laut China Selatan yang mengingatkan pada laluan agak serupa di Terengganu. Kalau saya keluar sendiri boleh tahan jenuh juga nak sampai. Ini kerana satu, perlu mencari sendiri lokasi tepat makam Sheikh Abdul Samad. Sedangkan hendak bertanya pun semakin kurang orang yang faham bahasa Melayu apabila menghampiri Songkhla. Kedua saya tidak membawa apa-apa kenderaan. Kalau naik pengangkutan awam entah setakat mana sampai. Jadual pun tak tentu. Nak berhenti kat mana pun harus tercari-cari. Kalau perlu berjalan kaki jauh masuk ke kampung ataupun hutan lagilah letih.
Daripada apa yang diceritakan oleh mereka yang sudah sampai agak susah juga hendak mencari lokasi makam. Tengok-tengok kami dapat sampai dengan mudah kerana telah ditandakan dengan jelas sehingga boleh dilihat dari tepian jalan besar. Kawasan sekitar pula banyak telah dibuka luas, tidak seperti dilihat dalam gambar-gambar.
Untuk makluman sejurus sebelum kami sampai gambar-gambar makam dan persekitaran yang boleh ditemui dalam Google menunjukkan ia bertanda papan, dalam keadaan yang seperti kurang diperhatikan dalam hutan ataupun ladang. Kini sudah ada bangunan makam berbumbung berlantai marmar yang cantik lagi cukup luas. Difahamkan ia baru beberapa bulan dipugar begini.
Saya datang setakat berpakaian t-shirt dengan seluar silat sahaja. Tapi bila dah sampai timbul semangat untuk memakai tanjak dan keris. Sedikit cerita tentang Sheikh telah dikongsikan dalam artikel berkenaan iaitu Makam (Tomb of) Sheikh Abdul Samad al-Falimbani. Untuk bacaan lanjut Google sahaja nama almarhum dan anda akan jumpa banyak cerita termasuk mengenai kitab-kitab Tasawuf karangan beliau yang masyhur lalu masih ditelaah di sekolah-sekolah pondok di merata Alam Melayu hingga ke hari ini.
Merasakan kawasan makam begitu selesa dan mendapati ia sebenarnya agak dekat dengan jalan besar menghala ke Songkhla saya meminta agar ditinggalkan di sini sahaja. Kawan-kawan memberikan sedikit makanan dan minuman sebagai alas perut sebelum pergi. Saya pun mula duduk bertafakur bersendirian...
Adapun saya sampai bersama kawan-kawan ke makam itu sekitar jam 10.38 pagi. Jam 1.58 petang baru bertolak pergi.
Maka bermulalah pengembaraan solo atau berseorangan saya di bumi sebelah sini, satu bumi Melayu Islam yang sejak lebih 2 abad lalu gitu telah ditakluki kerajaan Siam/Thai yang mengutamakan agama Buddha.
Apabila mendapati tiada apa-apa kenderaan mahu berhenti di tempat keluar saya pun berjalan kaki ke hadapan menghala ke Songkhla. Papan tanda ini menjadi ingatan dan rujukan jika mahu ke makam Sheikh Abdul Samad lagi. Jalan masuk kenderaan ke makam terletak sekitar 5-10 meter sahaja ke hadapan. Bandar Songkhla pula terletak sekitar 27 km ke utara...
Di hadapan itupun tidak ada kenderaan mahu berhenti. Ketika itu saya belum dapat cam yang manakah pengangkutan awam kerana di sini rupanya lebih kurang macam kereta pick-up biasa. Saya pun berjalan lagi ke hadapan. Tiba-tiba seorang warga tempatan berhenti lalu mengajak membonceng lebih jauh ke hadapan.
Walaupun nampaknya tidak tahu berbahasa Melayu tanpa was-was dia membuat isyarat mengajak makan tengah hari lalu sedia untuk membelanja. Apabila mendapati kedai makan Melayu Islam tempat kami berhenti tiada lagi makan tengah hari beliau membelikan satu cawan besar minuman ais juga dua bungkus biskut.
Tengok pada badannya yang bertatu merata dengan susuk badan seperti seorang kickboxer atau ahli ilmu pertahanan diri muay thai nampak ada macam rupa samseng. Tapi orangnya banyak tersenyum dan ternyata baik hati. Sebelum meninggalkan saya dia menunjukkan arah ke tempat perhentian menunggu pengangkutan awam yang lebih selesa. Letaknya cuma sepelaung dari kedai tadi.
