Malam ini sudah masuk 1 Muharram iaitu hari pertama tahun baru 1438 Hijriah. Biar disambung lagi cerita aktiviti Sabtu lalu hingga Rabu. Bersambung daripada artikel Tok Temong dan dua Sheikh di Kuala Kangsar.
Dari Kuala Kangsar saya dihantar kawan kembali ke rumah lalu sampai hampir tengah malam. Siang Isnin berikutnya, setelah mendapat sedikit rehat saya menulis artikel Jika Nabi Adam turun 6,000 tahun Sebelum Masihi siapakah orang Melayu purba yang katanya sudah wujud 60,000 tahun lalu? di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) untuk menutup siri cerita tentang pembentangan pada acara terbaru HIKMAH. Lihat Acara ketujuh belas HIKMAH di Seremban 17 Sept 2016. Selepas itu menulis artikel Menyahut panggilan Linggi - Berkongsi ilmu sambil menurut gerak terbaru di blogspot ini untuk memberitahu rancangan aktiviti 2-3 hari seterusnya. Selesai semua itu baru keluar rumah untuk memenuhi rancangan...
Memandu sendirian menuju ke arah Linggi saya keluar sebentar daripada laluan untuk singgah di Bukit Jalil.
Ada urusan melibatkan kerja sementara saya di satu pejabat sana perlu ditutup cerita. Selesai urusan perut terasa amat lapar. Saya pun makan di restoran sebelah pejabat.
Sekitar jam 5.30 petang gitu baru meninggalkan Bukit Jalil, Sangkut pula traffic jam sebelum dapat masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Bila keluar di tol Pedas/Linggi dah waktu senja...
Jam 7.40 malam gitu baru sampai ke destinasi iaitu Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di Kuala Sungai Baru.
Terpampang di luar pintu gerbang kolej poster menunjukkan penglibatan saya dalam majlis di sana.
Beginilah rupa poster. Ia menunjukkan majlis berlangsung 22-29 September.
Namun penglibatan saya hanyalah untuk forum berkenaan Melayu pada hari Isnin malam Selasa 26 September. Selepas ditunjukkan homestay tempat saya bermalam saya pun mandi, solat dan berehat sebentar sebelum masuk ke dalam kawasan kolej untuk majlis...
Acara dimulakan lewat iaitu sekitar jam 9. Kelihatan pengacara sedang membuka kata-kata...
Selepas pengenalan diikuti doa selamat, saya, seorang lagi panelis jemputan dan moderator forum dijemput mengambil tempat duduk di atas pentas. Kelihatan di kanan moderator yang merupakan seorang pelajar kolej. Beliau dan beberapa orang ahli jawatankuasa majlis memakai busana tradisional Melayu penuh. Cuma mereka tidak berkeris.
Saya diberitahu mereka berpakaian begitu setelah mendapat tahu saya akan datang berbusana penuh untuk forum. Katanya mereka baru sahaja mula mencuba berpakaian begitu apabila majlis secara keseluruhannya bermula pada hari Khamis 22 September. Itupun di gelanggang silat, belum berani di hadapan umum. Oh. Sebetulnya penulisan artikel ini sedikit terganggu kerana ketika ia dimulakan, cerita filem "The Last Samurai" sedang dimainkan di kaca televisyen.
Filem menarik ini memaparkan kisah seorang askar Amerika yang diupah untuk melatih tentera moden Jepun tahun 1870an melawan askar tradisional samurai yang dianggap kolot. Namun askar berpangkat kapten lakonan Tom Cruise itu kemudian berubah arah menyokong malah menjadi seorang samurai. Iniu menyedarkan maharaja Jepun supaya tidak melupakan nilai-nilai tradisional walaupun mahu mengejar kemodenan. Nampaknya ada kena mengena dengan hal kami yang berbusana Melayu cara lama ini...
Filem itu juga mengingatkan bagaimana saya pernah meluangkan masa di Medan, Indonesia awal tahun 2004 sebelum dapat masuk ke Aceh yang sedang dilanda darurat perang. Beberapa hari sebelumnya saya pernah cuba masuk ke bumi Serambi Mekah itu tapi ditahan oleh tentera di sempadan lalu disuruh berpatah balik. Pesan tentera kalau ada surat kebenaran daripada pihak berkuasa baru boleh masuk. Biar dikongsikan sedikit cerita berkaitan yang keluar dalam buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007)...
