Masuk balik bab perkongsian ilmu. Bersambung daripada artikel 'Mewakili' Raja Allang ibni Raja Berayun pada majlis pelancaran pengajian seni bina warisan 2016 di UIA...
Sebelum mendapat undangan untuk majlis fakulti seni bina di UIA saya telah terlebih dahulu diberitahu tentang majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka seperti kelihatan pada poster atas.
Sampai masanya pagi Rabu 17 Oktober 2016, sekitar 17 jam selepas meninggalkan UIA kami pun ke majlis di DBP.
Sejak mula aktif menghadiri majlis-majlis ilmu di institusi-institutsi pengajian tinggi juga badan-badan berkenaan seperti Perpustakaan Negara dan Muzium Negara 7 tahun lalu saya sudah beberapa kali menghadiri forum dan seminar di DBP.
Sedar tak sedar dah dekat setahun rupanya saya tidak menghadiri apa-apa majlis di badan yang bertanggungjawab menjaga kualiti penggunaan bahasa Melayu di negara kita ini. Kali terakhir adalah semasa menghadiri majlis melibatkan falsafah pemikiran tinggi. Lihat Wacana ilmu di DBP - Falsafah Yunani dalam kitab Bustanus Salatin.
Majlis terbaru ini turut melibatkan kitab besar lama Melayu yang bernama Sulalatus Salatin itu. Malah kitab tersebut sudah banyak kali dibincangkan di DBP. Lihat artikel-artikel berikut :-
Ketibaan dif-dif terhormat. Untuk pengetahuan terdapat pelbagai versi atau salinan kitab Sulalatus Salatin ini, setengahnya memiliki bahagian tertentu yang bercanggah antara satu versi dengan yang lain. Majlis akan menyaksikan satu lagi naskah atau versi kitab Sulalatus Salatin diangkat ke persada umum. Ini adalah berdasarkan satu salinan yang ditemui di St, Peterburg, Russia,
Versi ini, seperti satu versi yang telah diangkat bertahun lebih awal diusahakan oleh satu badan yang dipanggil sebagai Yayasan Karyawan, Membuka pengenalan naskah pada majlis adalah ketua eksekutif yayasan, Datuk Zainal Abidin Borhan.
Rencah ditambah oleh mantan ketua setiusaha negara,Tun Ahmad Sarji Hamid. Beliau yang merupakan pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan kemudian melancarkan buku.
Kelihatan Ahmad Sarji bersalam bersama pengkaji teks Sulalatus Salatin, Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam. Ahmat bertanggungjawab mentransliterasikan naskah Russia itu daripada tulisan Jawi ke Rumi lalu dapat diterbitkan oleh Yayasan Karyawan.
Kemudian naik Profesor Dato' Dr Baharudin Ahmad, pemegang Kursi P. Ramlee di ASWARA, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan.
Difahamkan beliau sepatutnya memberi sedikit kupasan tentang naskah yang baru diterbitkan Yayasan Karyawan. Namun Baharuddin lebih banyak bercakap tentang falsafah dan disiplin ilmu lalu memberikan kupasan yang menarik tentang apakah itu ilmu tawarikh, apa pula ilmu sejarah. Menurut beliau, dalam ilmu tawarikh cukuplah dicatatkan tarikh dan peristiwa seperti dilakukan dalam penulisan-penulisan ilmuwan Islam terkenal, At-Tabari. Tapi ilmu sejarah memerlukan daya penakulan yang lebih tinggi. Dalam sejarah, seseorang itu patut tahu keadaan budaya dan masyarakat setempat, tahu ilmu geografi, tahu ilmu sains dan sebagainya sehingga dapat mengupas segala perkara hingga ke akar umbi. Menurut beliau, inilah yang dilakukan oleh seorang lagi ilmuwan Islam, Ibnu Khaldun dalam kitab terkenalnya yang diberi nama Muqaddimah.
Setelah beberapa lama naiklah Ahmat menerangkan tentang teks Sulalatus Sulalatin yang telah diusahakannya sekian lama. Katanya setelah 5 tahun berusaha baru usahanya terasa cukup lengkap untuk diterbitkan lalu dipersembahkan kepada umum. Beliau menerangkan cabaran-cabaran yang dilalui dalam melakukan proses transliterasi juga memahamkan perkara. Penerangan serupa pernah saya dengat daripada Ahmat semenjak kali pertama saya mendengar beliau bersyarah di Universiti Malaya pada suatu petang tahun 2011. Lihat artikel lama Sepetang di Universiti Malaya,
Pada ketika itulah saya pertama kali mendengar tentang wujudnya naskah Sulalatus Salatin di Russia yang dikenali sebagai versi Krusenstern. Selepas itu, apabila ada mana-mana wacana ilmu walau berkenaan subjek lain yang Ahmat hadir beliau selalu mencuri peluang untuk menonjolkan kajian sendiri tentang naskah juga tafsiran umum beliau tentang kitab Sulalatus Salatin yang kedengaran begitu bercanggah dengan tafsiran yang sudah sedia diterimapakai para cendekiawan lain sejak sekian lama. Dalam satu majlis beliau mendapat peluang membentang panjang lebar tentang perkara lalu menimbulkan suasana yang agak panas apabila mengkritik tanpa berlapis cendekiawan lain yang tidak sependapat. Lihat artikel Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu. Dalam kalangan ramai pengkaji dan cendekiawan terutama dalam bidang sejarah kelibat Ahmat sudah cukup terkenal sebagai seorang yang cukup suka berdebat, asyik hendak menang hujah...
Tapi pada majlis pelancaran ini juga ketika berbual-bual dengan beliau selepas majlis Ahmat kelihatan lebih terkawal, mungkin kerana sudah agak berpuas hati hajatnya agar umum mengambil tahu sudut pandang beliau yang agak kontroversial tentang pelbagai perkara mendapat semacam pengiktirafan dengan munculnya kitab Sulalatus Salatin versi Krusenstern di bawah penerbitan Yayasan Karyawan. Kelihatan dalam gambar ini saya dan seorang sahabat sepejuangan aktivis budaya Melayu mengapit Dato' Dr Othman Yatim (dahulu bergelar profesor) seorang lagi cendekiawan tempatan tersohor. Othman adalah antara beberapa orang cendekiawan ternama yang sudi menyokong perjuangan saya mendaulatkan Melayu dan Islam, antaranya melalui penglibatan dalam wacana-wacana akademik di merata institusi-institusi pengajian tinggi dan sebagainya. Alhamdulillah, beliau sendiri sudah mula berbusana ke majlis. Cuma hari itu Othman datang berpakaian biasa berbaju batik dan seluar slack...