Sampai di perhentian saya termangu-mangu lagi kerana tidak tahu kenderaan manakah patut ditahan. Perbezaan bahasa pula menjadi halangan, saya tak faham bahasa Thai, orang yang ditemui tak faham bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Nasib baik muncul 3 orang gadis yang mahu ke arah Songkhla. Saya perlu menunggu sahaja mereka menahan pengangkutan awam lalu ikut sama...
Dengan tambang 28 Baht iaitu matawang Thailand tapi dibayar 30 Baht kerana tidak memiliki wang kecil saya pun sampai ke destinasi. Lihat artikel Taking the local ride to Songkhla.
Untuk makluman Songkhla sebenarnya adalah nama dalam bahasa Thai untuk Singgora. Ia merujuk kepada satu kerajaan Melayu Islam yang pernah berdiri megah 400 tahun lalu tetapi kemudian dapat ditakluki kerajan Siam/Thai lalu dihilangkan identiti asal. Namun nama Singgora tetap abadi dalam memori kolektif orang Melayu kerana masih terdapat rumah-rumah Melayu termasuk di Malaysia terutama di Kelantan menggunakan apa yang dipanggil sebagai atap Singgora. Dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, dalam bab yang menceritakan bagaimana boleh terjadi peristiwa Singapura dilanggar todak pula ada tercatat pantun yang berbunyi begini :-
Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.
Saya ke Songkhla untuk melawat tinggalan kota lama Singgora yang katanya masih wujud di sana. Apabila disebut nama Singgora kepada seorang pemandu motosikal yang mengambil penumpang/pembonceng (saya tak tahu dipanggil apa di sini, kalau di Indonesia ia dipanggil ojek) beliau pun mengangguk seperti tahu lalu membawa ke satu jeti untuk menaiki feri, 3 km dari bandar Songkhla. Kebetulan sampai ketika feri baru hendak bergerak. Saya pun terus menaikinya.
Kawasan bandar asal Singgora katanya terletak di kaki bukit seberang sana. Perjalanan feri terasa begitu aman dan mendamaikan. Lihat Taking the ferry to old Singgora.
Zoom in. Sebuah masjid di kaki bukit mengingatkan pada pemandangan hampir serupa di Pulau Penyengat, Bentan. Lihat artikel lama Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat. Timbul rasa mahu bermalam di masjid itu.
Dalam perjalanan menaiki feri terserempak dengan satu pasangan suami isteri yang jelas berbangsa Melayu dan Islam, isterinya bertudung elok menaiki motosikal dengan kereta sisi (sidecar) membawa kotak-kotak yang biasa digunakan untuk menyimpan ikan. Sang suami boleh bercakap sedikit bahasa Melayu. Saya pun bertanyakan arah ke kota lama Singgora. Apabila mendapati kefahamannya kurang jelas saya sebut ia sebagai kota Sultan Sulaiman merujuk kepada raja yang mengasaskan kerajaan Singgora lebih 400 tahun lalu, Terus beliau mengangguk-angguk seperti faham lalu mengajak naik kereta sisi.
Beliau nampaknya ingin membawa ke kawasan tinggalan kota. Tetapi motosikal dibawa sehingga agak jauh melepasi bukit sedangkan pada faham saya tinggalan terletak di sekitar bukit.
Tengok-tengok saya dibawa ke bangunan makam ini.
Rupa-rupanya beliau ingat saya mahu ke makam Sultan Sulaiman. Padahal tak terfikir pun hendak ke makam. Matlamat saya ke Songkhla sebenarnya sekadar untuk melihat tinggalan kota. Siapa sangka sultan pula boleh 'memanggil datang? Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Sulaiman Singgora.
Saya turut menziarahi satu makam lain agak terserlah di sebelah. Lihat Makam di sebelah makam Sultan Sulaiman (Tomb besides the tomb of Sultan Sulaiman). Apabila tersedar bahawa saya sebenarnya mahu mencari tempat yang lain dari makam (orang itu masih tidak jelas atau faham apabila saya menyebut tinggalan kota) beliau dan isteri bertekad mahu menolong mencari. Namun mereka harus singgah di satu tempat untuk mengambil ikan lalu meninggalkan saya sebentar di luar. Kata mereka nanti selesai urusan akan disambung membawa mencari.
Ketika ditinggalkan itulah ada orang lain kedengaran lebih faham hajat saya lalu membawa membonceng motosikalnya pula. Cuma dia orang cari makan dengan mengambil penumpang menaiki motosikal lalu meminta bayaran apabila sampai di tempat yang difikirkannya kena dengan hajat. Didapati dia kurang jujur apabila saya tiada wang kecil lalu terpaksa menghulurkan wang 100 Baht. Dia cuma kata "ok, ok" sahaja tanpa mahu memberikan baki mahupun berusaha untuk mencari atau menawarkan wang pecah. Sedangkan tambang berbayar sepatutnya cuma 30 Baht.