-------------
Dipendekkan cerita, pemuda itu berjaya mendapatkan sekeping surat dengan cop Kedutaan Besar Malaysia di Medan. Isinya ringkas, tidak sampai tiga baris... Bunyinya lebih kurang begini: “Disahkan bahawa ...., kad pengenalan nombor ..... dengan paspot antarabangsa Malaysia bernombor .... telah melaporkan diri di Kedutaan Malaysia pada tarikh … Sila berikan kerjasama”, ditandatangani pegawai itu. Tidak ada tulisan melarang atau mengizinkannya masuk ke Aceh. Tidak ada akuan menyatakan pihak kedutaan tahu tentang rancangannya hendak ke sana. Cukuplah…
Setelah mengucapkan terimakasih, Rasyid pun bergegas keluar. Hari itu hari Khamis, terfikir juga hendak bermalam Jumaat di Aceh. Tetapi perjalanan daripada Medan biasnya memakan masa lebih dua jam dan hari sudah petang sedangkan dia belum tentu dapat masuk ke Aceh. Kalau kena tahan dan tersangkut lagi di sempadan, ke mana pula hendak merempat nanti? Takkanlah hendak pergi ke Pengkalan Brandan lagi malam-malam? Hmm... Lebih baik bersiar-siar santai di Medan, melihat aktiviti di pusat bandar. Sampai di sebuah pusat membeli-belah, sempat pula menonton wayang cerita “The Last Samurai” lakonan Tom Cruise... Kemudian barulah terjumpa sebuah masjid lama yang boleh dibuat tempat bermalam.
Selesai tayangan filem di kaca televisyen baru saya dapat memberikan tumpuan penuh pada penulisan artikel ini. Ke kiri adalah panelis kedua saudara Mohd Salleh Mazukhi. Beliau dipanggil atas saranan seorang sahabat yang rajin mengikuti penulisan orang-orang seperti ini di Internet. Mazukhi memiliki pengetahuan yang luas tentang ilmu pelayaran Melayu, pasang surut laut, cara membaca arah perjalanan menurut bintang, menjangka pergerakan angin dan sebagainya.
Gambar-gambar seterusnya dalam majlis diambil daripada Facebook saudara Mazukhi, kawan-kawannya yang ambilkan, Beliau memberitahu turut membawa cucu selain isteri. Saya pula yang datang seorang diri kerana isteri bekerja dan anak-anak bersekolah.
Format forum ini adalah moderator bertanya soalan lalu panelis menjawab. Saya banyak berkata tentang Melayu dan Islam, Mazukhi dah tentu tentang pelayaran. Selepas beberapa lama sesi soal jawab pun dibuka kepada umum. Kelihatan seorang pelajar bertanya kepada saya tentang cerita dalam Hikayat Raja-raja Pasai yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang kemunculan kerajaan bernama Samudera, apakah ia hadis sahih atau bagaimana? Jawab saya, memang sabda ini tidak dicatatkan dalam mana-mana kitab hadis yang dianggap sahih. Namun saya percaya ia adalah hadis yang benar lalu memberikan alasan bagaimana sesetengah hadis boleh hilang daripada pengetahuan umum akibat pergolakan merebut kuasa di Timur Tengah.
Bergambar bersama ahli jawatankuasa majlis selepas forum tamat,,,
Tengah malam baru saya kembali ke homestay untuk berehat. Beginilah rupanya apabila dilihat siangnya pagi Selasa.
Bangunan rumah kampung di sebelah, Bahagian belakangnya adalah bangunan batu moden. Saya dapat melihat beberapa rumah di sekitar dibuat sebegitu rupa.
Kawasan ini terletak di tepi pantai menghadap Selat Melaka. Lihat artikel The waters off a village at Kuala Sungai Baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Menyusuri jalan tepian pantai untuk mencari kedai makan terlihat pokok besar ini.
Saya tidak dapat menahan diri daripada memanjat naik ke satu dahan. Zaman budak-budak dahulu memang saya gila panjat-memanjat.
Pencarian kedai makan membawa saya ke lokasi tepat yang menjadi punca nama tempat iaitu Kuala Sungai Baru. Lihat The estuary that gave rise to the name Kuala Sungai Baru,
Selesai sarapan saya pergi ke KUIM untuk melihat keadaan dan rupanya waktu siang.
Singgahlah ke masjidnya yang boleh tahan menarik. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Ilmi, KUIM di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).