Salam. Merujuk kepada artikel HIKMAH Janda Baik -Daripada Maulud tak disangka ke pendedahan tentang penipuan sejarah dan ekonomi yang menjerat umat Islam yang dipersembahkan 2 minggu lalu. Artikel itu menceritakan secara ringkas perjalanan hari pertama acara ke-16 HIKMAH yang diadakan di Janda Baik 30-31 Januari 2016. Sekarang biar dikongsikan cerita perjalanan hari kedua, juga secara ringkas ya...
Pagi Ahad 31 Januari 2016. Acara sepatutnya dimulakan dengan sesi pembentangan ilmu pagi jam 9 tetapi dilewatkan kerana menunggu cukup ramai orang datang. Ini adalah keadaan ketika jam 10.10 pagi. Sudah ramai muncul namun kami mahu menunggu lebih ramai sebelum pembentangan dimulakan.
Sekitar 10 minit kemudian baru pembentangan bermula. Tajuknya adalah "'Dikaburkan' atau 'Mengaburkan': Pembinaan Korpus Sejarah Teknologi Senjata Api Melayu" oleh tuan Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, pelajar pasca siswazah daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Lihat artikel HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Sejurus sebelum jam 11 pembentangan kedua pula dimulakan...
Atas sebab tertentu, penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas yang sepatutnya membuka sesi pembentangan tengah hari naik ke pentas lebih awal. Beliau membawa tajuk "Alam Terkembang Jadikan Guru : Mengambil Pelajaran Daripada Persekitaran" adalah pembentang ketiga hari Ahad. Lihat HIKMAH Janda Baik - Belajar daripada alam di menara gading kehidupan.
Sebagai pertukaran, tuan Mohd. Ramalan Yunus yang asalnya adalah pembentang kedua sesi pagi mengganti untuk membuka sesi tengah hari. Beliau membawa tajuk "Survival Umat Melayu Akhir Zaman : Sudahkah Kita Bersedia?". Lihat HIKMAH Janda Baik - Survival Umat Melayu Akhir Zaman.
Ketika itu anak-anak daripada sekolah agama berdekatan, anak-anak yang telah memeriahkan sesi Maulud pagi Sabtu telah ramai berada di lokasi terutama di kawasan memanah. Rujuk HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan..
Sesi pembentangan masuk bab yang lebih mendalam dan mencabar pemahaman apabila tuan Kamaludin Endol, mantan pensyarah Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang membuka tajuk "Semua Agama Asalnya Islam - Menerangkan Kesinambungan yang Hilang" sekitar jam 12.55.
Pembentangan diteruskan sehinggga jam 1.40, baru majlis berehat untuk makan tengah hari dan solat Zuhur. Ini adalah 25 minit lewat daripada jadual asal. Namun masih dalam kadar yang terkawal, apabila difikirkan majlis dimulakan pagi lewat hampir satu setengah jam daripada yang dirancang. Lihat HIKMAH Janda Baik - Wahdatul Wujud sebagai teras kekuatan umat Melayu.
Sesi pembentangan petang dibuka selepas jam 3 petang menonjolkan dua orang pegawai kanan IKSIM, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, satu badan yang baru ditubuhkan secara rasmi penghujung tahun 2014 di bawah Majlis Raja-raja Melayu. Ketua pegawai eksekutif IKSIM Dato’ Prof Mahamad Naser Disa memulakan dengan tajuk "Islam Agama Persekutuan : Menangani Cabaran Liberalisma dan anti-Islam"
Felo Kanan IKSIM, Dr Mad Akbal bin Abdullah kemudian membawa tajuk "Menghidupkan Peranan Raja Zilullah Fil'alam melalui Kuasa Tersirat dalam Perlembagaan". Sesi ini menarik minat ramai untuk bersoal jawab dan berkongsikan pendapat. Lihat HIKMAH Janda Baik - Raja-raja sebagai pelindung dan benteng Islam juga Melayu.
Acara ditutup sebelum jam 5 petang. Disebabkan ramai dah kepenatan, sesi perbincangan berkumpulan yang dijadualkan mahu diadakan selepas rehat Asar dan minum petang dibatalkan.
Satu sesi bergambar beramai-ramai sempat diadakan. Selepas itu kami berehat santai sambil menikmati apa yang terdapat di taman indah atas kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa. Lihat HIKMAH Janda Baik - Akhirnya, santai petang Ahad. Tamatlah cerita ringkas sekitar perjalanan acara ke-16 HIKMAH di Janda Baik 30-31 Jan.