Saya pula tidak mahu pening-pening kepala memanjangkan cerita. Bila mendapati tempat diturunkan itu boleh membantu pencarian kota saya menghalalkan sahaja bayaran yang terlebih mahal itu lalu pergi masuk ke dalam bangunan yang kelihatan. Lihat artikel Pusat informasi kerajaan lama Singgora (Information centre for old kingdom of Singgora).
Alhamdulillah di situ dapat menumpang berehat sambil mengecas bateri telefon bimbit juga kamera. Sempat juga menumpang mandi sebelum bergerak ke tinggalan kota atas bukit yang laluan masuk dan tangga naiknya terletak cuma 70 meter di belakang bangunan.
Dipendekkan cerita dapatlah melihat 3 tinggalan kota pada 3 aras bukit sehingga ke puncak. Namun saya nyaris-nyaris tidak meneruskan perjalanan apabila diserang lelah dan sesak nafas selepas menaiki beberapa anak tangga. Mungkin kerana kurang fit selain tidak makan tengah hari, sarapan pun kurang. Setakat ada mengalas perut dengan kuih pulut dan air semasa berehat seorang diri di makam Sheikh Abdul Samad tadi.
Nasib baik dapat digagahkan juga kerana teruja mahu melihat apa yang dapat selain tidak mahu merasa terkilan jika tidak diteruskan. Usaha mendaki dan 3 aras kota boleh dilihat melalui artikel-artikel berikut :-
Kota pertahanan Singgora atas bukit (Singgora defence fort on hill) - Bahagian bawah (Lower section)
Dari atas tembok kota di puncak itu saya dapat melihat pemandangan cantik ke semua arah 360 darjah. Berdasarkan rujukan silang dengan peta juga gambar satelit melalui program Google Earth, jangkauan pemandangan mencapai sehingga 20 km atau lebih meliputi wilayah Songkhla dan sekitarnya. Lihat Observing the surroundings from Singgora hill defence fort.
Puas melihat pemandangan baru duduk berehat panjang sambil bersandar pada tembok kota. Memang terasa penat tapi sangat gembira dan puas hati. Rasanya misi saya di Songkhla/Singgora sekurang-kurangnya buat waktu itu sudah tercapai dan dipenuhi.
Oh. Ketika mengatur gambar-gambar untuk digunakan dalam artikel-artikel sokongan baru dapat tahu bahawa saya mengambil masa cuma 5 minit sahaja untuk mendaki dari kaki bukit ke tinggalan kota bawah, lagi 5 minit mendaki ke tinggalan kota tengah, lagi 5 minit untuk sampai ke kota paling atas di puncak bukit. Melalui Google Earth didapati puncak tersebut terletak pada ketinggian 410 kaki dari paras laut. Campur waktu rehat mengatur kembali nafas sambil menikmati pemandangan sebelum sampai ke puncak saya mengambil masa cuma 20 minit sahaja untuk membuat pendakian yang boleh dikira bersamaan menaiki anak tangga bangunan 40 tingkat dari bawah sampai ke atas. Kira not bad le, Boleh tahan gak untuk seorang lelaki berumur hampir 47 tahun yang dah lama tidak bersukan, apa lagi dalam keadaan kurang makan dan membawa satu beg galas yang agak berat (satu lagi beg ditinggalkan di bawah).
Selepas itu baru singgah makan di sebuah restoran, dalam perjalanan menghala ke pekan di kaki bukit seperti dilihat ketika menaiki feri.
Selepas selesai makan dan rehat agak panjang (saya turut melayan Wi-Fi percuma di restoran) baru menyambung berjalan kaki ke arah pekan. Niatnya mahu bermalam di masjid yang kelihatan di kaki bukit. Tetapi apabila sampai di masjid lain ini terlebih dahulu ada memberitahu ia dibina di atas tapak masjid lama kerajaan Singgora pada zaman Sultan Sulaiman. Saya pun bertukar niat lalu bermalam di situ. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Sulaiman, Singgora.
Nota : Penulisan artikel ini dimulakan tengah malam. Dekat jam 2.30 pagi baru betul-betul selesai, tinggal kurang 9 jam sebelum saya harus berlepas ke satu negara dari KLIA untuk satu pengembaraan baru. Selamat malam.
Terbaik
BalasPadam